Katak Budgett suka menjerit, beremosi - Utusan Malaysia

Katak Budgett suka menjerit, beremosi

Rozaiatun Azura Che Mat menunjukkan katak paling cantik, Peaky daripada spesies Pacman Frog.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JIKA orang lain geli dengan katak kerana tekstur badannya yang lembik, lembap dan menggerutu, ia berbeza bagi Rozaiatun Azura Che Mat. Dia teruja dengan kecomelan kesemua spesies amfibia itu.

Dalam lebih lapan ekor katak perliharaanya, paling menghiburkan dan mencuit hati Rozaiatun ialah Budgett Frog atau Katak Budgett. Sebabnya, ia suka mengeluarkan jeritan yang nyaring bila diganggu.

“Katak ini boleh dikategori paling hodoh kerana mempunyai badan leper tidak seperti katak-katak lain. Tetapi saya paling suka membelanya.

“Ia juga sangat mudah membuatkan saya terhibur. Apabila ia diganggu atau saya sengaja kacau, ia akan marah (sangat beremosi). Badannya mengembung dan menjerit.

“Saya suka lihat ia menjerit dan bunyinya agak nyaring juga. Pasti ramai yang tidak tahu katak jenis ini boleh menjerit. Sangat kelakar. Itu yang membuatkan saya suka untuk ganggunya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Antara katak termahal, spesies Dumpy Tree Frog.

Wanita berusia 28 tahun itu memelihara lapan ekor katak dengan lima spesies antaranya Budgett Frog, African Bullfrog, Dumpy Tree Frog dan Pacman Frog.

Minat terhadap haiwan berdarah sejuk itu terbit sejak empat tahun lalu, semasa berkhidmat di sebuah zoo di Serdang, Selangor.

“Waktu itu ada seorang kenalan yang membawa katak jenis White Tree Frog atau Dumpy Tree Frog dan diletakkan di zoo ini. Badannya macam menyentuh mainan berbentuk lendir slime. Saya tak henti-henti menyebutnya comel. Sejak itu saya tertarik membela katak,” katanya.

Renjer haiwan ini berkata, antara lima spesies paling mahal dibelinya adalah jenis Dumpy Tree Frog yang berharga RM300.

“Katak ini berasal dari Australia dan harga bagi seekor boleh mencecah sehingga RM500.

“African Bullfrog pula kalau saiz besar harga boleh menjangkau RM70 seekor. Setakat ini saya hanya berhabis kira-kira RM1,000 untuk kesemua katak yang saya bela,” katanya.

Pacman Frog diberi makan tikus makmal sekali seminggu.

GIGIT TAK LEPAS

Kongsi Rozaiatun, walaupun haiwan itu kelihatan jinak dan bersahaja, namun ia boleh menggigit.

“Pengalaman kali pertama digigit katak adalah ketika kendalikan Pacman Frog. Gigitannya tidaklah parah cuma meninggalkan rasa sakit dan sedikit gatal. Begitupun, semua katak saya bela ini tidak berbisa dan beracun.

“Kali kedua pula ketika membersihkan Budgett Frog. Jenis ini, tidak akan lepas kalau menggigit. Jadi, saya rendamkannya dalam air, barulah ia lepaskan gigitan,” katanya.

Pacman Frog pula katak tidak berbisa yang paling cantik kerana badannya berwarna dan ada corak. Ada warna hijau, kuning, oren, merah strawberi dan warna pelangi.

Ujar Rozaiatun, bagi player katak profesional mereka suka membela katak kecil dan berbisa seperti Dart Frog.

“Saiznya sebesar hujung jari kelingking sahaja tetapi ia beracun dan berbahaya,” katanya.

Rozaiatun akan bermain dengan katak-katak dan membersihkan akuarium selepas memberinya makan.

Mengenai aspek pemakanan, kata Rozaiatun, katak diberi makanan berbeza mengikut spesies.

“African Bullfrog dan Pacman Frog makan tikus dan ia boleh kenyang seminggu. Jenis ini boleh membesar sebesar dua tapak tangan manusia. Saya bela African Bullfrog daripada saiz dua inci setengah sekarang sebesar lima inci,” katanya. Budgett Frog makan anak ikan (saiz satu inci) atau serangga untuk sekali seminggu, manakala Dumpy Tree Frog makan serangga seperti cengkerik,

ulat dan cacing yang diberi satu atau dua kali seminggu.

KATAK GEMUK CEPAT MATI

LULUSAN Ijazah Sarjana Muda Sains Penternakan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini tidak memberi terlalu banyak makanan pada katak belaannya bagi mengelakkan gemuk kerana ia boleh memendekkan usianya.

“Jangka hayat katak hanya 15 tahun. Ia mudah mati kalau obesiti. Berlainan daripada katak liar yang bergerak mencari makanan sendiri. Katak bertuah tidak bergerak sebab diberi makan. Sebab itulah ia mudah obesiti,” katanya.

Seperti haiwan lain, katak juga tidak boleh diganggu atau kerap dipegang, kerana ia boleh tertekan dan merajuk tidak mahu makan.

“Saya hanya main dengannya pada waktu ia diberi makanan.Sebab kalau Budgett Frog, ia cepat marah kalau selalu diganggu. Jadi, saya akan bermain sekejap dengannya untuk tidak memberinya tekanan sebab bimbang ia tidak mahu makan,” katanya.

Mendapat sokongan suami, Raahsan Alwi yang memberi lampu hijau untuk membela katak-katak ini kerana mempunyai minat sama terhadap reptilia dan haiwan eksotik lain.

“Tapi kalau ibu dan adik-beradik lain tidak suka sebab tidak berani. Kalau saya jumpa katak di rumah keluarga, saya akan ambil dan bela. Saya berani pegang semua katak yang tidak berbisa,” katanya yang menjelaskan katak tidak sensitif pada tangan manusia tetapi selepas memegangnya perlu membasuh tangan.

“Dumpy Tree Frog istimewa sebab ada anti-bakteria pada badannya dan boleh bertukar warna ikut keadaan,” katanya.

Rozaiatun berkata, ramai salah faham mengenai kencing katak boleh menyebabkan buta.

Namun katanya, ia hanya akan meninggalkan rasa pedih tetapi itulah caranya mempertahankan diri.

“Kucing biasa jadi mangsa sebab selalu mengganggu katak. Katak pisang atau pokok adalah spesies yang paling kuat kencing manakala yang paling kurang kencing adalah katak kodok dan puru,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN