BANGI: Pelancaran Global Halal School (GHS) oleh Kolej UNITI Port Dickson memperkukuh pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran dalam industri halal negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu merupakan langkah signifikan dalam usaha melahirkan lebih ramai individu yang mempunyai pengetahuan, kesedaran dan kefahaman mengenai bidang halal.
Menurutnya, pembangunan tenaga kerja yang kompeten, profesional dan berintegriti amat penting bagi memastikan negara terus mengekalkan kedudukannya sebagai antara peneraju industri halal di peringkat antarabangsa.
“Pelancaran GHS yang menjadi salah satu daripada inovasi ataupun inisiatif daripada Kolej UNITI Port Dickson dan juga UNITI Halal Centre.
“Alhamdulillah, GHS ini sudah pasti akan menjadi satu perkara yang sangat-sangat signifikan, memberikan sumbangan bagi mempersiapkan lebih ramai yang mempunyai pengetahuan, kesedaran dan juga ilmu di dalam halal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH 2026) dan pelancaran GHS di sini, hari ini.
Menurut Zulkifli, pembangunan modal insan halal yang kompeten, profesional dan berintegriti merupakan keperluan penting dalam usaha memperkukuh industri halal negara.
Katanya, eksekutif halal kini bukan sekadar bertanggungjawab menguruskan dokumentasi atau memastikan sesebuah syarikat memenuhi keperluan pensijilan, sebaliknya memainkan peranan lebih luas dalam keseluruhan operasi industri.
“Eksekutif halal ini bukan hanya sekadar menguruskan dokumentasi atau memastikan sesebuah syarikat memenuhi keperluan pensijilan.
“Sebaliknya, dimensi yang lebih luas perlu kita berikan perhatian, iaitu eksekutif halal ini sebagai tenaga profesional yang memikul amanah besar dalam memastikan prinsip halal dan toyyiban diterjemahkan secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre yang merupakan antara institusi perintis dalam memperkenalkan Diploma Pengurusan Industri Halal.
Menurutnya, pendidikan dan latihan halal juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke peringkat antarabangsa berikutan pengalaman, kepakaran serta sistem pensijilan halal Malaysia yang mendapat pengiktirafan dunia. – UTUSAN











