Rezeki Qurban IRM dinikmati 28 negara - Utusan Malaysia

Rezeki Qurban IRM dinikmati 28 negara

PETUGAS Rezeki Qurban mengagihkan daging korban kepada penduduk di Gaza, Palestin, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun ini adalah tahun kedua umat Islam meraikan sambutan Aidiladha dalam suasana pandemik Covid-19 yang di dalamnya terkandung ibadat korban.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun begitu, tuntutan melaksanakan ibadah korban tetap terus dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi Islamic Relief Malaysia (IRM) pula, pelaksanaan ibadah korban bukan hanya sekadar untuk menzahirkan kesyukuran kita atas nikmat yang dikurniakan Allah.

Sebaliknya, ia lebih kepada menjadi jawapan bagi doa-doa penerima manfaat yang hanya dapat merasai nikmat juadah daging setahun sekali atau mungkin sekali seumur hidup.

“Pakcik sudah tinggal di Pulau Jampiras ini kira-kira 43 tahun. Selama kami tinggal di sini, inilah kali pertama ada pihak luar yang datang dan menjalankan ibadah korban serta mengedarkan daging korban kepada kami.

“Kami rasa sangat terharu dan berterima kasih sangat kepada semua yang menyumbang dan membantu kami.

“Tak sangka masih ada yang peduli akan nasib kami walaupun kami bukan penduduk tempatan,” kata penerima manfaat program Rezeki Qurban di Sandakan, Sabah.

Komuniti yang tinggal di Pulau Jampiras adalah penduduk bukan warganegara atau stateless.

Selain sumbangan daging korban, Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyantuni penduduk di kawasan Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP).

Barang yang disalurkan adalah pek makanan dan kit kesihatan seperti pelitup muka serta pencuci tangan menerusi program bantuan Covid-19.

Meskipun pandemik yang melanda melumpuhkan ekonomi dunia serta menjejaskan pendapatan banyak pihak namun keprihatinan masyarakat kita dalam berkongsi rezeki masih di tahap yang tinggi.

Gerak kerja pembungkusan dan agihan sumbangan daging korban dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Di media sosial khususnya, jika ada sahaja kisah kemiskinan yang tular, pasti keluarga yang terbabit akan segera dihubungi dan bantuan akan sampai dengan pantas.

Sesungguhnya ujian yang datang telah mengajar kita supaya sentiasa memberi tanpa menunggu kaya kerana kita sama-sama pernah merasai sukarnya hidup saat tidak punya apa-apa.

DAPAT RESPONS BAIK

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, dari segi aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), respons dan sokongan yang diterima daripada masyarakat tidak pernah putus.

Walaupun, katanya, ada individu yang dahulunya penyumbang, namun kini sudah bertukar status menjadi penerima ekoran masalah dibuang kerja dan sebagainya.

“Alhamdulillah, seramai 1,390 keluarga B40 dan ke bawah bersamaan hampir 7,000 penerima manfaat berjaya disantuni dengan sumbangan 1 ke 2 kilogram daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.

“Ia melibatkan penyembelihan 21 ekor lembu di semenanjung dan Sabah, hasil sumbangan MBSB Bank dan pelaksanaan korban peserta.

“Jumlah ini sangat jauh daripada sasaran awal kami dan saya mewakili keluarga besar IRM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

“Ia menerusi sumbangan dan penyertaan ibadah korban melalui kempen Rezeki Qurban #zahirkankesyukuran anjuran kami tahun ini,” katanya.

INISIATIF Rezeki Qurban membolehkan ia dikongsi dengan masyarakat Islam di 28 negara termasuk Somalia.

Proses gerak kerja edaran daging korban mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysian Relief Agency (MRA), MyAmal Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), ketua komuniti setempat, ahli persatuan penduduk dan kumpulan sukarelawan.

Bagi agihan di Kuala Lumpur, ia turut mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Antara lokasi penerima daging korban di Malaysia ialah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia, Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3A, Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3B, Rumah Panjang Jalan Ikan Emas, Kuala Lumpur; Pulau Jampiras, Sandakan; Kampung Bungaliu, Tamparuli; Kampung Sambah, Tenghilan; Kampung Tambulion, Kota Belud; Kampung Perpaduan Ria, Kampung Simpang Mengayau, Kampung Matunggong, Sekolah Tahfiz di Kudat dan Kampung Penangah di Tongod, Sabah.

IRM pada awalnya menyasarkan 943 penyertaan bahagian korban yang akan diagihkan kepada penerima manfaat di 28 negara seperti Yaman, Somalia, Palestin dan banyak lagi.

Namun dengan sambutan yang amat menggalakkan, penyertaan meningkat sehingga jumlah bahagian korban mencapai 1,389 bahagian.

DAGING MAHAL DI PALESTIN

Penduduk Gaza, Palestin, Samrat Baker Badwan mengakui sentiasa berharap agar keluarganya tersenarai dalam penerima daging korban setiap kali Aidiladha.

Katanya, ini kerana harga daging sangat mahal di mana satu kilogram daging dijual pada harga lebih RM65 sedangkan gaji suaminya hanya RM20 sehari

“Menu daging memang tiada dalam juadah kami sepanjang tahun kecuali pada hari raya Aidiladha. Itu pun sekiranya kami terpilih sebagai penerima bantuan sumbangan daging korban.

“Kehadiran Aidiladha memberi makna besar buat kami sekeluarga. Sepanjang tahun saya dan suami akan berdoa dan berharap agar ada rezeki daging korban untuk anak-anak kami khususnya,” katanya.

SAMRAT BAKER Badwan dan anak-anaknya gembira menerima daging korban yang diagihkan oleh IRM di Gaza, Palestin.

Dalam pada itu, tiga daripada sembilan anak Samrat disahkan menghidap penyakit darah rendah dan mengalami masalah tumbesaran terbantut akibat kekurangan nutrisi.

Kemiskinan menyebabkan Samrat terpaksa menghentikan pemeriksaan kesihatan anak-anaknya kerana dia sedar tiada apa yang akan berubah.

Dia tidak mampu menyediakan makanan seimbang dan vitamin tambahan untuk anak-anaknya sebagaimana disarankan oleh doktor.

Perit, namun inilah realiti yang menunjukkan betapa besarnya impak sumbangan daging korban bagi kebanyakan penerima manfaat program Qurban Islamic Relief di negara bergolak.

IRM mula beroperasi dan memberi bantuan kemanusiaan di Wilayah Palestin sejak 1997.

Secara keseluruhan, IRM sudah berjaya membantu ratusan ribu penduduk di Palestin melibatkan bantuan makanan, akses air bersih, perlindungan, tajaan anak yatim, program pembangunan komuniti, kehidupan mampan, pendidikan, perubatan, psikososial serta banyak lagi.

Pada tahun 2020, IRM membantu kira-kira 400,000 orang melalui projek-projek di Gaza seperti rawatan perubatan, akses pendidikan dan latihan kemahiran untuk para belia.

Sehingga kini, lebih RM638 juta telah disalurkan untuk projek-projek kecemasan dan pembangunan bagi membantu rakyat Palestin.

  • Norjumiah Mardi ialah Pegawai Komunikasi Strategik IRM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini