Di permulaan buku Petunjuk Sepanjang Jalan karangan Sayyid Qutb ada menceritakan kegagalan teori aliran pemikiran barat yang berasas kepada keduniaan dan tidak berasas kepada nilai yang murni.
Secara umumnya ia bertentangan dengan tabiat fitrah manusia. Islam sahajalah yang memiliki nilai dan manhaj yang lurus. Namun begitu, nilai murni yang indah dalam Islam yang mewakili masyarakat Islam tidak dipandang.
Kewujudan umat Islam seakan terasing dalam realiti kehidupan. Perkara ini berlaku semenjak umat Islam meninggalkan syariat Islam.
Bagi mengembalikan kemuliaan umat Islam, ia perlu kepada anjakan yang menyeluruh dalam pemikiran dan pengamalan. Generasi sahabat r.a adalah contoh terbaik kemuliaan umat Islam.
Mereka menerima didikan secara langsung daripada Nabi SAW. Kajian kehebatan mereka dibicarakan oleh ramai ulama. Antara yang menampilkan faktor kejayaan mereka adalah Sayyid Qutb dalam kitabnya Petunjuk Sepanjang Jalan.
Para sahabat r.a adalah generasi pertama yang lahir dari dakwah Nabi SAW. Mereka adalah generasi yang amat istimewa dalam sejarah Islam bahkan dalam sejarah peradaban manusia keseluruhannya.
Mereka mempunyai akhlak yang mulia, iman yang ikhlas dan banyak kejayaan yang mereka pahat dalam sejarah umat Islam. Perkara ini tidak berulang untuk kali kedua.
Memang benar ada beberapa peribadi yang hebat sepanjang zaman selepas generasi mereka. Namun tidak berkumpul sekumpulan yang hebat seumpama bilangan yang besar sahabat r.a dan di tempat yang satu sebagaimana berlaku semasa permulaan dakwah dahulu.

Perkara ini amat jelas dan perlu dimuhasabah dalam melihat penerimaan golongan muda masa kini terhadap dakwah supaya mereka menyedari hal ini.
Ia agar kita diberi hidayah ke arah kecemerlangan dan dapat mencapai rahsia kejayaan generasi para sahabat r.a yang amat unik tersebut.
Sesungguhnya al-Quran adalah kitab dakwah yang terbentang luas di hadapan kita. Manakala hadis Rasulullah SAW adalah panduannya yang praktikal. Sirah yang mulia membuktikan kedua-dua peninggalan pusaka tersebut berjaya. Semuanya di hadapan kita. Generasi pertama yang dididik oleh Nabi SAW tidak akan berulang dalam sejarah.
TARBIAH NABI SAW
Tarbiah Nabi SAW kepada para sahabat r.a melalui dakwah ini terbukti kejayaannya dengan melahirkan para sahabat r.a yang mengembangkan ajaran Islam.
Persoalannya, kenapakah generasi selepas sahabat r.a tidak cemerlang sebagaimana kejayaan para sahabat r.a sedangkan dakwah ini adalah untuk seluruh manusia dan kenapakah dakwah ini dijadikan sebagai risalah terakhir?
Persoalan lain ialah mengapakah al-Quran yang digunakan Nabi SAW dalam mendidik para sahabat r.a dijamin dan terus dijaga oleh Allah SWT?
Penjagaan al-Quran adalah kerana kesinambungan dakwah ini akan dilakukan selepas Nabi SAW dan mungkin akan membuahkan hasilnya.
Allah SWT juga memilih Nabi SAW iaitu wafat selepas 23 tahun membawa risalah. Justeru hilang tubuh Rasulullah SAW jangan ditafsirkan secara zahir dan memberi alasan.
Sebab utama generasi pertama ini melonjak atau mempunyai keistimewaan kerana mereka mengambil ilmu hanya dari sumber al-Quran. Hadis Nabi pula adalah panduan hidayah dan kesan dari sumber tersebut. Aisyah r.ha ditanya akhlak Rasulullah SAW dan menjawab akhlaknya adalah al-Quran.
