fbpx

Eksesais Taming Sari 20/21 bukti keupayaan TLDM

KD Lekir melancarkan penembakan misil anti-kapal permukaan Exocet MM40 dalam Ekesais Taming Sari 20/21 di Laut China Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUPAYAAN aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibuktikan dalam Eksesais Taming Sari 20/21 menerusi kejayaan penembakan dua peluru berpandu Exocet MM40 oleh KD Lekiu dan KD Lekir.

Ia disusuli kejayaan penembakan peluru berpandu Exocet SM39 oleh kapal selam KD Tun Razak dalam eksesais itu di Perairan Laut China Selatan, baru-baru ini.

Hasil kerjasama bersepadu, eksesais tersebut melibatkan seramai 1,080 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Secara keseluruhan, kekuatan ketumbukan Eksesais Taming Sari 20/21 terdiri daripada sembilan kapal iaitu KD Lekiu, KD Lekir, KD Jebat, KD Mahawangsa, KD Gagah Samudera, KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Ganyang, KD Kinabalu dan KD Sundang.

Eksesais turut disokong bersama oleh penglibatan lima buah Fast Combat Boat (FCB), sebuah kapal selam KD Tun Razak, dua Super Lynx TLDM, empat pesawat TUDM iaitu B200T, EC 725, F/A 18D Hornet dan dua aset Maritim Malaysia iaitu AS365 N3 DAUPHIN serta AW139.

Objektif Eksesais Taming Sari 20/21 adalah mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan di lapangan dalam meningkatkan tahap kesiagaan aset-aset TLDM.

Selain itu, eksesais selama enam hari bermula 9 Ogos lalu juga bertujuan menguji keupayaan peralatan pengesanan, penjejak dan sistem pelancar misil bagi aset permukaan dan kapal selam TLDM.

KD Lekiu dan KD Lekir, masing-masing melancarkan peluru berpandu jenis Exocet MM40 Block II terhadap sasaran permukaan.

Sementara kapal selam, KD Tun Razak melancarkan peluru berpandu jenis Exocet SM39 Block II semasa berada di bawah permukaan.

Keberhasilan penembakan peluru berpandu itu tepat mengenai sasaran yang berada pada jarak 30 batu nautika atau 55 kilometer bagi Exocet MM40 Block II.

KAPAL selam KD Tun Razak.

Bagi peluru berpandu Exocet SM39 dari kapal selam KD Tun Razak telah dilancarkan dari jarak 20 batu nautika atau 37 kilometer dari sasaran.

Selaras eksesais ini, TLDM menguatkuasakan langkah keselamatan dalam memastikan keselamatan bot-bot nelayan tempatan dan kapal-kapal dagang yang berhampiran kawasan penembakan sentiasa terjamin.

Beberapa kapal TLDM diatur gerak bagi melaksanakan tugasan ‘pembersihan’ kawasan penembakan dengan melakukan pengedaran notis penembakan kepada komuniti bot nelayan setempat.

Pesawat TLDM jenis Super Lynx turut melakukan first light sweep di kawasan penembakan dan seterusnya last sweep turut dilaksanakan 30 minit sebelum penembakan dilaksanakan.

Ia dilakukan bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk tujuan pelaksanaan penembakan.

Kejayaan penembakan kesemua peluru berpandu ini  yang tepat mengenai sasaran jelas membuktikan  sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga TLDM yang amat membanggakan dalam aspek pengendalian aset pertahanan negara.

Berbekalkan penerapan nilai kemuliaan, kesetiaan, keberanian dan kebanggaan (4K) dalam diri setiap warga TLDM telah membuahkan hasil dan kejayaan yang dikehendaki.

Walaupun umum sedia maklum sebilangan aset-aset TLDM ini telah menjangkau usia melebihi 40 tahun, namun ia bukan menjadi halangan kejayaan itu.

The Navy People sentiasa meletakkan komitmen tidak berbelah bagi dalam memastikan kesiapsiagaan armada TLDM sentiasa di tahap tertinggi dalam usaha memelihara dan menjamin kedaulatan maritim negara.

Sementara itu, eksesais di Laut China Selatan berkenaan turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Ogos lalu yang mana pada ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany.

Ismail Sabri yang menaiki helikopter EC 725 tiba bagi menyaksikan Eksesais Taming Sari, baru-baru ini.

Dalam sidang akhbarnya di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di Kuantan, Ismail Sabri berkata, kejayaan penembakan kesemua peluru berpandu itu mengenai sasaran jelas membuktikan profesionalisme, keupayaan dan kesiagaan TLDM dalam mengendalikan aset pertahanan negara.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan (TLDM) dijangka menerima dua lagi kapal misi pesisir (LMS) menjelang penghujung tahun ini dari China.

Proses perolehan aset terbaharu TLDM itu juga dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan angkatan tentera menjaga kedaulatan perairan negara.

POPULAR

KOSMO! TERKINI