Sifat kemanjaan kucing cukup terkenal. Adakalanya, kalau tidak kena pada suasananya, manja pun boleh jadi garang.
Pelakon terkenal, Mona Allen menyifatkan memelihara si bulus ini ibarat terapi diri yang dapat menghilangkan tekanan hidup seharian.
Mana tidak, sebagai pelakon sudah tentu jadual karier seninya sedikit sebanyak meletihkan jiwa dan tubuh badan. Oleh itu, bila pulang ke rumah, ada teman yang dapat menghiburkan hati.
“Kurniaan Tuhan pada makhluk yang satu ini (kucing) mungkin sudah begitulah fitrahnya yang manja bukan? Wallahualam, tapi jujur saya cakap, kalau pulang saja dari lokasi penggambaran atau pun kerja, penat itu seakan-akan hilang.
“Saya suka betul bila pulang, buka pintu saja sudah ada yang jadi penyambut tetamu dengan kemanjaannya.
“Satu hal lagi waktu sekarang ini (pandemik), bila sudah lama tidak keluar rumah. Berdasarkan pengamatan saya, tidak tahulah pemilik kucing yang lain. Saya seperti diberi tenaga positif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menariknya, haiwan peliharaan pelakon ini, dua ekor kucingnya itu dinamakan dengan panggilan cukup klasik iaitu ‘Tipah’ dan ‘Chombie’. Jarang pemilik menamakan kucing dengan panggilan sebegitu.
“Saya lari sikit dari budaya letak nama kucing yang Inggeris ini. Jadi saya pilih nama-nama yang klasik supaya kucing-kucing sedar mereka sekarang menetap di Malaysia, truly Asia,” seloroh Mona.
Meskipun pelakon cantik ini sibuk, dua anak kucingnya itu tetap diberikan perhatian. Ibarat bayi atau kanak-kanak, perlukan kasih sayang.
Baka dan makanan
Memelihara baka jenis Scottish Fold dan Minecon yang diterbangkan dari Rusia, jelas Mona Allen atau nama lengkapnya Munna Hafiraneza Allen, 35, berkata, Tipah berumur lapan bulan dan Chombie pula lima bulan dengan berat masing-masing hampir mencecah tiga kilogram.
“Baka Minecon boleh membesar macam anjing. Oleh itu, pemilik kucing kena bagi dia makan dalam kuantiti yang besar supaya membesar dengan sihat.
“Jangan terkejut pula, Tipah dan Chombie saya bagi makan daging lembu setiap hari. Sudah seperti membesarkan manusia bukan?
“Sebagai pemilik kucing kenalah belai, curahkan kasih sayang, bagi makan yang lazat dan sihat selain tempat yang selasa. Jadi kalau orang kata macam bela manusia pun ya,” ujarnya.
Berbicara tentang perbelanjaan, jelas Mona, dia sudah memperuntukkan kos tertentu bagi menjamin pembesaran haiwan manja itu membesar dengan sihat dan kekal aktif.
Dalam perkembangan lain, pelakon ini sedang menunggu lampu hijau untuk menyambung semula drama bersiri Hati Yang Dikhianati yang terpaksa direhatkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak awal Jun lalu.










