Pengorbanan besar kita semua - Utusan Malaysia

Pengorbanan besar kita semua

Sejak pandemik Covid-19 menyerang, kita berhadapan pelbagai ujian dan cabaran di samping ‘dipaksa’ berkorban dalam segala aspek kehidupan seharian. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun ini, sekali lagi kita terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha dalam situasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah kali ini lebih menyedihkan kerana kita tidak boleh merentas negeri dan pulang ke kampung seperti tahun lepas. Jelas sekali Hari Raya Korban tahun ini menuntut pengorbanan yang lebih besar daripada kita semua.

Kes positif wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan menyebabkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Walaupun beberapa negeri seperti Perlis, Perak, Sabah dan Sarawak sudah beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun larangan merentas negeri masih dikekalkan demi memutuskan penularan wabak. Ini sekali gus menghalang kita pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Korban sama seperti ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, tempoh hari.

Ironinya, tahun ini boleh dikatakan kita langsung tidak berpeluang untuk pulang ke kampung bagi menziarahi ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Ini adalah satu dugaan dan ujian yang cukup besar kerana masyarakat kita sangat mengutamakan semangat kekeluargaan. Walaupun masih boleh berhubungan secara maya, namun perasaan dan suasananya tetap tidak sama dan tidak boleh menggantikan perjumpaan secara fizikal atau bertentang mata.

Ringkasnya, wabak ini menjauhkan kita secara fizikal dan perasaan rindu antara ibu bapa dan anak semakin menebal. Namun apakan daya, kita perlu akur dan menerima kenyataan bahawa inilah pilihan terbaik buat masa sekarang demi melindungi diri dan ahli keluarga yang lain daripada terkena jangkitan wabak.

Justeru, seluruh rakyat khususnya umat Islam perlu mengambil ruang dan peluang ini untuk memperingati serta menginsafi detik pengorbanan terbesar dalam sejarah kehidupan manusia, iaitu Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah Allah SWT. Peristiwa ini dan kerelaan kedua-dua anak beranak itu jelas dirakam oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah as-Saaffat ayat 102.

Saya yakin dan percaya, inilah masa terbaik untuk kita mengambil iktibar dengan peristiwa tersebut, di mana kita perlu yakin dengan ketentuan Allah SWT seterusnya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pihak berkuasa dalam menangani penularan wabak. Semat dalam diri masing-masing, ini adalah pengorbanan kita untuk rakyat dan negara tercinta.

TERPERUK

Sejak pandemik menyerang, kita berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran di samping ‘dipaksa’ berkorban dalam segala aspek kehidupan seharian. Pelaksanaan pelbagai fasa PKP misalnya mengehadkan dan membataskan pergerakan kita sehingga terpaksa terperuk di rumah untuk suatu tempoh masa yang cukup lama. Natijahnya, kita tidak dapat keluar untuk melakukan pelbagai aktiviti rutin harian termasuk bekerja dan bersosial. Lebih menyedihkan apabila sudah dua tahun umat Islam negara ini tidak dapat mengerjakan ibadat haji.

Ada juga yang diuji dengan lebih dahsyat apabila tidak mampu menyerap tekanan sehingga masuk ke fasa kemurungan, malah bilangan yang bunuh diri juga dilaporkan meningkat secara mendadak. Ringkasnya, kita diuji secara mental, emosi dan fizikal.

Kes tekanan mental dalam kalangan anggota masyarakat dilaporkan semakin serius dan kritikal apabila 89.4 peratus daripada 122,328 panggilan ke Talian Bantuan Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan berkait rapat dengan kesan ‘terkurung’ akibat daripada pelaksanaan PKP sepanjang tahun ini.

Ia dilaporkan berpunca daripada ujian besar yang dihadapi oleh rakyat seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan serta tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga selain penderaan secara emosi dan fizikal. Malah laporan polis berkaitan bunuh diri juga terus membimbangkan apabila merekodkan 1,738 kes sejak 2019 hingga Mei lalu.

Ini semua menggambarkan kita perlu menghadapi ujian, dugaan dan cabaran seperti ini dengan tenang, sabar dan matang di samping bersedia untuk melakukan sedikit pengorbanan demi kelangsungan hidup pada masa akan datang.

Walaupun kita sudah melakukan pelbagai pengorbanan sejak lebih setahun lalu, namun keadaan sekarang dilihat lebih kritikal dan memerlukan kerjasama semua pihak.

Sudah semestinya kita juga tidak mahu segala pengorbanan yang dilakukan selama ini menjadi sia-sia begitu saja.

Jadi, bersempena Hari Raya Korban tahun ini, baik rakyat mahupun pemimpin perlu terus bertekad untuk berkorban dengan meningkatkan lagi tahap disiplin dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan demi memutuskan rantaian penularan wabak. Kita juga tidak mahu kluster ziarah Hari Raya Aidilfitri tempoh hari berulang lagi ketika sambutan Hari Raya Aidiladha ini.

Semoga Hari Raya Korban tahun ini dapat mendidik kita untuk menjadi manusia yang lebih sabar, tenang, tidak mementingkan diri serta sentiasa mematuhi peraturan di samping bersedia untuk berkorban apa saja demi kebaikan dan keselamatan semua.

Penulis ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×