PETALING JAYA: Menerima mesej atau WhatsApp daripada `kawan lama’ yang meluahkan terdesak ingin meminjam wang untuk tempoh seketika sudah tentu membuatkan seseorang individu tidak berfikir panjang terus menunaikan permintaan itu.
Malangnya, di sebalik keikhlasan tersebut rupanya individu berkenaan menjadi mangsa penipuan ahli sindiket yang menggunakan modal sebagai `kawan lama’.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, penipuan menerusi WhatsApp atau mesej ini sedang `popular’ dengan ramai mangsa membuat laporan polis.
Menurut beliau, modus operandi sindiket bermula dengan kumpulan itu merekrut ahli penipunya melalui laman sosial terutama Facebook dengan gaji bulanan sekitar RM3,000.
“Ahli sindiket yang bersedia memulakan tugas dibekalkan 50 sehingga 100 nombor telefon sehari untuk dihubungi.
“Lebih memudahkan ahli sindiket turut disediakan beberapa skrip yang perlu diluahkan dengan mangsa yang dihubungi,” kata beliau.
Kata Mohd. Kamarudin, biasanya ahli sindiket akan memaklumkan kepada mangsa bahawa dia adalah kawan lama atau individu yang dikenali mangsa seperti saudara mara, jiran dan sebagainya.
“Sindiket kemudian meminta mangsa meneka nama kawan mereka dan mengulangi proses berkenaan beberapa kali sehingga mangsa percaya,” katanya di sini semalam.
Tidak terhenti di situ, kata beliau, ahli sindiket kemudian akan memberitahu dia telah menukar nombor telefon baharu dan meminta mangsa menyimpan nombor terkini tersebut.
“Selepas itu, bermula pelbagai alasan digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa dengan meminta bantuan kewangan dengan alasan dompet hilang, terikat dengan bayaran tertentu dan sebagainya bagi meraih simpati.
“Sekiranya mangsa percaya, sindiket akan memberikan nombor akaun kepada mangsa untuk memasukkan wang dan berjanji akan membayar semula dalam tempoh sehari atau dua hari kemudian.
“Sindiket akan menutup nombor telefon berkenaan sebaik mendapat wang manakala bank yang digunakan adalah ‘mule akaun’ seterusnya meyukarkan mereka dikesan atau ditangkap,”ujarnya.
Sehubungan itu, kata Kamaruddin, sebanyak 1,306 kes melibatkan kerugian RM8.92 juta direkodkan di seluruh negara sejak 2020 sehingga Ogos lalu berhubung penipuan berkenaan.
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 734 kes direkodkan pada 2020 dengan kerugian RM5.4 juta diikuti sebanyak 572 kes lagi dilaporkan berlaku awal tahun ini sehingga Ogos lalu melibatkan kerugian RM3.4 juta.
Semua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun sehingga 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Justeru, Kamaruddin mengingatkan orang ramai berhati-hati khususnya apabila mendapat panggilan yang mendakwa sebagai kawan lama atau saudara mara seterusnya membabitkan pemindahan wang ke dalam akaun individu lain.
“Dalam kes-kes sebegini, sewajarnya semakan dibuat menggunakan nombor telefon yang telah disimpan atau biasa dihubungi bagi mengesahkan dakwaan yang mungkin dibuat oleh ahli sindiket.
Untuk khidmat nasihat berkenaan kes-kes jenayah komersial, orang ramai boleh berhubung dengan CCID Response Center di talian 03-26101559 dan 03-26101599.
Orang ramai juga digalakkan menggunakan kemudahan semakmule yang boleh dicapai melalui https://semakmule.rmp.gov.my/ untuk membuat semakan terhadap mana-mana akaun bank yang mencurigakan. – UTUSAN











