Aplikasi AR-Faseh bantu tingkat penguasaan bahasa Arab - Utusan Malaysia

Aplikasi AR-Faseh bantu tingkat penguasaan bahasa Arab

Dr. Lily Hanefarezan Asbulah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aplikasi pembelajaran kosa kata bahasa Arab berasaskan teknologi realiti terimbuh (augmented reality – AR), AR-Faseh menampilkan pendekatan pembelajaran secara interaktif dan menyeronokkan.

Ia dibangunkan Pensyarah dari Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia diketuai Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam UKM, Dr. Lily Hanefarezan Asbulah.

Dr Lily Hanefarezan berkata aplikasi itu berpotensi meningkatkan kefahaman kosa kata bahasa Arab dan berupaya meningkatkan tahap minat pelajar melalui teknik paparan objek yang menarik menggunakan pendekatan objek 3D, animasi, audio dan video melalui imbasan kamera peranti ke arah imej tertentu yang telah direka.

“Ia dirangka berdasarkan penggunaan kosa kata Bahasa Arab yang kerap digunakan dalam seharian yang disaring berdasarkan sumber autentik (korpus Arab).

“Selain itu, aplikasi ini dihasilkan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab. Ia boleh dijadikan sebagai sokongan alat bantu mengajar secara interaktif di universiti mahupun di sekolah bagi kursus berkaitan,” katanya.

Produk berkenaan dibangunkan melalui Geran Dana Penyelidikan Pengajaran dan Pembelajaran UKM 2021.

Selain Lily Hanefarezan, dua lagi penyelidik lain ialah Dr. Tan Siok Yee daripada Fakulti Teknologi Sains Maklumat UKM dan Timbalan Dekan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Mus’ab Sahrim.

Pengarah Urusan Syarikat Wariscan Sdn. Bhd, Hilman Nordin pulabertindak memberi konsultansi, latihan dan bimbingan dalam bidang realiti terimbuh daripada perspektif industri terhadap perjalanan projek ini.

Tangani kesukaran belajar
Idea projek itu tercetus apabila melihat para pelajar sering meluahkan kesukaran mengingati kosa kata yang sudah dipelajari.

Lebih-lebih lagi, kaedah pembelajaran kosa kata Bahasa Arab yang masih bersifat hafalan dan menggunakan kaedah secara tradisional. Inilah yang mendorong penyelidik memberi nafas baru dalam pembelajaran Bahasa Arab di Malaysia dengan menghibridasi elemen teknologi realiti terimbuh terutamanya bagi aspek kosa kata yang perlu dikuasai oleh para pelajar.

“Teknologi ini berupaya menggabungkan objek maya ke dalam dunia realiti dan membolehkan pengguna berinteraksi dengan objek maya tersebut secara nyata.

“Ini selaras dengan objektif geran penyelidikan iaitu mempertingkatkan inovasi pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran berteraskan teknologi digital melalui kepakaran in house,” katanya.

Tambah Dr. Lily Hanefarezan, hasil kajian menunjukkan pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi memerlukan penguasaan kosa kata anggaran 3,500 hingga 5,000 perkataan.

Namun begitu, ujarnya isu penguasaan saiz kosa kata pelajar yang terhad menyebabkan pelajar mempunyai masalah berkaitan penguasaan Bahasa Arab. Ini kerana, pelajar yang mempunyai penguasaan saiz kosa kata luas diiktiraf sebagai pelajar yang memiliki kefasihan dalam sesuatu bahasa.

“Projek ini bertujuan membantu pelajar menguasai aspek kosa kata Bahasa Arab yang perlu dipelajari. Ia juga membolehkan pelajar mempelajari kosa kata Bahasa Arab secara kendiri di era pandemik Covid-19 walaupun mereka tidak dapat hadir bersemuka dalam kuliah pensyarah,” katanya.

Beliau menjelaskan, aplikasi itu bukan sahaja boleh digunakan oleh pelajar di peringkat universiti malah ia mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk diperkembangankan kepada silibus Bahasa Arab di sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia.

“Projek ini juga boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play dalam masa terdekat. Ia boleh dimanfaatkan sebagai sokongan bahan pembelajaran Bahasa Arab di institusi pendidikan seperti universiti awam atau swasta, sekolah-sekolah mahupun komuniti awam yang berminat untuk mempelajari bahasa Arab,” katanya.

Dr Lily Hanefarezan yakin projek itu mempunyai masa depan yang cerah memandangkan transformasi pendidikan sekarang telah beralih kepada pemerkasaan pendidikan secara digital.

“Melalui penyelidikan yang dihasilkan, aplikasi AR-Faseh ini dilihat berpotensi menghasilkan nilai komersial yang tinggi dan boleh dipasarkan ke peringkat global dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, ujarnya, aplikasi tersebut bukan sahaja boleh memanfaatkan penggunaan teknologi realiti terimbuh, malah di masa akan akan datang projek inovasi itu boleh diperkembangkan ke arah teknologi realiti maya.

“Pastinya ia akan menarik minat pelajar untuk terus mempelajari Bahasa Arab tanpa jemu dan menyeronokkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN