JIKA harapkan ganjaran terutama wang, kerjaya sebagai anggota tentera bukan jawapannya. Namun jika mahukan cabaran dan pengalaman, ia perlu dijadikan pilihan.
Malah, kepuasan sebagai anggota keselamatan terutama ketika menyertai misi atau penugasan semestinya begitu ternilai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Waran 1 Teknisyen Letrik Senjata (TLS) Mohamad Noorfazli Ariffin dari Cawangan Udara sangat bertuah dan berbangga berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Banyak pengalaman pahit manis yang diperoleh anak jati Kedah ini sejak memulakan perkhidmatan pada 27 Jun 1999 sehingga kini.

Menceritakan kembali pengalaman lebih 22 tahun, dia tidak akan melupakan tiga misi penting sepanjang hidupnya. Misi itu adalah mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370, Op Fajar dan misi pencarian kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, (USN) USS John McCain.
“Saya masih ingat lagi ketika menyertai misi SAR MH 370 di Lautan Hindi pada 2014. Ia sesuatu yang istimewa kerana kapal TLDM jarang beroperasi di sana.
“Setakat ini hanya Kapal Diraja (KD) Lekiu satu-satunya kapal TLDM yang beroperasi di sana. Malah, lautan ini juga jarang dilalui kapal lain.
“Kami beroperasi di sana selama tiga bulan dan berpangkalan di Australia. Selain misi berkenaan, menyertai Op Fajar Siri 19 turut menyimpan 1,001 kenangan terutama apabila diberi peluang menziarahi bumi anbiya di Oman. Ia benar-benar memberi keinsafan,” katanya baru-baru ini.
Mohamad Noorfazli dipilih sebagai Pegawai Waran TLDM ketujuh menggantikan PW 1 TMK Muhamad Eizad Ramli.
Beliau akan menjadi penghubung antara kumpulan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) bagi memastikan mesej serta arahan dikeluarkan pengurusan tertinggi sampai kepada anggota.
Tambah Mohamad Noorfazli, menyertai operasi SAR kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain yang mengalami kerosakan selepas bertembung dengan kapal Ainic MC pada 2017 turut menambah pengalamannya sebagai anggota tentera.
“Pihak TLDM berjaya menjumpai satu mayat ketika operasi itu, namun selepas pengecaman dibuat, mayat berkenaan bukan krew USS John McCain,” jelasnya.
Beliau yang begitu mesra dan bersemangat ketika menceritakan lebih lanjut perkhidmatannya berkata, kerjaya TLDM bukan pilihan utama usai menamatkan alam persekolahan.
“Pada asalnya saya tak berminat dengan kerjaya tentera kerana ayah saya pun seorang anggota Tentera Darat. Habis sekolah, saya menganggur lalu mencuba nasib memohon TLDM dan akhirnya diterima masuk menjalani latihan.
“Sebaik sahaja tamat latihan, saya dipilih menyertai skim perintis Diploma Teknisyen Marin (DTM) dengan kerjasama KD Pelandok dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), seterusnya ditugaskan di Kapal Diraja (KD) Inderasakti selama setahun dari 2004 hingga 2005.
“Apabila dibuka tawaran untuk menjadi technician udara untuk pesawat Super Lynx, saya cuba memohon dan diterima masuk sejak 2005 sehinggalah 2019,” jelasnya.
Beliau sendiri tidak pernah terfikir atau memasang impian memegang jawatan Pegawai Waran TLDM sejak mula memasuki perkhidmatan.
“Saya tidak pernah mempunyai impian untuk mencapai peringkat ini. Dulu pun tiada jawatan Pegawai Waran TLDM, ia diwujudkan pada tahun 2015.
“Jadi apa yang saya dapat ini adalah rezeki Allah SWT dan akan buat yang terbaik demi TLDM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norfazli berkata, setiap anggota baharu perlu sentiasa mengambil peluang untuk berjaya dan menggunakan saluran betul untuk menyuarakan pandangan atau segala masalah.
Nasihatnya, jangan dengar khabar angin atau rumusan negatif daripada sumber yang salah lebih-lebih lagi dengan peningkatan teknologi maklumat.
“Sebaliknya dapatkan nasihat daripada pihak yang layak dan berkredibiliti, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kerjaya kita,” jelasnya.











