Tinggalkan perniagaan, usahakan kebun sayur - Utusan Malaysia

Tinggalkan perniagaan, usahakan kebun sayur

Bagi Abdullah Hassan bercucuk tanam merupakan aktiviti sangat menyeronokan.-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI MANA ada kemahuan di situ ada jalan. Itulah pegangan hidup bekas pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Abdullah Hassan, 60, dalam meneruskan kehidupannya.

Pelbagai kerja yang dilakukannya lebih tertumpu dalam bidang kejuruteraan kerana dia memiliki diploma kejuruteraan komputer hingga membuka sebuah kedai fotostat dan menjual pelbagai jenis barangan.

Namun, sejak pandemik Covid-19 melanda negara Mac dua tahun lalu, perniagaannya merosot teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Banyak sektor perniagaan tidak dibenarkan beroperasi.

Keadaan itu, sekali gus menjejaskan perniagaan yang dijalankan Abdullah hingga memaksanya menutup terus kedai dan bertukar menjadi pemandu e-hailing.

Itupun tidak lama dan kurang rancak kerana sepanjang PKP, ramai orang tidak keluar rumah.

Akhirnya, timbul idea untuk mengusahakan kebun sayur-sayuran di belakang kediaman rumah peninggalan arwah bapa di Kampung Pinang, Pokok Asam, Klebang, Melaka yang dijayakan bersama anak bongsunya, Mohd. Naim Abdullah, 20.

Bagi Abdullah, dia ingin membuktikan tanpa tanah berhektar atau ruangan yang besar, tetapi hasil gabungan kreativiti, kesungguhan dan minat mendalam terhadap pertanian, mampu memberi hasil lumayan.

Rumah arwah bapanya itu sudah usang terbiar begitu lama, manakala kawasan sekeliling pula dipenuhi semak-samun.

PINDAH SEMULA

Dia mengambil keputusan menjual kedainya dan berpindah semula ke rumah peninggalan tersebut kerana bertekad menjadi pekebun sayur sepenuh masa.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pekebun sayur namun melihat keadaan ekonomi yang tidak stabil akibat pandemik Covid-19 hingga saya tutup perniagaan.

“Saya mengambil keputusan untuk menanam sayur-sayuran dan kebetulan tanah milik arwah ayah agak luas dan sangat sesuai untuk diusahakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Abdullah Hassan (duduk empat dari kiri) bersama rakan-rakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada 1980.

Walaupun Abdullah tidak mengikuti sebarang kursus dalam bidang pertanian, sejak kecil dia sangat meminati bidang tersebut kerana arwah bapanya adalah seorang pesawah dan mengusahakan tanaman padi seluas 1.6 hektar.

Katanya, kebetulan tanah yang dimiliki itu sangat sesuai untuk mengusahakan pelbagai tanaman sayuran.

BELAJAR DI YOUTUBE

Kerjaya sebagai petani tidak sesuai buat mereka yang sekadar hangat-hangat tahi ayam. Sebabnya, perlu berpanas dan mempunyai kesabaran tinggi.

Namun, bagi Abdullah ia tidak menjadi masalah kerana berkebun bukan sahaja mampu membuahkan hasil, lebih penting ia menyihatkan tubuh badan.

Ini kerana peluh keluar sewaktu melakukan pergerakan dengan kerja-kerja berkaitan di kebun.

Baginya, bercucuk tanam merupakan aktiviti yang sangat menyeronokan.

Abdullah mula menanam pelbagai jenis sayur-sayuran sepanjang tempoh PKP pertama di tanah seluas tidak sampai satu hektar.

“Saya banyak belajar daripada YouTube, di samping mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian daerah. Kebetulan saya ada modal sikit untuk memulakan kerjaya sebagai pekebun sayur sepenuh masa,” ujarnya.

Berkat usahanya, kawasan itu mula menghijau dengan kangkung, sawi, terung, bendi, timun, kacang panjang, peria dan halia.

“Alhamdulillah setakat ini, tanaman sayuran yang diusahakan membawa hasil yang baik.

“Dapat juga saya jana pendapatan walau tidak banyak mana, tetapi sudah cukup untuk menyara hidup saya, isteri dan seorang anak yang masih belajar,” jelasnya.

Berbudi pada tanah memberikan 1,001 nikmat apabila dia makin bersemangat untuk menambah pelbagai jenis tanaman lain.

BERI PERCUMA

Bekas Pengetua di Institut Bina Usahawan Melaka dari tahun 1995 hingga 2005 ini berkata, selain menjual hasil kebunnya, dia turut bersedekah kepada jiran tetangga, kenalan dan saudara-mara.

Malah kalau ada orang minta sayur, dia akan memberinya secara percuma sahaja.

Barangkali itulah punca rezekinya berlipat kali ganda dan membolehkan dia menjual sayur-sayuran dengan harga lebih murah berbanding harga ditawarkan di pasar atau pasar raya.

Bakat berkebun dikembangkan dengan mengusahakan tanaman herba sacha inchi atau plukenetia volubilis yang mempunyai nilai pasaran tinggi untuk bahagian daun, kekacang dan akarnya.

Tanaman herba sacha inchi atau plukenetia volubilis.

Tanaman herba jenis saka itu, tinggi vitamin A dan E serta mempunyai pulangan yang lumayan jika diusahakan berskala besar. Ia turut dikatakan kaya dengan omega 3, omega 6 dan omega 9 malah amat laris di Brunei dan China.

“Melihat potensi pokok itu, saya telah mula menanamnya secara berperingkat-peringkat, malah turut menyemai benihnya,” katanya.

KAGUM TEKAD BAPA JADI PETANI

“Saya kagum dengan hasrat ayah tinggalkan perniagaan dan usahakan tanaman sayur-sayuran,” kata anak bongsu Abdullah, Mohd. Naim.

Pelajar tahun dua Diploma Kejuruteraan Marin di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Kuala Sungai Baru itu berkata, tekad ayahnya menjadi pekebun sepenuh masa adalah keputusan tepat.

“Ayah kecewa apabila perniagaan kedai fotostat terpaksa ditutup, tetapi semangat untuk berjaya tidak pernah padam.

“Kini dia kembali ceria selepas sayur-sayuran ditanam mula menunjukkan hasil. Bila ayah cetuskan idea untuk berkebun, saya memang menyokong penuh keputusan itu,” katanya.

Abdullah dibantu anaknya, Mohd. Naim mengusahakan kebun sayur.

Mohd. Naim sering membantu membersihkan kawasan semak-samun, membuat batas, saliran air dan membantu menanam sayur-sayuran.

Anak muda itu jelas teruja dengan kerja kebun yang disifatkan sebagai pengalaman amat berharga yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Melihat pokok seperti kangkung, sawi, terung, bendi, timun, kacang panjang, peria dan halia mengeluarkan hasil dan dapat dijual, ada juga pendapatan.

“Walau tidak banyak mana tetapi ini sudah mencukupi,” katanya yang amat bangga dengan semangat ayahnya yang membuktikan bahawa bidang pertanian mampu memberikan sumber pendapatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini