Organisasi Miss Universe Malaysia (MUMO) tidak akan menghantar wakil ke pertandingan ratu cantik Miss Universe 2021 selepas edisi tahun ini diumumkan berlangsung di Eilat, Israel.
Menurut Pengarah Nasional MUMO, Datin Elaine Daly, pertandingan Miss Universe Malaysia 2021 juga dibatalkan kali ini sebagai mengambil kira situasi Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.
“Kami ambil perhatian keputusan Organisasi Miss Universe untuk mengadakan edisi ke-70 di Eilat, Israel pada Disember depan. Oleh demikian, kami menolak jemputan untuk pertandingan tahun ini.
“Malah kami juga tidak akan mengadakan pertandingan Miss Universe peringkat Malaysia pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Elaine, Miss Universe Malaysia 2021 tidak dapat dianjurkan kerana situasi Covid-19 semakin teruk, sekali gus mengehadkan perjalanan antarabangsa dan domestik.
“Kami mengucapkan selamat bertanding kepada semua delegasi di pertandingan peringkat antarabangsa itu. Kami tidak sabar untuk kembali menyertainya pada masa hadapan,” ujarnya.
Pada 20 Julai lalu, Organisasi Miss Universe mengumumkan pertandingan itu akan diadakan di Israel.
MUMO ditubuhkan secara rasmi pada 1964 dan penyandang pertama gelaran Miss Universe Malaysia ialah Angela Filmer.
Pun begitu, Malaysia telah menghantar peserta dua tahun lebih awal sebelum MUMO ditubuhkan iaitu Sarah Alhabshee Abdullah pada 1962. Pertandingan ini juga merupakan salah satu pertandingan ratu cantik tertua di Malaysia.
Pada Mei lalu, edisi ke-69 Miss Universe dilangsungkan di Florida, Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia diwakili Francisca Luhong James.
Peserta Mexico, Andrea Meza dinobatkan pemenang pada edisi berkenaan. Seramai 74 peserta bertanding dan penganjurannya berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.









