Mukadimah
Institusi zakat di Malaysia turut terkesan dengan pandemik Covid-19. Selain berhadapan jumlah kutipan yang berkurang kerana makin ramai yang hilang punca pendapatan, cabaran utama adalah bagaimana mengagih wang zakat kepada bilangan asnaf yang kian bertambah.
Selain itu, timbul dakwaan antaranya, institusi zakat dalam negara tidak efisien, tidak turun padang selain susahnya mahu mendapatkan bantuan zakat.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Pengarah Urusan Maahad Tahfiz al-Quran al-Islah (MTQI), Shah Alam, Selangor, DR. GAHAFARULLAHUDDIN DIN bagi mengupas isu ini.

Beliau adalah bekas Prof. Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga bekas Ketua Pusat Zakat, Sedekah dan Wakaf, UiTM Shah Alam.
UTUSAN: Institusi zakat menghadapi cabaran besar dalam era pandemik Covid-19. Ini kerana bilangan asnaf meningkat. Apakah jaminan zakat benar-benar dapat menjadi instrumen membantu ekonomi para asnaf?
DR. GHAFARULLAHUDDIN: Era pandemik Covid-19 memberi cabaran kepada semua pihak bukan setakat dalam negara, malah di seluruh dunia. Kita amat berterima kasih kepada barisan frontliners yang gigih bertungkus lumus membantu aspek kesihatan mereka yang dihinggapi ancaman virus Covid.
Sebenarnya institusi zakat dengan seluruh barisan jentera petugasnya telah lama berkhidmat sebagai frontliners membantu para asnaf.
Walaupun dinyatakan zakat sebagai instrumen membantu ekonomi para asnaf, zakat tetap hanya salah satu instrumen dalam skima takaful ijtima’i masyarakat Islam.
Asasnya memang zakat mengalirkan dana golongan kaya dan berkemampuan kepada golongan fakir miskin dan yang memerlukan. Namun, dalam tuntunan takaful Ijtima’i, masyarakat dianjurkan berdikari semampu mungkin untuk menyara diri dan tanggungan.
Gesaan untuk individu sentiasa berdikari disusuli tanggungjawab menyediakan nafkah dalam keluarga serta jaminan sosial dalam kalangan masyarakat dengan disemboyankan adalah bertepatan dengan sabda Nabi SAW: Tidak dikira beriman orang yang tidur dalam kekenyangan padahal jirannya dalam kelaparan dan berkeperluan. (Riwayat at-Tabrani)
Selain zakat, skim takaful Ijtima’i turut menganjurkan instrumen hibah, hadiah, sedekah dan wakaf. Memandangkan zakat berkaitan langsung dengan peranan negara dan pihak berwajib dalam menangani mereka yang memerlukan, maka pihak berkaitan perlu melaksanakan tanggungjawab ini dengan amanah dan efisien.
Saidina Umar al-Khattab membayangkan pelaksanaan amanah ini dengan mengurus dana masyarakat dan negara ibarat mengurus harta anak yatim. Ia dengan perhatian dan kerisauan takut termakan harta anak yatim yang amat tercela dalam agama.
Pada Julai hingga Disember 2020, Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya memperuntukkan lebih RM60 juta untuk membantu mereka yang terkesan akibat PKP. Institusi zakat negeri lain turut melakukan perkara yang sama. Bagaimanapun masih ada orang yang tak berpuas hati dengan perkhidmatan institusi zakat dalam bab agihan. Adakah dakwaan ini berasas?
Dalam musim pandemik, pelbagai pihak berusaha serius membantu mereka yang memerlukan. LZS ternyata proaktif dengan bantuan melebihi RM60 juta dengan pelbagai inisiatif bantuan prihatin dengan agenda utama meliputi memenuhi keperluan asasi asnaf utama.
Laporan rasmi LZS memaparkan hampir 60,000 penerima mendapat sumbangan dan manfaat serta lebih 400 institusi disalurkan bantuan. Laporan rasmi pihak berwajib di negeri-negeri lain turut memaparkan bantuan yang bukan sedikit.
Seperti mana masyarakat amat berterima kasih kepada para frontliners yang berkorban jiwa raga memelihara maslahah diri dan nyawa masyarakat, kita tidak seharusnya melupakan frontliners petugas zakat.
Mereka ini juga menyumbang jiwa dan raga untuk pastikan tiada yang kelaparan dihimpit tekanan ekonomi. Mereka turut terdedah kepada risiko virus tatkala bergegas menyalurkan bantuan seperti juga barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan anggota keselamatan.
Memang kedengaran ada yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan institusi zakat khususnya dalam bab agihan.
Lebih-lebih lagi media sosial menghebahkan kegigihan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu hingga ada yang bertanya: “Mana peranan pusat zakat”?
Sebenarnya kesusahan di musim pandemik telah menggamit banyak pihak turut berperanan meringankan golongan memerlukan.
Kita bersyukur ramai menghayati apa yang disabdakan Nabi SAW: Kita bagaikan satu jasad, jika ada anggota yang sakit, anggota lain akan turut merasai. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Seruan ini begitu bergema hingga bantuan mencurah-curah meliputi setiap pelosok negeri dengan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.
Penyair silam Sa’di rahimahullah bermadah, ‘If thou feelest not for others misery, a son of Adam is no name for thee.’ Madah Sa‘di ini mengingatkan kita, “Jika anda tidak merasai kesusahan orang lain, anda bukanlah anak cucu Nabi Adam.” Ia memberitahu kita semuanya bersaudara atas paksi kemanusiaan.
Media sosial ‘mensyiarkan’ amalan murni pelbagai pihak, yang bergegas bantu golongan yang mengibar bendera putih. Ini semua amalan terpuji dan membanggakan umat yang mempamerkan suasana kasih sayang masih segar dalam masyarakat.
Pandemik telah melahirkan ramai frontliners NGO dan sukarelawan. Namun kita tetap tidak melupakan frontliners dalam kalangan pihak berwajib yang melibatkan petugas institusi zakat di semua negeri.

Ada juga dakwaan petugas institusi zakat tak efisien, tak turun padang, hanya tunggu orang datang buat laporan di pejabat. Berdasarkan pengalaman Dr. mengurus agihan dan berurusan dengan pihak zakat, apa yang boleh dikongsi dengan masyarakat?
Media sosial yang ‘mensyiarkan’ kegigihan pihak tertentu menyalurkan bantuan turut menimbulkan dakwaan seolah-olah petugas institusi zakat tidak efisien.
Kita perlu realistik dengan dakwaan ini. Musim pandemik ini memberi kesan yang begitu menyeluruh. Sebelum pandemik pun, nisbah pegawai yang diamanahkan dengan institusi keagamaan berbanding dengan keperluan sebenar, jauh daripada mencukupi.
Tenaga petugas tidak seimbang dengan keperluan tugas yang meliputi setiap negeri. Dalam keadaan sebegini pun, institusi zakat berjaya bergerak dengan cemerlang. Ini merujuk kepada prestasi tahunan sama ada dari segi jumlah kutipan dana zakat mahupun jumlah penerima agihan setiap tahun.
Saya pernah berurusan dengan pihak zakat sebagai petugas yang diamanahkan kutipan dan agihan zakat di UiTM. Kita berterima kasih kepada LZS yang melantik Penolong Amil dalam kalangan IPTA/IPTS di Selangor.
Konsep desentralisasi pengurusan zakat dari segi kutipan dan agihan secara wakalah ini sekaligus mengefisienkan kutipan dan juga agihan zakat di UiTM.
Seingat saya, sejak tahun 2000 hingga 2019, mencecah 20 tahun, hampir RM80 juta berjaya dikumpul. Dalam tempoh itu, hampir 90,000 penerima mendapat manfaat dalam pelbagai bentuk seperti pembiayaan yuran dan sara diri.
ADA KAEDAH AGIH WANG ZAKAT
Duit zakat tidak sama dengan derma atau sumbangan. Apakah syarat-syarat yang mesti dipatuhi sebelum ia boleh diagihkan kepada asnaf?
Memang benar. Dana zakat tidak sama dengan derma.
Ini kerana ibadat zakat melibatkan aspek niat, hukum, kadarnya dan penerima yang khusus. Niat zakat melibatkan zakat daripada siapa dan zakat atas harta tertentu.
Hukum zakat adalah wajib. Penerima zakat pula mestilah dalam kalangan lapan asnaf yang tidak boleh diagih sesuka hati.
Zakat ada kadarnya bagi harta tertentu. Derma atau sumbangan lebih bebas.
Pihak pusat zakat perlu pastikan penggunaan dana zakat tidak terkeluar daripada lapan asnaf yang ditetapkan oleh al-Quran. (Rujuk at-Taubah: 60)
Tafsiran setiap asnaf hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa agama/jabatan mufti negeri masing-masing supaya mereka yang benar-benar layak dapat bantuan zakat.

Ada juga individu yang suka bayar zakat terus kepada sasaran. Apa tindakan yang betul dalam hal ini?
Dari segi hukum fiqh, dibolehkan untuk pihak pengeluar atau pembayar zakat (muzakki) membuat agihan terus kepada asnaf yang layak. Syaratnya golongan asnaf itu bukan orang di bawah tanggungan pembayar zakat seperti anak-anak atau ibu bapa.
Namun, perbuatan tersebut melanggar undang-undang pihak berwajib.
Tindakan pembayar zakat membayar zakat terus kepada asnaf secara berleluasa boleh memberi beberapa implikasi.
Implikasi pertama, berlaku kekurangan dalam jumlah kutipan dana zakat institusi zakat. Seterusnya memberi kesan kepada jumlah dana yang boleh diagihkan.
Dari sudut pengurusan ekonomi makro, tindakan begini cenderung mencetuskan agihan dana yang tidak menyeluruh. Mungkin ada pihak yang menerima agihan lebih dan mungkin ada yang terabai.
Dalam sesebuah sistem ekonomi, meskipun aspek pengeluaran mendapat tempat tetapi ada kecacatan agihannya, kemakmuran masyarakatnya tidak akan stabil.
Dengan pengurusan terurus melalui pusat zakat, kita bukan sahaja ada pengkalan data bagi tujuan perakaunan malah turut mempunyai pengkalan data penerima dana zakat.
Ada juga segelintir penerima zakat yang tidak jujur, yang nafikan mereka pernah dan sedang terima bantuan. Bagaimana mengatasi perkara ini?
Ini berkaitan terus dengan krisis akhlak. Sebarang bentuk penipuan, penyelewengan dan seumpamanya tidak pernah mendapat tempat dalam agama.
Aspek amanah dan kejujuran serta menjauhi tingkah laku tercela menjadi perkara asas dalam agama dan misi penting Nabi SAW yang menegaskan “Daku diutus untuk menyempurnakan akhlak.”
Umat ditarbiyah untuk mengusahakan rezeki yang halal. Umat juga dididik tidak meminta-minta dan tidak menipu.
Hal berkaitan segelintir penerima yang tidak jujur dan penipuan pelbagai ini menjejaskan prestasi pengurusan pusat zakat khususnya dalam mencetuskan kesaksamaan dalam mengagihkan bantuan.










