Nama dan wajah Mas Anizan bukanlah asing kepada peminat seni tanah air. Dari zaman anak dara sehinggalah sudah mempunyai menantu, pelakon yang memulakan kerjaya seni pada era 1990-an ini tetap jadi perhatian.
Jika tidak kisah kerjaya seni, sudah pasti kisah peribadi akan jadi bualan. Begitulah hidup sebagai seorang selebriti yang memiliki nama sebenar Mas Anizan Mohamed Shahid ini.
Mahu tak mahu sedikit sebanyak perlu juga berkongsi peristiwa istimewa yang berlaku dalam kehidupan.
Pada awal bulan Ogos lalu, satu lagi peristiwa paling bermakna telah berlaku dalam fasa kehidupannya. Selepas tiga kali ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anak sulungnya Mas Aliza Ali, 26, akhirnya selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati iaitu Faruq Azran, 27, di Pejabat Agama Islam Daerah Shah Alam, Selangor.
“Saya hanya tunggu dalam kereta sahaja sepanjang majlis pernikahan itu dilangsungkan. Walau tidak dapat melihat secara live, syukur anak saya, Masli Danail merakam setiap saat indah majlis,” katanya kepada Utusan Malaysia mengenai majlis yang berlangsung 6 Ogos lalu.
Momen indah itu diabadikan dalam Instagramnya. Dia mahu pengikutnya untuk turut sama berkongsi kebahagian dirasai dalam menerima menantu dan kini bergelar ibu mentua.

KESEDIHAN & PKP
Mengulas lanjut, Mas Anizan tidak menafikan menganjurkan majlis istimewa sewaktu PKP sememangnya mengundang hiba di hatinya. Malah rasa itu pasti dirasai semua ibu bapa yang menyambut menantu sulung seperti dirinya.
Selain perlu mematuhi SOP, majlis tidak serancak dan seronok seperti dihajatkan seorang wanita bergelar ibu yang mahu menyaksikan majis gilang gemilang buat permata hati, lebih-lebih lagi anak sulung perempuan.
“Memang saya sedih kerana apa yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Pada hari bahagia patutnya saya mahu semua ahli keluarga berkumpul. Anak saya sendiri pun mahukan adik-beradiknya ada bersama,” katanya.
PATUH SOP
Patuhlah SOP demi keselamatan. Demikian nasihat Mas Anizan kepada ibu bapa dan pasangan pengantin baru yang mahu mendirikan rumah tangga dalam norma baharu.
“Memang kalau ikutkan hati semua orang mahukan majlis perkahwinan yang meriah. Tetapi fikirkan nyawa orang yang kita sayang. Biarlah kita berkorban menahan keinginan sekarang daripada kita kehilangan orang yang kita sayangi,” katanya.
Mas Anizan turut berkongsi cerita mengenai menantunya, Faruq.
“Pertama kali mengenalinya masa keluar makan tengah hari bersama Mas Aliza. Pada pertemuan pertama lagi saya sudah menjangkakan Faruq seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab,” katanya.
Menitip pesan untuk banyak bersabar dan bertolak ansur malah terus belajar memahami pasangan sehingga ke akhirnya lantaran cinta itu perlu dipupuk.

KEMBALI KE DUNIA GLAMOR
Mas Anizan kembali berlakon pada 2019.
“Saya berlakon sebab saya suka. Memandangkan anak-anak sudah besar, saya boleh isi masa terluang dengan berlakon semula,” katanya.
Kemunculan watak Puan Sri Norizan, dalam drama Sara Sajeeda menghilangkan kerinduannya kepada dunia lakonan.
“Mula tu rasa gementar juga sebab sudah lama tidak berlakon. Tetapi kini sudah boleh membiasakan diri,” katanya lagi tidak ada perbezaan ketika berlakon pada usia muda dan kini ketika sudah berusia.
“Sama sahaja. Tidak ada bezanya. Cuma sekarang ini saya sudah jadi pelakon senior. Setakat ini saya enjoy sahaja dengan semua pelakon yang berlakon bersama saya. Saya seronok lagi-lagi apabila berjumpa semula dengan rakan-rakan artis lama,” katanya.
Antara drama dilakonkan ialah Biar Mereka Cemburu (2020), Hari Kita Jatuh (2021) dan Hati Yang Dikhianati (2021) dan Juliet.
Sewaktu temubual ini dilakukan, Mas Anizan menjelaskan beliau perlu menjalankan penggambaran bagi menyambung semula drama Hati Yang Dikhianati yang tertangguh akibat PKP.
“Saya risau sangat tetapi tanggungjawab perlu dilunaskan. Di tempat penggambaran kami menjaga SOP. Sebagai langkah keselamatan, saya sentiasa ada stok sanitizer, pelitup muka dan face shield. Balik ke rumah saya akan terus mandi,” katanya.
KUNCI MULUT
Bercerita hal rumah tangga sendiri, Mas Anizah seboleh-bolehnya tidak mahu berkongsi cerita mengenainya. Dia kunci mulut apabila dilontar soalan peribadi.
“Apa yang boleh saya katakan saya dalam fasa kehidupannya yang sangat bahagia. Bahagia itu bila hati tenang. Cinta pada Allah sahaja kebahagiaan yang sebenar,” ujarnya menjelaskan erti kebahagiaan dalam hidupnya.

Mas Anizan mula diperkenalkan dalam drama televisyen Sesat Dalam Cahaya pada 1990. Filem pertamanya pula berjudul Antara Gadis yang menaikkan namanya.
Pada 1993, melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan, Datuk Ali Bapoo, seterusnya menyepi daripada dunia glamor. Ali Bapoo meninggal dunia pada 2008.
Beberapa tahun selepas itu, Mas Anizan bertemu jodoh dengan suami baharu yang enggan didedahkan.
Hasil perkahwinan kedua, dia dikurniakan anak perempuan, Ariana Marrisa.
CANTIK ITU PERLU
Melihatkan wajahnya yang tidak dimamah usia, wanita berusia 47 tahun ini hanya melahirkan rasa syukur pada illahi.
“Tidak ada yang istimewa sangat mengenai kecantikan saya ini. Saya sama sahaja seperti orang lain. Makna cantik pada saya adalah cantik itu bukan sekadar luaran tetapi juga dalaman.
“Kecantikan dalaman lebih utama. Kalau dalam diri kita cantik secara tidak langsung ia terpancar di luar. Bagi wanita mereka perlu ada hati yang bersih dan niat yang ikhlas dalam apa jua tindakan itu untuk jadi sentiasa cantik,” tambahnya.

Menurut beliau, cantik itu perlu. Islam juga suka pada kebersihan dan kecantikan.
“Saya cuba untuk minum air secukupnya serta tidak lupa mengambil makanan tambahan atau suplemen untuk keperluan badan.
“Selain itu setiap kali masa terluang saya suka beriadah terutamanya hiking,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Biodata:
Nama: Mas Anizan Mohamed Shahid
Usia: 47
Asal: Perak
Anak: 3 orang. Mas Aliza, 26; Masli Danail, 21, dan Ariana Marissa, 7.
Hobi: Memasak, hiking, cycling.
Falsafah hidup: “Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu terlalu penting dalam sebuah kehidupan .








