TNO Agro lebar empayar tanaman sayur di sebalik Covid-19 - Utusan Malaysia

TNO Agro lebar empayar tanaman sayur di sebalik Covid-19

SISTEM GeoTanaman menyediakan langkah intervensi jangka panjang sebagai solusi kepada isu lambakan tanaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semasa mula-mula menamatkan pengajiannya dalam bidang diploma kira-kira tiga tahun yang lalu, Mohd. Naim Othman, 23, tidak pernah terfikir untuk menjadi pekebun sayur sepenuh masa walaupun meminati bidang itu sejak kecil.

Apatah lagi ramai dalam kalangan bekas rakan sekuliahnya ketika itu beroleh pelbagai peluang pekerjaan yang menarik dengan pendapatan tetap seperti pegawai bank dan sebagainya.

Enggan menunggu lama untuk memulakan kerjaya pertamanya, lepasan Diploma Pengurusan Perniagaan itu kemudian mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mula-mula saya bela ayam. Bila bisnes ayam kurang menjadi, barulah saya beralih kepada tanaman sayur pula.

“Minat tu memang dah ada. Tambahan pula ayah saya juga adalah seorang pekebun sayur. Jadi, mudahlah untuk saya bertahan dalam bidang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Ketika ini, Mohd. Naim aktif mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur seperti sawi, bayam dan kangkung tidak jauh dari rumahnya di atas tanah yang berkeluasan kira-kira 1.2 hektar.

Selain tanaman biasa, pemuda ini turut menggunakan kaedah tanaman berpara untuk mendapatkan hasil sayur-sayuran terutamanya seperti sawi yang lebih berkualiti tinggi.

Bagaimanapun kata Mohd. Naim, kaedah tanaman itu sebenarnya lebih mahal daripada tanaman jenis hidroponik dan ia pastinya tidak dapat dilaksanakan dalam skala yang besar.

“Bayangkan, untuk membina rangkanya sahaja sudah memakan modal sehingga lebih RM1,000. Jadi, kebanyakan bahan binaannya saya gunakan barangan terpakai kecuali di bahagian bumbung dan jaring,” katanya yang menanam sehingga 150 pokok anak sawi pada satu-satu masa dengan menggunakan kaedah tanaman itu ketika ini.

Seperti usahawan lain, pandemik Covid-19 juga banyak merencatkan perancangan Mohd. Naim untuk mengukuhkan empayar perniagaan sayur-sayuran menerusi syarikat yang diberi nama TNO Agro.

Ujar pemuda itu, walaupun permintaan terhadap sayur-sayuran sentiasa ada ketika ini, namun dia terpaksa memikirkan kaedah baharu untuk meningkatkan hasil tanamannya dari semasa ke semasa.

“Dahulu iaitu sebelum kemunculan Covid-19, saya mampu untuk hasilkan sehingga setengah tan (500 kilogram) sayur dalam masa sehari dengan bantuan dua pekerja.

“Tapi sekarang, nak dapat 200 hingga 300kg pun agak perit. Ini antara cabarannya kerana kita tidak mampu untuk memenuhi kehendak pasaran semasa,” katanya yang memulakan perniagaan itu dengan modal sendiri sehingga mencecah RM60,000.

Selain masalah cuaca yang tidak menentu terutamanya hujan lebat, serangga perosak juga menjadi ancaman utama terhadap sayur-sayuran yang ditanamnya.

“Masalah serangga itu adalah biasa bagi seorang pekebun sayur dan saya biasanya akan menyembur racun kira-kira tiga kali dalam seminggu untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya yang hampir setiap hari menghabiskan masa di kebun sayurnya.

Selain bayam dan sawi, kangkung juga merupakan antara sayur yang sering mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggannya.

Ketika ini kata Mohd. Naim, sebahagian daripada sayur yang ditanamnya akan dihantar ke sebuah pasar raya berdekatan manakala selebihnya akan diambil sendiri oleh para pemborong di kebun sayurnya.

Dalam pada itu, ujarnya, selain berdepan cabaran pasaran semasa dan cabaran alam, dia juga terpaksa berdepan dengan saingan daripada pemborong-pemborong sayur besar yang lebih berpengalaman serta berpengaruh.

“Adakalanya rasa macam nak putus asa tapi alhamdulillah, saya masih boleh bertahan lagi ketika ini walaupun terpaksa bekerja lebih kuat untuk berjaya,” katanya yang pernah menjadi pembekal termuda kepada pemborong sayur yang lain sebelum ini.

Mahu pelopori projek cili fertigasi

Dengan memperoleh pendapatan kasar sekitar RM60,000 setahun ketika ini, Mohd. Naim juga boleh dianggap bertuah kerana terpilih sebagai antara usahawan muda yang menerima Geran Agropreneur Muda (GAM) untuk memajukan projek tanamannya.

Katanya, dia kini dalam perancangan untuk memulakan projek tanaman cili fertigasi pula, namun, masih mencari lokasi yang sesuai untuk tujuan itu.

“Ada juga cuba minta tanah dengan Perda (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) termasuk di Ara Kuda namun belum ada kata putus setakat ini.

“Kalau saya boleh dapatkan tanah sehingga dua hektar iaitu termasuk untuk projek tanaman cili ini, insya-Allah saya mampu keluarkan sehingga satu tan sayur-sayuran secara keseluruhannya dalam tempoh sehari,” ujarnya.

Mohd. Naim Othman berhasrat memulakan projek cili fertigasi tidak lama lagi, namun belum menemui lokasi yang sesuai untuk tanaman berkenaan.

Dalam masa yang sama kata Mohd. Naim, dia juga bercita-cita untuk terus melebarkan empayar perniagaan sayur-sayurannya agar lebih dikenali ramai.

“Dahulu iaitu semasa mula-mula menjadi pekebun sayur pun saya mempromosi sendiri perniagaan saya terutamanya ke seluruh negeri Pulau Pinang termasuk di sebelah pulau.

“Dengan dibantu rakan, kami menjelajah ke hampir semua pasar basah dan bertemu ramai peniaga termasuk yang berketurunan Cina,” katanya yang berpuas hati dengan sambutan yang diterima ketika itu.

Tambah Naim, ketika ini juga, selain sekitar Pulau Pinang khususnya dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU), sayur-sayurannya juga pernah dihantar hingga ke Kulim dan Pendang di Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini