Pantai barat alami cuaca tak menentu - Utusan Malaysia

Pantai barat alami cuaca tak menentu

KEADAAN banjir di Kampung Kuantan dan Kampung Tanjung Siam, Kuala Selangor dinaiki air Selasa lalu dipercayai kesan daripada peralihan monsun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai dan nelayan dinasihatkan lebih berwaspada dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia se­belum melakukan aktiviti atau untuk turun ke laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ini kerana bermula hari ini hingga awal bulan November, Malaysia sedang melalui fasa peralihan monsun iaitu dari monsun barat da­ya kepada monsun timur laut.

Menurut beliau, dalam fasa peralihan akan menyebabkan be­berapa negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung berisiko dilanda ribut petir tiba-tiba, hujan lebat dan laut bergelora.

MUHAMMAD HELMI ABDULLAH

“Negeri-negeri yang bakal mengalami cuaca tidak menentu ialah di sebelah pantai barat dan pendalaman semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, kata beliau,negeri-negeri di pantai timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu dijangka kurang terkesan dengan masalah peralihan monsun tersebut.

Begitu juga di utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang manakala selatan iaitu Johor dijangka tidak alami kesan te­ruk.

Sehubungan itu, Helmi, menasihatkan penduduk seperti di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapatkan maklumat cuaca atau menyemak ramalan meteorologi sebelum melakukan aktiviti atau berhasrat turun ke laut.

“Penduduk di negeri-negeri tersebut perlu menjauhkan diri dari mana-mana sumber air seperti air terjun kerana air boleh mengalirkan arus elektrik selain arusnya juga boleh jadi terlalu deras,” kata Helmi.

Beliau memberitahu, dalam fasa peralihan monsun, seluruh rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan keadaan ini menyebabkan negeri-negeri terbabit mudah berlaku ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam masa singkat.

Kata Helmi, berdasarkan laporan tinjauan cuaca jangka panjang terkini MET Malaysia menunjukkan, dalam tempoh peralihan pada Oktober kebanyakan negeri di semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 milimeter (mm) hingga 450 mm, kecuali di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak menerima hujan sedikit melebihi paras purata iaitu antara 250 mm hingga 500 mm.

Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 250 mm hingga 450 mm kecuali di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 350 mm hingga 450 mm.

Sabah dan Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 500 mm, kecuali di Tawau yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100 mm hingga 150 mm.

Kata Helmi lagi, selepas peralihan monsun, negara akan memasuki monsun timur laut pada awal November dan akan berlanjutan sehingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh monsun timur laut iaitu sekitar November hingga Disember, diramal membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala di Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember ini berlarutan hingga Januari 2022.

“Bagi jangkaan jumlah hujan tertinggi semasa monsun timur laut di pantai timur adalah pada November dan Disember ini,” kata beliau.

Pada November, taburan hujan di Kelantan dan Terengganu dijangka melebihi 600 mm manakala di Pahang 200-400 mm.
Jangkaan jumlah hujan pada Disember, Kelantan dan Terengganu diramal terus melebihi 600 mm manakala di Pahang antara 300 hingga 600 mm.

Terdahulu dilaporkan, lebih 100 penduduk di Kampung Tanjung Buah-Buahan, Kuala Selangor di Selangor mengalami banjir sehingga diarah pindah oleh polis selepas kampung itu dinaiki air.

Penduduk menyifatkan kejadian banjir Selasa lalu berlaku pantas apabila air dari Sungai Selangor datang menderu sebelum menenggelamkan sebahagian kediaman mereka.

Di Sabah pula, dilaporkan seorang lelaki berusia 50 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun hilang selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di Kampung Kalandos Pangi, Tenom Saba kelma­rin.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×