5.8 juta pencarum KWSP ada baki kurang RM10,000 - Utusan Malaysia

5.8 juta pencarum KWSP ada baki kurang RM10,000

Seramai 5.8 juta pencarum dilaporkan tinggal baki duit kurang RM10,000 dalam akaun KWSP. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bimbang dengan keselamatan persaraan rakyat Malaysia, apabila 46 peratus ahlinya berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Mengikut data dana pencen berkenaan, ketidakcukupan pendapatan persaraan ahli-ahlinya mendapati, peratusan tersebut mewakili 5.8 juta ahli, setakat 31 Ogos lalu.

Data sama menunjukkan bahawa daripada 5.8 juta itu, seramai 2.37 juta ahli mempunyai simpanan di bawah RM1,000 (19 peratus), sementara 2.32 juta ahli lagi dengan julat simpanan antara RM1,000 hingga RM5,000 (18 peatus); 1.11 juta ahli memiliki simpanan antara RM5,000 hingga RM10,000 (sembilan peratus).

Seramai 6.83 juta ahli KWSP atau 54 peratus daripada 12.63 juta ahli dalam kategori umur di bawah 55 tahun, bagaimanapun mempunyai simpanan melebihi RM10,000.

Menurut KWSP, bagi membantu ahli yang terkesan akibat pandemik, ia telah melancarkan kemudahan i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban kewangan mereka.

Setakat ini, sejumlah RM67.6 bilion dikeluarkan ahli-ahlinya di bawah kemudahan tersebut.

Mengikut pecahan, ia mewakili i-Citra sebanyak RM9.1 bilion daripada jumlah diluluskan berjumlah RM20.8 bilion membabitkan 5 juta pemohon, dan i-Sinar jumlah amaun dibayar sebanyak RM58.5 bilion daripada jumlah diluluskan RM58.8 bilion dengan jumlah pemohon 6.6 juta.

“Sekitar 89 peratus pemohon i-Sinar dan 86 peratus pemohon i-Citra telah menyatakan bahawa pengeluaran yang dibuat telah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau keperluan kewangan yang mendesak,” kata KWSP dalam kenyataan semalam.

Selain i-Sinar dan i-Citra, KWSP sebelum ini membenarkan pengeluaran simpanan persaraan daripada Akuan Dua di bawah i-Lestari dan mengikut laporan, setakat 12 Mac 2021, sejumlah RM19.45 bilion pengeluaran melibatkan 5.23 juta ahli diluluskan.

Dana pencen terbesar negara itu mempunyai kira-kira 15 juta ahli dengan hampir separuh daripadanya adalah ahli aktif. Setakat 31 Ogos lalu, jumlah ahli KWSP di bawah umur 55 tahun seramai 12.63 juta.

KWSP mempunyai aset pelaburan berjumlah RM989.14 bilion setakat akhir Jun lalu, dengan 37 peratus adalah pelaburan di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pandemik telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun, daripada 35 peratus kepada 27 peratus.

Menurut beliau, ia susulan daripada pengeluaran yang dibuat bagi menampung pendapatan semasa krisis Covid-19.

Pandemik juga kata beliau, telah mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini dan biarpun ia membantu mereka untuk bertahan, ramai yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan tidak tetap atau stabil.

“Selain itu, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas. Kesannya bukan sahaja terhadap kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan pihak kerajaan,” katanya.

Untuk itu katanya, strategi utama KWSP di masa hadapan adalah untuk memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam Skim KWSP agar mereka juga berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan.

Tambah Amir Hamzah, penyelesaian jangka masa panjang amat diperlukan bagi memastikan perlindungan sosial yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Ketika kita sedang pulih daripada krisis, fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka agar mereka memperoleh persaraan yang bermaruah.

“Kami akan tetap fokus kepada Alokasi Aset Strategik kami dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan. Di samping itu, matlamat asas KWSP untuk menjana pulangan dan melindungi kesejahteraan masa depan ahli juga dapat dipenuhi,” tambah beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN