'Love meal' legasi amal Latifah Hassan - Utusan Malaysia

‘Love meal’ legasi amal Latifah Hassan

LOVE Meal membuka peluang kepada masyarakat menyumbang sajian pasta untuk anak-anak yatim dan asnaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Naluri arwah nenek dan datuk iaitu Latifah dan Hassan yang suka membantu orang lain, rupa-rupanya berdenyut deras dalam nadi anak muda, Shaffieq Abdullah, 30.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas syarikat penyedia makanan Latifah Hassan, Shaffieq memberitahu, Latifah Hassan bukan sekadar nama, sebaliknya warisan dan legasi ditinggalkan datuk serta neneknya yang suka melakukan kerja amal.

“Ia adalah gabungan nama Allahyarham Latifah Omar dan Hassan Din, nenek dan datuk saya.

“Syarikat ini menyediakan kotak makanan atau Love Meal yang akan diagihkan kepada anak yatim, menerusi sumbangan diterima daripada orang ramai. Saya mahu meneruskan tradisi arwah dalam kerja membantu orang lain,” katanya.

Bercerita lanjut, katanya arwah neneknya pernah berniaga nasi di tepi jalan.

Cara beliau membantu orang memerlukan adalah dengan mengambil pekerja yang benar-benar susah untuk bekerja dengannya.

Datuknya pula adalah seorang amanah ketika menjawat sebagai auditor negara.

“Nilai murni mereka inilah yang memberi inspirasi kepada saya untuk mengabadikan nama Latifah Hassan, sejak mula-mula menubuhkan syarikat ini pada 2017.

“Saya bertekad mahu menerapkan nilai murni di lakukan datuk dan nenek saya ke dalam diri dan syarikat ini,” katanya.

Shaffieq Abdullah manfaatkan hujung minggunya sebagai waktu untuk melakukan kerja amal.

LOVE MEAL

Love meal adalah kotak makanan mengandungi pasta untuk diagihkan kepada kepada asnaf dan anak yatim.

Antara pilihan disediakan ialah spaghetti beef bolognese with mushroom and grated parmesan cheese, fettuccine chicken carbonara with mushrooms and dried parsley dan macaroni and cheese with sliced pepperoni and grated mozzarella cheese.

Sesiapa sahaja yang ingin menderma boleh membeli kotak love meal itu pada harga RM15 sebekas.

“Biasanya kami kumpul dulu jumlah dipesan penderma. Bila sudah cukup jumlah tertentu, baharulah makanan itu dimasak.

“Selepas itu ia akan dihantar ke rumah anak-anak yatim dan asnaf terpilih.

“Proses seterusnya, kami akan mengambil gambar pemberian kotak makanan tersebut bagi membuktikan makanan yang dipesan itu telah dihantar ke rumah anak-anak yatim,” katanya bersemangat.

Gambar berkenaan kemudiannya akan dimuat naik ke dalam Facebook dan Instagram Latifah Hassan.

Dalam reaksinya untuk setiap pesanan makanan, kata Shaffieq, hatinya puas dapat melihat anak-anak yatim dan asnaf itu menjamu selera hasil kurdatnya dan ahli kumpulannya di Latifah Hassan.

“Kalau ingin menyumbang love meal, silakan. Kami tidak hadkan jumlah tertentu, semuanya terpulang kepada penderma,” katanya.

Antara lokasi penghantaran kotak makanan love meal adalah Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah Subang Jaya, Rumah Amal Limpahan Kasih Puchong, Pusat Jagaan Baitul Hidayah Puchong, dan Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa Puchong, Selangor.

KENAPA PASTA?

Shaffieq berkata, sajian pasta menjadi pilihan berikutan beliau mahu mencipta kelainan.

Lebih-lebih lagi sajian itu istimewa dan tidak selalu boleh dinikmati.

“Bagi mereka yang masih ada ibu bapa juadah seperti pasta ini boleh diminta pada bila-bila masa.

“Namun, bagi anak yatim yang tinggal di rumah anak-anak yatim ini mereka tidak boleh memilih atau meminta makanan yang diinginkan. Apa yang diberi itulah yang dimakan,” katanya.

Idea memberi makanan kepada anak yatim, datang daripada mentor Shaffieq, Sahad Sahad.

“Mula tu kami ingin sediakan sajian nasi, namun ia terlalu biasa dimakan oleh anak-anak.

“Daripada situlah kami tampil dengan idea menyajikan pasta.

“Keputusan kami nyata tepat kerana setiap kali kami melihat kanak-kanak ini menikmati sajian ini, mereka sangat seronok dan makan dengan penuh berselera,” katanya.

Kanak-kanak teruja menikmati pasta sumbangan meal love.

DIKETAHUI UMUM

Aktiviti menderma makanan kepada anak-anak yatim itu kemudiannya diketahui kenalan mereka yang lain, lantas mahu turut serta menghulurkan sumbangan.

Bermula daripada situlah, Shaffieq menjadi orang tengah untuk mengumpul pesanan makanan.

Hampir setiap bulan beliau menerima pesanan antara 600 hingga 800 kotak Love Meal daripada insan yang suka menderma.

Malah turut mempunyai lebih 100 orang penyumbang tetap.

BERBUAT BAIK

“Berbuat amal kebajikan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jangan hadkan diri kita kepada sesuatu, sebaliknya berbuat baiklah ketika mampu dan ada peluang,” katanya.

Hakikatnya, kata Shaffieq, setiap kali penderma memesan makanan, mereka bukan sahaja memberi makan kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Sebaliknya, turut membantu ibu tunggal, golongan anak muda dan B40 yang terbabit sebagai sukarela.

“Peluang ini bagi membantu mereka menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga sekaligus meningkatkan taraf hidup kepada yang lebih baik.

“Ada yang jadi tukang masak, bekerja di bahagian pengurusan dan sebagainya.

“Setakat ini saya ada lima orang yang bekerja dengan saya. Mereka inilah tulang belakang Latifah Hassan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Shaffieq berkata, Latifah Hassan menyasarkan penghantaran 5,000 kotak makanan ke rumah asnaf di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Namun ia hanya boleh direalisasikan apabila graf Covid-19 semakin reda dan menunjukkan tanda pulih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN