Tarantula terapi minda Euriqqa - Utusan Malaysia

Tarantula terapi minda Euriqqa

Euriqqa Rafar (kiri) bersama suami, Najmuddin Yusof menunjukkan tarantula kesayangan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sama ada hobi, mengikuti aliran semasa atau terapi ketenangan jiwa buat individu. Mana satu faktor menjadi tarikan buat dirimu membela haiwan kesayangan?

Euriqqa Rafar, 32, menjadikan tarantula sebagai terapi untuk kesihatan matanya.

Apabila penat seharian mengadap komputer, dia akan memandang ke akuarium tarantulanya.

“Akuarium tarantula saya bernama Chaco, saya hias bagaikan taman. Ada tanah, pokok dan air. Secara automatik mata saya akan segar melihat akuarium itu. Chaco mengeluarkan web atau jaringan yang mana ia sebagai penambah seri dekorasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Chaco adalah tarantula spesies Golden Knee dengan saiz lebar sebesar tapak tangan.

HAIWAN DISPLAY
Euriqqa yang berkhidmat sebagai Eksekutif Sumber Manusia di Institut Jantung Negara (IJN) berkata, haiwan display atau perhiasan itu turut membantu dirinya lebih tenang tiap kali rasa tertekan.

Tarantula mengeluarkan web yang menjadi sebahagian daripada dekorasi.

“Sangat seronok apabila dapat sediakan tempat yang cantik untuk tarantula. Kita pun turut gembira dan puas apabila dapat berdekorasi,” katanya.

ELAK KERAP MENYENTUH
Menyentuh mengenai aspek dekorasi, kata Euriqqa, ia hanya perlu dilakukan sekali iaitu pada peringkat awal.

“Dekorasi perlu siap sebelum tarantula itu dimasukkan ke dalam akuarium. Selepas itu tidak boleh disentuh. Kalau terlalu kerap menyentuh tempat tinggalnya, ia boleh menyebabkan haiwan ini tertekan. Bila tertekan, ia tidak mahu makan dan lama kelamaan akan mati,” katanya.

TERPESONA
Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, minatnya terhadap tarantula timbul selepas melihat koleksi tarantula milik suami, Najmuddin Yusof, 32.

Kecantikan haiwan invertebrata atau haiwan tanpa tulang belakang itu amat memikat dirinya.

“Pertama kali melihat tarantula Mexican Red Knee hati saya sudah tertawan. Sangat jinak dan tidak agresif. Mula-mula dapat pegang terus jatuh cinta. Terus terpesona dengan kecantikan dan corak pada badannya. Daripada situlah tercetus hasrat teroka dan mengetahui lebih mengenai tarantula ini,” katanya.

HARGA RM8,000
Euriqqa berkata, harga tarantula yang dijual di pasaran boleh mencapai sehingga RM8,000 bergantung kepada saiz dan spesies.

Ada kira-kira 900 spesies tarantula di dunia, harganya juga bergantung kepada jenis, saiz dan warna.

KOS MURAH
Mudah dijaga dan tidak membabitkan kos yang tinggi antara alasan dia tertarik memelihara tarantula ini.

“Tarantula perlu disediakan tempat tinggal iaitu akuarium atau balang khas yang mempunyai air dan dihiaskan dengan tanah, pokok, serbuk kayu dan sebagainya. Tidak perlu dijaga atau dibersihkan kerana tarantula tidak boleh tertekan.

“Makanan tarantula pula hanyalah cengkerik atau cacing besar yang diberi sekali seminggu. Kos untuk makanan pula hanya RM2 hingga RM5.

“Untuk spesies Brazilian Whiteknee Tarantula makanannya adalah tikus kecil namun tidak diberi lagi kerana usia belum cukup setahun.

“Oleh itu, bagi saya, sesiapa sahaja boleh menjadi ‘tuan’ kepada tarantula atau memelihara labah-labah sebagai hobi namun perlu memasang niat yang betul dan mempunyai pengetahuan dalam mengendalikannya,” katanya.

KISAH GUA THUR
Akui Euriqqa, dia pada awalnya belum mendapat keyakinan untuk memelihara sendiri tarantula kerana sedar ia memerlukan penjagaan yang istimewa dan ilmu yang mencukupi.

“Selepas berkahwin pada 2014, saya seronok apabila melihat suami mengendalikan tarantula. Jadi, dia pun beri galakan untuk saya beli dan pelihara sendiri. Dengan galakan suami ketika itu, saya pun cuba pelihara tarantula yang jinak dan tidak agresif sebagai permulaan.

“Pada 2015 saya membeli Chaco ketika itu bersaiz sebesar biji kacang berharga RM60 yang saya letakkan di pejabat. Kini usianya hampir tujuh tahun, tidak berbahaya dan boleh dipegang,” katanya.

Antara koleksi spesies tarantula yang dimiliki selain Chaco Golden Knee ialah Brazilian Whiteknee, Mexican Fireleg, Mexican Flameknee, Chilean Rose, Honduran Curly Hair dan Brazilian Salmon Pink (ketiga terbesar di dunia) serta Giant.

Euriqqa berkata, walaupun dia suami memiliki minat sama tetapi mereka tidak berkongsi koleksi tarantula kerana sebagai beginner atau permulaan, sukar untuk dirinya memahami mood dan sifat labah-labah.

“Bukanlah tidak boleh langsung berkongsi tetapi bagi saya lebih baik jika kita belajar daripada pengalaman menjaga atau memelihara sendiri bermula sebesar biji kacang (kecil) sehingga besar untuk kita lebih mengenali mood dan faham mengenai sifat tarantula ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, Euriqqa juga berkata, Najmuddin turut berpesan supaya tidak memelihara tarantula sekadar suka-suka.

“Suami mengingatkan saya dengan dengan kisah Gua Thur dan labah-labah dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan labah-labah untuk menyelamatkan Nabi Muhammad SAW daripada kafir Quraisy yang ingin membunuh baginda,” katanya.

Old World Tarantula paling istimewa
“Saya mempunyai seekor daripada kategori Old World Tarantula iaitu Orange Baboon Tarantula (OBT).

“Ini adalah antara koleksi tarantula paling saya sayang selepas Chaco. Walaupun usianya belum setahun tetapi saiznya lebih besar daripada syiling 50 sen. Ia boleh membesar sehingga 22 sentimeter (cm).

Paling istimewa kata Euriqqa, spesies ini jarang dipelihara kerana ia bersifat agresif.

Kategori New World Tarantula yang biasa dijadikan haiwan peliharaan kerana tidak mengancam nyawa.

“Old World Tarantula berbahaya kerana ia menggigit. Walaupun gigitan itu tidak beracun tetapi menyakitkan.

“Namun kelebihan dimiliki adalah mempunyai warna-warna yang cantik dan terang seperti biru, kuning, hijau, merah jambu dan putih.

“Tarantula yang saya ada ini berwarna oren. Warna spesies ini sebenarnya menunjukkan amaran untuk tidak didekati (berbahaya),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN