KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir menyifatkan single terbaharu berjudul Irama sebagai durian runtuh apabila dapat bekerjasama dengan komposer dan penulis hebat, iaitu Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves.
Jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, lagu berentak Pop Reggaeton itu merupakan hasil kerjasama antara syarikat Todak Music dan Alternate Records & Talents.
“Mula-mula memang nak keluarkan balada namun pengurus saya ada bagi dengar demo lagu rentak lain dulu. Tapi saya kata tidak mengapalah, dengar saja rentak muzik dan lirik lagunya yang disuntik pantun, saya rasa kena sangat.
“Dapat tahu pula komposer dan penulis lirik yang saya memang sudah lama pasang impian nak bekerjasama, saya setuju, rezeki tidak yang disangka-sangka. Sebab saya pun dalam proses meneroka dan mahirkan lagu rentak baharu untuk perkembangan muzik saya.
“Manakala, lagu balada itu kemudian dulu sementelah mencari material sesuai dengan jiwa. Diharapkan semua peminat dapat menerima buah tangan terbaharu ini,” ujarnya teruja.
Terdahulu, Shiha yang berjaya memenangi anugerah Intercontinental Music Awards (ICMA) dalam kategori Pop Asia di Los Angeles turut berkata, video lirik rasmi Irama sudah dilancarkan pada tengah malam 12.01 Jumaat sebagi simbolik buah tangan terbaharu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Todak Fusion, Ikmal Fareeq menyifatkan jalinan kerjasama sebagai satu langkah perkembangan positif dalam industri muzik tempatan terutama buat peminat Shiha Zikir.
Todak Music bakal menerbitkan lima buah lagu dan satu album menjelang akhir tahun ini sekali gus meningkatkan peluang produktiviti penggiat seni terutama di dalam keadaan pandemik ini.










