Taja untuk ubah nasib kanak-kanak miskin - Utusan Malaysia

Taja untuk ubah nasib kanak-kanak miskin

Kempen ini meletakkan kuasa kepada kanak-kanak memilih sendiri penaja mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI penaja atau penderma kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dapat memberi sinar dan membawa harapan baharu dalam kehidupan mereka.

Justeru pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, World Vision Malaysia menggalakkan penglibatan rakyat untuk mengambil bahagian dalam kempen mencari penaja, ‘Chosen’ yang diadakan sehingga 26 Julai ini.

Tajaan bulanan sebanyak RM65 dapat membantu kebajikan kanak-kanak dan keluarga miskin daripada segi pendidikan, pemakanan, penjagaan kesihatan asas, air bersih dan banyak lagi yang dapat dimanfaat oleh kanak-kanak ditaja termasuk kelompok masyarakat mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia, Daniel Boey berkata, kempen julung kali diadakan itu, meletakkan kuasa kepada kanak-kanak memilih sendiri penaja mereka supaya tiada yang tercicir dalam pemilihan.

“Ramai kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini menunggu bertahun-tahun untuk dipilih oleh penaja. Sebagai seorang ayah, saya dapat membayangkan perasaan mereka jika tidak dipilih oleh penaja.

“Oleh itu, kempen pada kali ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memilih siapa (penaja) yang akan membawa mereka keluar daripada kemiskinan. Kami berharap kempen ini dapat memberi masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak,” katanya.

Pemilihan penaja oleh kanak-kanak tersebut akan diadakan pada 5 dan 6 Ogos nanti.

Katanya, seorang penaja hanya mempunyai seorang anak yang ditaja dan mereka akan berhubung melalui surat dan gambar.

Tambah beliau, kempen ini telah memberi kegembiraan dan harapan kepada keluarga yang tidak bernasib baik di seluruh dunia.

“Seperti Kelmer yang berusia enam tahun dari Guatemala, memilih keluarga Justin Hollander untuk menjadi penaja melalui gambar yang dilihatnya. Dia begitu gembira dan tidak sabar untuk bermain bola bersama-sama penaja sekiranya mereka datang ke sana,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa kanak-kanak telah memilih penaja mereka awal tahun ini, seperti perkongsian video di laman Youtube, https://youtu.be/a562CDbVccY.

Bagi yang ingin membantu dan dipilih oleh kanak-kanak ini, boleh layari laman https://bit.ly/WorldVision-Pilih atau emel kepada [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN