Tanah runtuh merupakan satu fenomena geologi yang kompleks dan memberikan kesan buruk kepada sosio-ekonomi serta mengakibatkan kemusnahan prasarana dan kehilangan nyawa.
Secara umum, tanah runtuh merujuk kepada runtuhan besar-besaran disebabkan oleh pergerakan tanah/batu menuruni satah cerun yang berlaku dalam pelbagai variasi bentuk dan isipadu.
Geomorfologi muka bumi yang berbukit bukau ditambah pula kewujudan cerun-cerun curam dan kritikal menyumbang kepada kegagalan cerun seterusnya tragedi tanah runtuh.
Kegagalan cerun atau kejadian tanah runtuh ini sering kali dikaitkan dengan faktor-faktor tindakan manusia dan alam semula jadi.
Aktiviti penebangan dan penerokaan balak di kawasan bukit serta pemotongan bukit yang tidak mengikut spesifikasi piawai yang betul mendorong kepada kejadian tanah runtuh di samping gangguan saliran air semula jadi.
Aktiviti-aktiviti tindakan manusia yang mengubah landskap fizikal cerun telah meningkatkan beban luar terhadap cerun seperti perataan pada cerun sedia ada, pembinaan prasarana pada sisi bersebelahan dengan cerun, getaran hasil lalu lintas serta kerja-kerja pemusnahan batu-batu, mengubah suai saliran mendorong kepada risiko tanah runtuh.
Selain itu, faktor-faktor tindakan semula jadi merujuk kepada kesan terhadap proses-proses alam semula jadi disebabkan oleh sifat bahan itu sendiri, hakisan, keadaan cuaca dan geologinya.
Sifat bahan yang lemah mendorong kepada ketidakstabilan, keadaan cuaca dan keamatan hujan yang tinggi meningkatkan resapan air hujan ke dalam tanah.
Mekanisma pergerakan kegagalan cerun dapat dikategorikan kepada tiga bahagian utama iaitu runtuhan, gelinciran dan aliran.
Kegagalan cerun disebabkan runtuhan berlaku di kawasan cerun yang sangat curam menyebabkan tanah atau batu tertanggal dari cerun dan jatuh ke bawah.
Gelinciran melibatkan pergerakan tanah pada permukaan cerun hingga melebihi kaki cerun dan berkumpul di kaki cerun.
Terdapat tiga jenis gelinciran iaitu gelinciran peralihan, gelinciran putaran dan gelinciran majmuk.
Pergerakan aliran merujuk kepada aliran lumpur apabila kandungan lembapan dalam tanah melebihi had cecair.
Senario di Malaysia

Di negara ini, pelbagai tragedi tanah runtuh telah direkod sama ada dalam skala yang kecil mahupun besar.
Kejadian tanah runtuh ini kebanyakan berlaku disebabkan hujan lebat serta keadaan iklim hujan tropika yang panas lembab serta taburan hujan yang berpanjangan sepanjang tahun.
Curahan hujan yang tinggi terutamanya di kawasan tanah tinggi menyebabkan keadaan lebih berbahaya dan terdedah kepada kejadian tanah runtuh jika tidak ada pemantauan yang khusus.
Kebanyakan tanah runtuh berlaku apabila air yang meresap masuk ke dalam tanah mengakibatkan ketidakstabilan seterusnya kejadian pergerakan tanah dan batu.
Antara kejadian tanah runtuh yang terpahat dalam lipatan sejarah negara adalah pada 11 Disember 1993.
Ia melibatkan kondominium Highland Tower di Taman Hillview, Ampang yang mengakibatkan kemusnahan dan mengorbankan 48 nyawa.
Kejadian berpunca dari perubahan arah laluan air bawah tanah yang membawa kepada pergerakan struktur tanah tapak bangunan.
Pada 6 Disember 2008, Malaysia digemparkan dengan bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang meragut nyawa dan mengakibatkan kemusnahan yang teruk.
Kejadian mengorbankan enam nyawa, meranapkan 14 banglo dan menyebabkan hampir 2,000 penduduk terpaksa mengosongkan kediaman.
Perlu kesan awal
Kejadian tanah runtuh memberi tamparan hebat kepada semua pakar geosains serta kejuruteraan dalam mengenal pasti faktor berlakunya kejadian serta langkah-langkah awal yang boleh diambil bagi mengelakkan bencana tersebut berulang.
Pada 2019, satu kajian semula dilakukan oleh Lim et al. di kawasan Bukit Antarabangsa dan mendapati keadaan tanah telah berubah sejak 50 tahun terakhir sebelum terjadinya kejadian tanah runtuh.

Eksploitasi tanah yang meluas serta keadaan cerun yang diubahsuai menyumbang kepada kejadian tanah runtuh.
Pengurusan penggunaan tanah dan amalan pembinaan tidak tepat memberi kesan amat buruk kepada persekitaran yang boleh mengakibatkan tanah runtuh.
Oleh hal demikian, langkah awal seharusnya dititik beratkan bagi membendung ia berulang.
Penggunaan kaedah-kaedah geofizik yang berlandaskan hukum fizik dapat digunakan dalam membantu mengenalpasti faktor-faktor berlakunya fenomena tanah runtuh.
Pemantauan awal seperti mengenal pasti keadaan tanah, zon tepu serta kestabilan cerun dapat memberi petanda awal dalam mengawal dan mengurangkan kesan berlakunya tanah runtuh.
Kaedah geofizik seperti seismik pembiasan yang mengukur halaju gelombang dalam tanah dan batuan dapat memberikan indikasi keadaan yang lebih terperinci.
Halaju gelombang seismos yang dihasilkan dapat meneroka bawah permukaan hingga ke batuan dasar serta memberi input halaju berdasarkan masa ketibaan gelombang.
Hukum Snell digunapakai sebagai prinsip dasar dalam menterjemahkan pergerakan gelombang dan proses pemodelan digunakan untuk pemetaan bawah permukaan.
Hasilnya, kekuatan tanah, ciri-ciri bawah permukaan dan keadaan struktur geologi dapat dikenalpasti bagi memahami kondisi tanah dan batuan seterusnya mengurangkan risiko tanah runtuh.
Penggabungan kaedah geofizik, geologi, dan geoteknik dapat memberi data-data yang lebih komprehensif serta mewujudkan model-model geologi yang lebih tepat dan kukuh bagi memastikan fenomena kegagalan cerun dapat dibendung.
Kawasan berbukit dan hutan seharusnya dijaga seperti termaktub dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
- Prof. Madya Dr. Nordiana Mohd. Muztaza dan Dr. Muhammad Taqiuddin Zakaria dari Pusat Pengajian Sains Fizik, USM.









