Tauhu berlauk goreng ini mudah disediakan. Kukus, celup dan kemudian goreng sahaja. Tetapi rasanya memang sedap. Berbaloi untuk dibuat untuk makan sendiri. Boleh juga buat menu untuk diniagakan.
Sajain ini perlu dikukus terlebih dahulu sebelum digoreng. Ini kerana jika tidak dikukus terlebih dahulu, adunan tauhu itu masih cair dan sukar untuk digoreng.
Ia sedap dimakan begitu sahaja untuk sajian minum petang. Enak dicicah dengan sambal kicap. Selamat mencuba.
Tauhu berlauk goreng
Bahan-bahan:
4 ketul tauhu telur – dikisar
3 ketul tauhu petak -dikisar
3 biji telur -dikisar
½ keping isi ayam bahagian dada – dikisar
½ biji bawang Holland – dicincang halus
½ batang Lobak merah – disagat
Daun sup – diracik halus
1 ketul kiub pati ayam
Garam secukup rasa
Lada hitam secukup rasa
Telur – dipukul (ini untuk disalut pada tauhu sebelum digoreng)
Minyak untuk menggoreng
Cara penyediaan:
1-Kisar tauhu telur, tauhu petak, telur dan isi ayam terlebih dahulu. Kisar sehingga sebati dan hancur.
2-Masukkan bawang Holland, lobak merah, daun sup ke dalam bahan yang telah dikisar sebati tadi. Gaul adunan ini. Selepas itu masukkan garam, serbuk lada hitam dan kiub pati ayam.
3-Panaskan pengukus. Ambil adunan tadi dan bubuh dalam bekas acuan kecil (bekas acuan kuih lompang).
4-Kukus lebih kurang 15 hingga 20 minit. Hendak tahu tauhu telah siap dimasak, bolehlah cucuk tauhu tersebut dengan batang lidi. Jika lidi itu bersih maknanya adunan telah masak.
5-Selepas siap dikukus, bolehlah keluarkan tauhu daripada acuan.
6-Celup tauhu ke dalam telur sebelum digoreng. Goreng sehingga kekuningan. Setelah siap angkat dan tos.
Resipi sambal kicap:
5 biji cili api
5 ulas bawang putih
1 sudu gula
Garam secukup rasa
Sos ikan atau air/jus limau
Kicap
Cara membuat sambal kicap:
1-Goreng cili terlebih dahulu sehingga kulit cili kelihatan garing.
2-Goreng juga bawang putih.
3-Selepas itu ambil cili dan bawang putih dan tumbuk sehingga halus.
4-Masukkan gula, garam, kicap dan sos ikan atau jus limau. Gaul sebati. Siap dan boleh digunakan sebagai pencicah tauhu berlauk goreng.
Terima kasih: Asmida Nor
Facebook : Asmida Nor /
https://www.facebook.com/groups/MasakApaHariNiMAHN.my/permalink/3679692585687364










