Sora, pasang impian ke Olimpik Paris 2024 - Utusan Malaysia

Sora, pasang impian ke Olimpik Paris 2024

Sora menunjukkan aksi tariannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sukan breaking atau breakdance bakal dipertandingkan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengumuman oleh International Olympics Committees (IOC), itu baru-baru ini, menjadi khabar gembira buat penari breaking, tidak terkecuali Mohd. Firdaus Nawir, 23.

Anak muda yang lebih dikenali sebagai B-Boy Sora ini mengakui, sebagai penari aktif, sudah pasti berita itu diterima dengan sorakan kegembiraan.

Mana tidaknya, sejak berkecimpung dalam dunia tarian itu sejak lebih sedekad lalu, pelbagai pertandingan tarian tempatan dan antarabangsa sudah disertainya. Dengan kata lain beliau amat arif dengan tinggi rendahnya pentas tarian.

“Saya mula jatuh hati dengan breakdance selepas sering menonton program realiti tari Showdown 2010. Bahkan, selepas tamat Diploma bidang Pengurusan Hospitaliti pun saya masih aktif. Pejam celik sudah 10 tahun saya dalam arena ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sora yang juga merupakan ahli anggota kumpulan Wakaka Crew pernah memenangi pertandingan seumpama itu secara solo di Indonesia, Singapura, Sri Lanka, Vietnam, Budapest, Switzerland, Tokyo dan Jerman.

Mohd. Firdaus, berkata usaha komuniti hip hop yang berusaha keras mengangkat breaking ke acara berprestij seperti Sukan Olimpik adalah sesuatu hadiah yang amat dinanti-nantikan sejak dahulu lagi.

Bak orang mengantuk disorongkan bantal, katanya peluang keemasan itu beliau tidak akan teragak-agak lagi untuk terus mempersiapkan diri bagi mendapatkan tahap tubuh yang optimum sebagai persediaan ke sukan dunia itu.

BUKAN SEKADAR MENARI
Menyelami isi hati anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, katanya cita-cita untuk mewakili negara ke Olimpik, bukan sekadar impian.

Sebaliknya mahu membuka mata orang ramai mengenai disiplin sukan breaking, suatu tarian yang sering dianggap serong oleh kebanyakan orang.

“Sejak zaman sekolah menengah, saya selalu menari pada waktu rehat dan sebelum perhimpunan di dewan kecil. Ada yang kata saya ibarat sapu lantai, tiada masa depan, malah tidak sayang badan.

“Keluarga saya pada awalnya marah dan takut tengok anak mereka buat perkara yang boleh mendatangkan kemud­hara­tan badan diri sendiri. Tapi saya yakinkan mereka. Perjalanan saya dari kosong sampailah menang pada peringkat antara­bangsa dengan breaking sahaja,” katanya.

Berbaki tiga tahun menuju Paris 2024, anak kedua daripada empat beradik ini, mahu membuktikan kepada khalayak, breaking bukan sekadar menari dan berpusing di atas lantai. Malah saya tidak segan silu, menyasar pingat emas.

Sebelum ini atlet B-Boy (penari hip-hop lelaki), Lego Sam atau nama sebenarnya Sam Lee Jek, selaku wakil kontinjen negara, pernah mengharumkan nama Malaysia pada temasya Sukan SEA ke-30 (2019) dengan menghadiahkan dua pingat emas.

Berdasarkan format pertandingan, peserta yang mengumpul mata tertinggi selepas empat pusingan tarian, diisytiharkan sebagai pemenang pertandingan berkenaan. Memperlihatkan lakaran pencapaian itu, menguatkan tekad dan semangat Mohd. Firdaus, mencontohi idolanya itu.

Ada hasil
Biarpun dunia tarian dilihat sebagai kerjaya susah cari makan, namun Mohd. Firdaus memberitahu, ianya tidak selalu benar.

Buktinya, hasil menari di pelbagai acara berskala kecil dan besar seperti di Anugerah Juara Lagu, Akademi Fantasia, Big Stage dan Anugerah MeleTop ERA, dia berkemampuan memiliki kenderaan impian berupa Kawasaki KLX dan Modenas.

Selain terbabit sebagai penari dan melakukan persembahan, pengalaman dimiliki Mohd. Firdaus turut melayakkan dirinya diundang sebagai juri pertandingan berkaitan tarian.

Menari tepi jalan cari duit
Setiap liku perjalanan pasti ada kenangan yang mendidik Mohd. Firdaus menjadi individu yang lebih cekal dalam mencari rezeki.

Mohd. Firdaus berkata beliau pernah menyertai sebuah pertandingan di Jerman, namun tidak cukup duit sebagai belanja makan dan penginapan.

“Seorang teman memberitahu saya, di luar negara kita tetap boleh cari makan dengan hanya menari di tepi jalan saja, macam busking asalkan kita berani,” katanya yang mengambil pengalaman menari tepi jalan itu sebagai ilmu.

Menyentuh mengenai kelas tarian, Mohd. Firdaus berkata, dia sentiasa terbuka dengan siapa saja yang datang kepadanya untuk menimba ilmu breaking.

“Saya tidak buka kelas pun, hanya menerusi bengkel anjuran tertentu saja. Tapi kalau ada kebetulan jomlah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×