Nabi berakhlak dengan al-Quran. Gerak-gerinya dengan al-Quran dan semua tindak tanduknya adalah berasas kepada al-Quran. Masyarakat Arab ketika itu tidak ada kemajuan, pengetahuan, ilmu, penulisan dan kajian.
Namun begitu tamadun yang ada ketika itu jauh dari kota Mekah seperti tamadun Rom, tamadun Parsi dan ajaran yahudi serta nasara. Tetapi Nabi SAW memberi tumpuan hanya kepada al-Quran.
Nabi SAW marah apabila Umar ibn Khattab r.a memegang lembaran Taurat dengan berkata: Demi Allah jika Musa masih hidup ketika ini tidak ada ruang baginya kecuali mengikut ajaranku.
Ini menggambarkan bahawa Rasulullah SAW mahukan fokus kepada al-Quran sahaja. Rasulullah mahukan generasi pertama ini ikhlas hati, bersih akal, bersih gambaran, bersih jiwa, bersih dari segala kesan selain manhaj ilahi yang terkandung dalam al-Quran.
Atas faktor tersebut, generasi pertama mendapat ilmu dan panduan hanya bersumber kepada al-Quran.
Selepas generasi al-Quran yang pertama ini, berlaku percampuran sumber pengambilan ilmu. Mereka menerima sumber ilmu dari falsafah, cerita dongeng Parsi, israiliyyat yahudi dan ketuhanan nasara.
Semua sumber itu menjadi punca yang merosakkan kemajuan dan thaqafah. Perkara tersebut juga bercampur dengan tafsir al-Quran, fiqh dan usul.
Hal ini berlaku pada generasi demi generasi sehingga keunggulan umat Islam tidak lagi lahir seumpama generasi yang pertama.
Generasi pertama tidak membaca al-Quran untuk thaqafah dan kajian. Tidak untuk menikmati kelunakan tilawah tetapi mereka menerima al-Quran untuk menerima arahan Allah. Khususnya untuk tujuan mereka hidup.
Arahan tersebut pula untuk diamalkan sejurus mendengarnya ibarat tentera menerima arahan di medan perang dan terus melaksanakan arahan pemimpin tanpa ditangguh.
Mereka hendak melakukan banyak kewajipan dan tanggungjawab yang berada di atas bahu mereka. Cukup hanya mereka belajar dengan 10 ayat tetapi memastikan berjaya menghafaz dan beramal sebagaimana hadis Ibn Mas’ud r.a.
Keazaman mereka adalah untuk talaqqi dan mempraktikkannya. Dengan itu terbuka di hadapan mereka seluruh ufuk kenikmatan dalam al-Quran dan ufuk ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya al-Quran tidak memberi harta karunnya kecuali kepada mereka yang menerima al-Quran dengan roh.
Al-Quran bukan kitab kenikmatan akal, bukan kitab sastera dan seni. Bukan kitab kisah atau sejarah walaupun semua itu terdapat dalamnya. Sebaliknya ia datang sebagai kitab manhaj kehidupan. Perlu mendapatkannya dengan ikhlas.
Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur bertepatan dengan kehendak manusia seiring dengan perkara yang berlaku. Ia juga menepati perkembangan pemikiran dan gambaran yang betul dalam masyarakat dan kehidupan.
Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan menyelesai masalah yang berkaitan diri dan masyarakat. Menggariskan manhaj yang tepat dan membetulkan kesalahan dalam kehidupan. Mengikat semua tindakan mereka dengan Allah SWT.
Sesungguhnya amat baik kita mendapatkan kembali manhaj yang baik ini sebagai asas kehidupan dan prinsip. Membebaskan semua fahaman yang tidak betul dengan mengharap dapat mencapai generasi al-Quran yang unik.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM










