Bahasa al-Quran amat memukau - Utusan Malaysia

Bahasa al-Quran amat memukau

Allahyarham Datuk Ismail Hashim adalah antara qari negara yang mempunyai suara merdu dan memukau setiap kali memperdengarkan bacaan dalam tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kajian terhadap bahasa al-Quran yang memukau dan menarik hati manusia adalah sebahagian mukjizat al-Quran. Al-Quran mempunyai tarikan yang tersendiri.

Pernah satu ketika seorang sahabat yang mempunyai suara yang baik membaca al-Quran dalam perhimpunan di sekolahnya telah disapa oleh seorang guru yang bukan muslim dengan soalan mengapa setiap kali awak baca Quran bulu roma saya meremang?

Perkara ini sebenarnya telah berlaku pada zaman Nabi SAW ketika Jaafar Ibn Abi Talib r.a yang berhijrah ke Habsyah membaca awal surah Maryam di hadapan Raja Najasyi.

Apabila Raja Najasyi mendengar ayat-ayat Quran yang dibacakan kepadanya, beliau dan para menterinya mengalirkan air mata.

Cerita ini direkod dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT: Dan apabila mendengar wahyu yang telah diturunkan kepada rasul, kamu dapat melihat air mata mereka bercucuran kerana mengetahui kebenaran wahyu al-Quran daripada kitab suci mereka, lalu mereka berdoa, “Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman. Oleh itu catatkan kami bersama-sama mereka yang menyaksikan kebenaran al-Quran dan kenabian Muhammad.” (al-Maidah: 83)

Dalam kalangan yang mendengar al-Quran ada yang terbuka dadanya dan terus memeluk agama Islam. Namun ada yang tertutup hatinya untuk beriman. Walaupun mengakui kehebatan al-Quran dan kekuatan bahasanya yang mereka sendiri tahu ia bukan kalam manusia tetapi kalam Allah SWT.

Di permulaan Islam terdapat kisah mereka yang beriman dengan al-Quran dengan sekali dengar sahaja. Ada juga kisah mereka yang kufur dengan al-Quran walaupun hati mereka mengetahui bahawa al-Quran bukan kalam manusia bahkan ia datang daripada Allah.

Kisah yang berlaku kepada Umar Ibn Khattab r.a dan kisah al-Walid Ibn al-Mughirah menggambarkan bahawa al-Quran memukau hati mereka. Umar Ibn al-Khattab r.a beriman kepada Allah dan Rasul manakala al-Walid Ibn al-Mughirah pula tidak beriman walaupun amat tertarik dengan bahasa al-Quran.

Beberapa riwayat menceritakan kisah Islam Umar Ibn Khattab r.a. Antaranya Riwayat Ata’ dan Mujahid Ibn Jabr yang dinukilkan oleh Ibn Ishaq daripada Abdullah Ibn Abi Nujaih.

Umar Ibn Khattab berkata: “Pada awalnya aku amat jauh dengan Islam. Di zaman jahiliyyah aku amat suka minum arak. Kami dari kumpulan lelaki Quraisy selalu berkumpul dalam satu majlis. Satu hari aku keluar untuk mendapatkan sahabatku tetapi aku tidak menemuinya.

“Aku mencari beberapa sahabat yang lain dan tidak menjumpai mereka. Lalu aku berkata kalau lah aku pergi ke Kaabah dan bertawaf tujuh keliling atau 70 keliling.

“Semasa aku sampai ke Kaabah, aku mendapati Rasulullah SAW sedang solat. Baginda SAW menghadap ke Syam. Posisi Nabi SAW semasa solat adalah antara dua rukun iaitu rukun Yamani dan rukun Hajar Aswad.

Ketika melihat Nabi SAW, Umar Ibn al-Khattab berkata: “Demi Allah kalaulah malam ini aku mendengar apa yang diucap oleh Muhammad. Aku menghampiri Hajar Aswad dan berlindung di bawah kelambu kaabah untuk mendengar bacaannya. Aku amat dekat dengan Rasulullah. Ketika aku mendengar al-Quran, hatiku menjadi lembut dan aku menangis. Lantas aku memeluk Islam”.

ABU JAHAL

Berlainan pula dengan kisah al-Walid Ibn al-Mughirah yang mendengar al-Quran hatinya seolah lembut. Apabila melihat demikian, Quraisy berkata, demi Allah sesungguhnya al-Walid telah dirasuk dan kalau macam ini keadaannya maka semua kaum Quraisy akan dirasuk seumpamanya.

Lantas kaum Quraisy mengutus Abu Jahal yang terkenal dengan kesombongannya dan bijak membangkitkan kemegahan supaya al-Walid bangga dengan harta dan anak-anaknya yang ramai.

Tujuannya supaya al-Walid berkata sesuatu dengan perkataan yang apabila kaumnya mendengar akan tahu bahawa al-Walid benci kepada al-Quran.

Al-Walid berkata kepada Abu Jahal” “Apakah yang aku perlu kata kepada al-Quran? Demi Allah, tidak ada seorang pun di kalangan kamu yang lebih tahu daripada aku berkenaan syair, qasidah, rajz atau syair jin.

“Demi Allah apa yang diucap Muhammad tidak menyerupai semua perkara itu. Demi Allah, sesungguhnya perkataan yang diucapnya iaitu al-Quran adalah sangat manis, kefasihannya amat memukau, sesungguhnya al-Quran akan menghancurkan yang lain, sesungguhnya al-Quran adalah tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya”.

Abu Jahal berkata: “Demi Allah, kaum mu tidak akan reda apa yang kamu ucapkan”.

Al-Walid berkata, beri tempoh kepadaku berfikir. Selepas beberapa ketika, dia berucap: “Sesungguhnya al-Quran adalah sihir yang memberi kesan, tidakkah kamu melihat al-Quran memisahkan seseorang dengan ahli keluarganya?”

Dengan sebab ucapannya itu, Allah SWT menurunkan ayat-ayat berikut: “Biarkanlah Aku membalas orang yang Aku sendiri telah menciptakannya. Setelah itu Aku berikannya harta yang melimpah ruah. Dan anak-anak yang sentiasa di sisinya. Dan Aku limpahkannya dengan umur yang panjang dan anak yang ramai.

Setelah itu dia ingin sekali Aku tambahkan lagi nikmat untuknya. Tidak sama sekali. Sesungguhnya dia seorang yang degil untuk menerima ayat-ayat Kami. Nescaya Aku akan lelahkannya secara berterusan sehingga dia tidak terdaya. Sesungguhnya dia telah berfikir dan menentukan tuduhan terhadap al-Quran. laknat ke atasnya!

Bagaimanakah dia menentukannya? Celakalah baginya! Bagaimanakah dia menentukannya? Setelah itu dia merenung semula. Kemudian wajahnya bertukar masam dan berkerut-kerut. Setelah itu dia memilih untuk berpaling dan bersikap takbur. Lalu dia berkata, “Apa yang dibawa Muhammad ini hanyalah sihir yang dipelajari daripada mereka yang terdahulu.” (al-Muddathir: 11-25)

Ayat yang memukau memberi kesan dan memisahkan antara seseorang dengan keluarga. Ucapan daripada seorang lelaki yang benci kepada Islam dan bersikap takbur untuk memeluk Islam.

Bermegah dengan banyak harta dan ramai anak. Ini bukan perkataan lelaki yang beriman. Menariknya dia mengaku bahawa bahasa al-Quran amat manis, tinggi nilainya dan tidak dapat dikalahkan.

Dua kisah di atas adalah pertembungan antara kisah beriman dengan al-Quran dan kisah kufur. Dua lelaki itu mempunyai kekuatan dan pengaruh di kalangan kaum mereka.

Takwa telah menguasai dada Umar Ibn Khattab r.a Manakala al-Walid Ibn al-Mughirah pula dikuasai dengan keangkuhan dan kesombongan.

Kedua-duanya memilih jalan yang yang berlainan tetapi mereka sama dalam satu noktah iaitu ‘al-Quran memukau’.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×