Biar anak pilih baju sendiri, boleh kembangkan kreativiti mereka - Utusan Malaysia

Biar anak pilih baju sendiri, boleh kembangkan kreativiti mereka

Kajian menunjukkan lapan daripada sepuluh ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka memilih pakaian sendiri boleh mengembangkan kreativiti mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN kanak-kanak dapat dilihat bermula daripada kebergantungan ibu bapa atau penjaga sehinggalah mereka boleh menjadi lebih berdikari.

Seorang kanak-kanak berkembang melalui perubahan fizikal, bahasa, pemikiran dan emosi.

Manakala proses tumbesaran setiap anak adalah berbeza dan dipengaruhi oleh faktor-faktor genetik, persekitaran dan kapasiti pembelajaran kanak-kanak.

Ramai ibu bapa mengharapkan supaya anak-anak mereka dapat mengembangkan daya kreativiti dan rasa ingin tahu pada peringkat awal usia.

Namun apakah cara yang terbaik untuk memupuk kreativiti dalam kalangan kanak-kanak bagi mengetengahkan kepentingan perkembangan daya kreatif mereka?

Psikoterapi Kanak-kanak dari The Mind Faculty (Fakulti Minda), Reena Clare berkata, ibu bapa boleh memperkenalkan dan mengembangkan daya kreativiti terhadap anak-anak bermula dari kecil melalui aktiviti yang mempengaruhi cara mereka berfikir dan penyelesaian masalah.

“Kreativiti adalah penggunaan imaginasi untuk mencipta sesuatu. Antara cara paling mudah untuk mengembangkan kreativiti kanak-kanak adalah dengan membiarkan anak-anak memilih pakaian mereka sendiri.

“Ini merupakan salah satu cara untuk mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah dan membuka peluang untuk mereka meneroka dunia dengan penuh rasa ingin tahu. Aktiviti ini dapat melatih kemahiran berfikir kritis dan kemampuan mereka untuk mengatur diri sendiri,” katanya.

Hasil tinjauan yang dikendalikan oleh platform e-dagang, Oxwhite mendapati, lapan daripada sepuluh ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka untuk memilih pakaian sendiri sebagai salah satu cara untuk mengembangkan kreativiti mereka.

Berdasarkan tinjauan menerusi media sosial pula dengan lebih 600 ibu bapa sebagai responden, sebanyak 44 peratus ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka memilih pakaian mereka sendiri pada usia empat hingga enam tahun.

Ini diikuti tahap umur setahun hingga tiga tahun (23 peratus), tujuh hingga sembilan tahun (20 peratus), 10 hingga 12 tahun (10 peratus) dan 13 tahun serta ke atas (tiga peratus).

Tambah Reena, ibu bapa juga boleh melibatkan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti seperti membuat patung daripada adunan doh garam, lukisan kapur di lantai, membina mainan dan sekali-sekali berikan peluang kepada mereka untuk mengetuai aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat bersama-sama melihat perkembangan kreatif anak-anak.

Dalam pada itu, Pengasas Oxwhite, CK Changr berkata, pihaknya memperkenalkan Letting Kids be Kids, sebuah e-book percuma panduan untuk ibu bapa dan anak-anak yang merangkumi aktiviti interaktif antaranya, cari yang tepat, sambungkan warna dan berapa banyak boleh kira.

“E-book ini boleh didapati di laman web Oxwhite dan dimuat turun secara percuma oleh ibu bapa.

“Kami berharap dapat membantu ibu bapa di luar sana dalam meringankan beban mereka untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan kreatif anak-anak mereka secara sihat,” katanya.

Jenama tersebut melancarkan kempen #Ox-traordinary Kids bertujuan untuk mengetengahkan kepentingan perkembangan daya kreatif dan memberikan tips dalam memupuk kreativiti dalam kalangan kanak-kanak.

Oxwhite akan bekerjasama dengan The Mind Faculty, untuk mengadakan satu sesi Instagram Live di akaun rasmi Oxwhite pada 7 Ogos nanti bermula pukul 1 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×