Pernah tak anda hilang mood hanya kerana sebatang pen?
Sudahlah dakwatnya keluar tersekat-sekat. Proses menulis pula tidak lancar sebab mata pen yang kasar. Dalam kata mudah difahami, tidak sedap menulis.
Situasi inilah yang menyebabkan kadang kala kita mengambil masa untuk membeli sebatang pen. Bukan kerana cerewet, sebaliknya kelancaran mata pen itu yang kelak mempengaruhi motivasi untuk mencatat, menulis dan berkarya.
Menangani kegusaran itu, jenama Faber-Castell Malaysia baru-baru melancarkan Fast Gel Z. Pen gel ini menghasilkan pengalaman penulisan yang sempurna dan lancar.
Mata pen multi-channelled inovatif itu, dipadankan dengan dakwat yang berkelikatan rendah, bagi menghasilkan penulisan yang sempurna.
Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia, Andrew Woon, berkata teknologi mata pen baharu ini mengurangkan geseran antara kertas dan pen, menghasilkan hasil tulisan yang rata. Dalam ujian perbandingan geseran, pen itu menunjukkan tahap geseran yang paling rendah berbanding pen lain di pasaran.
“Masalah dihadapi pengguna ketika mengguna pen gel adalah tidak boleh menulis dengan lancar, dakwat comot dan pemegang menjadi licin terutamanya sewaktu menulis untuk jangka waktu yang lama. Situasi ini menyebabkan pengguna tidak berpuas hati.
“Ini telah mendorong kami untuk menginovasi pen Fast Gel Z dan membawa pengalaman penulisan lebih baik. Dengan membawa teknologi terkini seperti teknologi mata pen yang sempurna dan ciri dakwat ultra licin, pelanggan dapat menikmati kepuasan penulisan kerana ia menjamin penulisan yang mudah, terang dan garisan yang jelas, tanpa tersekat-sekat. Paling penting tidak comot,” katanya.
Menurut Andrew lagi, pen gel merupakan segmen perniagaan penting bagi jenama itu.
Kajian sebuah syarikat penyedia data dan perunding terkemuka dunia, Kantar pasaran bagi pen gel di Malaysia pada 2019 sudah mencecah RM43 juta.
“Laporan Persistence Market Research pada 2020, mendedahkan pasaran alat tulis sedunia dijangka berkembang sebanyak 1.5 kali ganda pada 2030. Pelajar merupakan penyumbang terbesar pasaran sebagai pengguna alat tulis dan pasaran sedang menuju perkembangan di CAGR sebanyak lima peratus menjelang 2030. Dalam kesemua jenis alat tulis, pen merupakan segmen yang besar dengan pegangan sebanyak 60 peratus dalam pasaran alat tulis secara global,” katanya.
Di datangkan dalam dua varian – 0.5mm dan 0.7mm. Ia boleh didapati dengan dakwat hitam, biru dan merah pada harga RM5 sebatang, manakala dakwat isi semula pada harga RM3.50.










