Sekali pandang, pasti ramai yang tidak menyangka teratak indah ini terletak di Malaysia.
Berlatarkan rona putih dengan padanan elemen kayu di kawasan dalam dan luar rumah menampakkan suasana seakan berada di negara barat.
Konsep kedesaan Inggeris itu jelas terpapar pada dekorasi rumah milik Asri Meris yang tersergam indah persis seperti yang selalu dilihat di Pinterest.
Bukan sahaja terlihat luas dan lapang, malah kediaman berkenaan juga memberikan elemen tenang dan damai seperti berada di perkampungan luar negara yang beriklim sejuk.

Pendiang api di bahagian ruang tamu rumah melengkapkan suasana rumah ala Inggeris
Menjengah sahaja ke ruang masuk rumah sudah tersergam bunga-bungaan segar yang bergantungan di dinding seakan berada di taman bunga.
Menurut Asri, pada awalnya idea untuk melakukan ubah suai ala rumah ladang itu muncul apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.
Disebabkan menghabiskan lebih banyak masa di rumah dan tidak boleh melancong seperti kebiasaan, dia terfikir untuk ‘membawa’ suasana percutian itu ke kediaman.
“Bila PKP dan tidak dapat melancong ke negara luar seperti kebiasaan bersama keluarga, jadi kami wujudkan suasana seolah-olah bercuti dan berada di negara ‘mat salleh’”, katanya yang juga pereka dalaman AsriSiti Deco.

MINAT ELEMEN INGGERIS
Sememangnya meminati elemen Inggeris yang minimum, Asri berkata, konsep itu kemudiannya direalisasikan dengan gabungan warna putih dan warna-warna kayu lembut untuk memberikan efek rumah kampung atau ladang.
Bermodalkan kos RM250,000, transformasi dimulakan pada bahagian bawah rumah dan selepas itu perubahan turut dilakukan pada bahagian atas struktur rumah yang menggunakan kayu keseluruhannya.
Bagi pemilihan warna, katanya, warna asas seperti putih sudah mencukupi untuk menghidupkan suasana Inggeris moden.
Penggunaan elemen kayu berona lembut pada perabot pula melengkapi suasana ruang untuk tampak seperti rumah desa moden atau di luar negara sinonim dengan rumah ladang.
“Kami memilih warna putih dan elemen kayu lembut, kerana ia sinonim dengan konsep rumah ladang serta memberikan efek lapang dan tenang pada ruang.
“Lagi pula rumah kami ruangnya agak terhad. Jadi dengan pemilihan warna-warna lembut dan cerah akan memberikan kesan lapang pada ruang,” kongsinya.
Hampir keseluruhan ruang di teratak berkenaan berkonsepkan rumah ladang moden melalui penataan warna dan susunan perabot.
Tambah Asri, melengkapkan tema rumah ladang itu, dia dan isteri, Siti Rohani Shuib juga banyak melakukan Do It Yourself memandangkan tema itu sinonim dengan padanan kreativiti tersendiri.
Antara hiasan dan aksesori yang dilakukan sendiri oleh mereka adalah pendiang api, rak kayu untuk ruang cucian baju, tangga kayu, pantri, kitchen island dan banyak lagi.
Pendiang api diletakkan pada bahagian ruang tamu rumah dengan binaan bata merah menampilkan imej klasik rumah Inggeris zaman dahulu kala.
WARNA NATURAL
Dari segi penataan perabot, kebanyakan menggunakan perabot berasaskan warna kayu natural untuk efek lebih alami.
Aksesori rumah juga kebanyakan terdiri daripada warna dan elemen kayu bagi memberi penekanan suasana desa.
Bagi hiasan dalam rumah, aksesori seperti lampu, kerusi dan peralatan rumah menggunakan material kayu dengan sedikit sentuhan kontemporari.

Manakala di bahagian luar rumah pula, Asri lebih gemar menyusun atur seperti taman bunga Inggeris.
Halaman itu turut diserikan dengan kehadiran bunga dan dedaun berwarna hijau bagi menaikkan suasana segar dan damai.










