MUKADIMAH
PEMBENTUKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan beberapa kali tercetus kemelut politik.
‘Klimaks’ kemelut apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dalam soal pembatalan ordinan darurat.
Kerajaan PN bertambah goyah apabila UMNO mengambil keputusan menarik sokongan dan September ini bakal menjadi penentu keabsahan kerajaan dan kedudukan Perdana Menteri sendiri melalui usul percaya dalam sesi sidang Dewan Rakyat.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, pakar perlembagaan, DATUK DR. WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN melontarkan pandangan berhubung isu berkenaan.
UTUSAN: Pandangan Datuk mengenai kemelut pembatalan ordinan darurat?
WAN AHMAD FAUZI: Alhamdulillah, isu ini dapat diselesaikan apabila Jemaah Menteri mengakui proses pembatalan ordinan belum disempurnakan mengikut kaedah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, dalam rayuan saman Datuk Seri Anwar Ibrahim lwn. Kerajaan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjelaskan, terdapat pengecualian nasihat Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong dan perkenan diraja yang termaktub di bawah Perkara 66 bukanlah satu tindakan eksekutif.
Kedudukan tersebut menjelaskan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika mana Seri Paduka bertindak sebagai pemegang kuasa eksekutif dan pada waktu mana sebagai pemegang kuasa legislatif.
Pemegang kuasa legislatif menurut Perkara 44 ialah Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong berserta Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Apabila Yang di-Pertuan Agong menggubal ordinan atau membatalnya, Seri Paduka bertindak sebagai Parlimen kerana itu adalah tindakan perundangan.
Kini tampak lebih jelas iaitu nasihat dan pandangan Yang di-Pertuan Agong adalah berperlembagaan. Seri Paduka tidak terikat dengan nasihat Jemaah Menteri ketika melaksanakan fungsi kuasa Parlimen.
Bagaimana suatu ordinan dibatalkan?
Perkara 150(3) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan manakala ordinan jika tidak dibatalkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong boleh diungkai resolusi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Adakah bermakna pembatalan dan pengungkaian ordinan itu kuasa Parlimen?
Ya, kuasa untuk membatal dan mengungkai suatu ordinan adalah Parlimen. Dalam hal ini, Perkara 150(3) hendaklah dibaca bersama Perkara 44.
Boleh huraikan prinsip pemisahan kuasa?
Pemisahan cabang kuasa menentukan had batasan kuasa di antara Parlimen, Jemaah Menteri dan badan kehakiman.
Ketika Yang di-Pertuan Agong membuat proklamasi darurat, Seri Paduka melaksanakan fungsi kuasa eksekutif di bawah Perkara 150(1) atau (2) yang dibaca bersama Perkara 39 dan Perkara 40(2).
Namun, dalam penggubalan ordinan dan akta termasuklah pembatalan dan pengungkaiannya, itu adalah kuasa perundangan.
Lantaran Perkara 150(2B), (3) dan (5) hendaklah dibaca bersama Perkara 44. Mahkamah berkuasa untuk menyemak tindakan Jemaah Menteri yang menceroboh kuasa Parlimen, misalnya membatalkan ordinan tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa penggubalan dan pembatalan ordinan tanpa mengikut nasihat Jemaah Menteri lebih menjamin tadbir urus yang baik?
Sudah pasti. Sebarang ordinan yang diperbuat oleh Seri Paduka masih boleh disemak oleh Jemaah Menteri melalui usul di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Maka akan ada pembentangan dan perbahasan, begitu juga halnya dengan proklamasi darurat.
Jemaah Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan menetapkan usul bagi maksud mengungkaikan kedua-duanya di Parlimen.
Bagaimana tadbir urus yang baik boleh terlaksana?
Yang di-Pertuan Agong boleh mendapatkan pandangan banyak pihak dan menimbangkan permintaan Jemaah Menteri, juga pihak-pihak lain dalam penggubalan ordinan, tetapi Seri Paduka tidak terikat untuk menerimanya secara bulat-bulat.
Dalam proklamasi darurat perlu ada terlebih dahulu permintaan daripada Jemaah Menteri atau pihak berwibawa seperti MKN.
Itulah yang dikatakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dari sudut governan proklamasi darurat dan ordinan. Prerogatif itu sendiri berlaku dalam proses amalan syura.
Adakah Perkara 40(1) mensyaratkan Yang di-Pertuan Agong mesti mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri?
Peruntukan Perkara 40(1) itu sendiri mengandungi pengecualian yang hendaklah dibaca bersama-sama Perkara-perkara 3(5), 42, 40(2), 40(3), 44, 66, 150 dan 159.
Perkara 3(5) memperuntukkan nasihat Majlis Agama Islam apabila Yang di-Pertuan Agong melaksanakan fungsi sebagai ketua agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja, manakala perkara-perkara 40(3) dan 42 memperuntukkan lembaga pengampunan dan badan-badan lain selain Jemaah Menteri sebagai penasihat Seri Paduka.
Perkara-perkara 40(2) dan 150 menyentuh kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, manakala Perkara-perkara 66 dan 159 merupakan bidang kuasa legislatif Seri Paduka juga ada yang berkaitan dengan Majlis Raja-Raja.
Kesemua peruntukan di atas mengecualikan Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai prerogatif seperti diperuntukkan oleh Perkara 181(1).
Perkara 181(1) menyentuh kuasa kedaulatan dan prerogatif Raja-raja Melayu yang sering diabaikan dalam pentafsiran peruntukan Perlembagaan yang menyentuh kedaulatan undang-undang dan kedudukan raja berperlembagaan.
Selepas UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN, bagaimana kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri?
Ia bergantung kepada jumlah undi kepercayaan ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri. Ketika Yang di-Pertuan Agong memperkenankan sidang Parlimen pada September ini untuk dijadikan forum menentukan undi kepercayaan, saya percaya ketika itu masih belum jelas kedudukan isu kepercayaan kerana ada pertindihan surat akuan ahli Dewan Rakyat.
Apa berlaku jika Muhyiddin tewas undi percaya?
Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan Jemaah Menterinya atau boleh meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
Dalam keadaan ini, Seri Paduka tidak tertakluk kepada nasihat kerana itu adalah permintaan.
Seri Paduka boleh sahaja menerima peletakan jawatan Jemaah Menteri dan membentuk yang baharu di bawah Perkara 43(2)(a).
Langkah terbaik menangani kemelut politik ini?
Bergantung kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka pastinya akan meneliti semua aspek sebelum membuat keputusan terbaik untuk negara dan rakyat.
Pembubaran Parlimen jika ancaman wabak sudah berada pada tahap terkawal menjadi satu pilihan.
Kerajaan perpaduan pula boleh sahaja dibentuk lebih awal sebelum proses undi kepercayaan jika Perdana Menteri menasihati rombakan Jemaah Menteri.
Berbeza dengan pelantikan Perdana Menteri interim, hanya boleh berlaku dalam tempoh Parlimen dibubarkan.











