Penggemar ikan pastinya tercari-cari resipi sesuai untuk hidangan seisi keluarga. Kalau suka sajian ikan bakar, apa kata cuba masak ikan bakar sambal.
Memasaknya mudah sahaja. Bagi mendapatkan warna pes sambal ikan bakar yang merah menyelerakan, ialah sambal perlu dimasak agak lama, lebih kurang 25 hingga 30 minit.
Menambah aroma melazatkan, balut ikan menggunakan daun pisang. Boleh juga menggunakan daun kunyit kerana baunya akan lagi wangi semasa dibakar.
Pes sambal ikan bakar
Bahan-bahan:
1 ekor ikan bawal hitam
3 ulas bawang putih
1 batang serai
1 biji bawang besar
1 inci halia
15-20 batang cili kering
2 helai daun pandan- simpul
Sedikit daun kesum
1 helai daun kunyit
1 inci belacan bakar
Gula Melaka
Sedikit air asam jawa
2 biji limau kasturi (perah ambil jus)
½ sudu kecil garam (jika perlu)
Daun ketumbar (hiasan)
Minyak untuk menumis
Cara penyediaan:
1-Kisar halus bawang putih, halia, serai, bawang besar, daun kunyit, cili kering, daun kesum dengan sedikit air sahaja. Jangan terlalu banyak air agar pes tidak jadi cair.
2-Panaskan minyak. Minyak perlu lebih agar bahan-bahan betul-betul masak. Tumis bahan-bahan kisar. Kacau sebati. Tutupkan tudung kuali dan perlahankan api.
3-Tumis sambal sehingga pecah minyak. Kacau setiap 10 minit. Jangan biarkan hangus kerana takut hangit pada bahagian bawah sambal.
4-Setelah pecah minyak masukkan gula melaka dan air asam. Kacau seketika. Selepas itu baru masukkan daun pandan.
5-Kacau seketika dan kemudian tutup kuali dan biarkan sambal masak sehingga pecah minyak dan kering. Biarkan ia masak agak lama sehingga sambal jadi pekat dan bertukar warna merah kehitaman.
6-Akhir sekali perahkah dua biji limau kasturi. Kalau perlu baru tambah ½ sudu kecil garam. Setelah cukup rasa masam, manis dan pedas bolehlah tutup api.
7-Ambil ikan bawal tadi . Kelar badan ikan itu terlebih dahulu.
8-Selepas itu letakkan ikan di atas daun pisang. Curahkan pes sambal itu ke atas ikan. Pastikan pes sambal itu dicurahkan di sekeliling ikan termasuklah bahagian hadapan dan ikan itu.
9-Letak ikan atas pemanggang atau ke dalam ketuhar. Bakar ikan sehingga masak di atas pemanggang atau ketuhar.
10-Setelah ikan siap dibakar, hiaskan ikan dengan hiasan daun ketumbar. Perah sedikit limau dan sedia untuk dimakan.
Tips memasak:
* Jangan guna air terlalu banyak sewaktu mengisar bahan-bahan kisar. Ini bagi mengelakkan pes sambal jadi cair. Pes sambal perlulah pekat.
* Minyak untuk menumis sambal perlu dilebihkan agar sambal dapat masak dengan sempurna.
* Daun pandan dimasukkan ke dalam sambal bertujuan untuk membangkitkan aroma dan sambal berbau wangi. Jangan masukkan daun pandai awal kerana tidak mahu rasa daun pandan itu menguasai rasa sambal.
Terima kasih: Nurul Jannah Veran
Facebook : Nurul Jannah / https://www.facebook.com/jannah.dofort
YouTube : https://youtu.be/Evpdt4zInKQ









