Kerajaan yang menepati janji - Utusan Malaysia

Kerajaan yang menepati janji

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menghadiri sindang Parlimen. – GAMBAR HIASAN/PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sewaktu proklamasi darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu, jelas dinyatakan nasihat jemaah menteri kepada Seri Paduka adalah ia untuk satu tempoh terhad sahaja, iaitu berakhir pada 1 Ogos 2021.

Berbeza daripada proklamasi-proklamasi darurat diisytiharkan sebelum ini yang tidak mempunyai tempoh tertentu, pemberian tempoh kepada proklamasi darurat kali ini menafikan dakwaan ia mempunyai tujuan politik.

Syukurlah, dalam tempoh proklamasi darurat ini, telah banyak ordinan darurat yang digubal bagi meningkatkan keberkesanan pengawalan wabak Covid-19 termasuk bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Begitupun, kemunculan varian baharu serta pelbagai kelemahan di sana sini, baik di pihak kerajaan mahupun di pihak rakyat sendiri menjadikan wabak Covid-19 terus meluas dari semasa ke semasa di sebalik usaha berterusan kerajaan menanganinya.

Pada masa sama, pelbagai pihak menyuarakan desakan agar proklamasi darurat tidak diteruskan setelah ia berakhir termasuk kenyataan dikeluarkan oleh Raja-raja Melayu yang menghadiri perbincangan khas di Istana Negara pada 16 Jun lalu.
Ini termasuklah penegasan semula Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kelmarin bahawa sekiranya darurat diteruskan selepas 1 Ogos ini, maka ahli-ahli Parlimen UMNO akan menarik sokongan dan menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada UMNO akan meletakkan jawatan.

Nyatalah perkara ini juga menjadi tumpuan utama ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam yang bersungguh-sungguh benar mahukan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat dibahaskan dan dibuat undian di Parlimen bila mereka dibenarkan berucap.

Sesungguhnya kerajaan telah melakukan perkara yang betul bila membentangkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat kerana peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan, “proklamasi darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen…”

Tumpuan berlebihan ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang ke atas usaha untuk membolehkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan Darurat diundi menyerlahkan satu perkara yang nyata, iaitu tumpuan utama mereka meminta sidang Parlimen dilangsungkan hanyalah untuk membolehkan mereka merebut kuasa.

Pelbagai jeritan dan cemuhan yang kedengaran disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang semalam hingga menjadikan medan mulia lebih teruk daripada pasar tidak mencerminkan peribadi dan prinsip perjuangan ke arah mendaulatkan masyarakat sivil dan beradab sepertimana dilaung-laungkan.

Malang sekali bila ruang Parlimen yang sepatutnya digunakan untuk memberi pelbagai idea bagi membolehkan pengawalan wabak Covid-19 dilakukan dengan lebih berkesan atau untuk membela kebajikan rakyat tidak dimanfaatkan, sebaliknya digunakan untuk membawa agenda kepartian termasuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

PILIHAN RAYA

Sehubungan itu, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong menyambung proklamasi darurat dan untuk membatalkan kesemua ordinan darurat semalam amatlah dialu-alukan.

Apa yang menghairankan, ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang yang sepatutnya menyambut baik keputusan kerajaan terus-terusan mencari sebab lain pula untuk mengkritik, kononnya ia perlu diputuskan oleh sidang Parlimen, bukan oleh kerajaan.

Seperti dijelaskan oleh Takiyuddin, tidak berbangkit lagi soal perlunya dibuat undian setelah ia diputuskan untuk tidak diteruskan dan dibatalkan. Sepatutnya memfokuskan untuk lebih memantapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tidak perlulah dibangkitkan soal kononnya PPN diciplak oleh kerajaan daripada pihak lain kerana mana-mana inisiatif yang baik perlulah disokong, apatah lagi bila kerajaan sendiri menunjukkan kesediaan untuk mendengar input daripada parti-parti pembangkang termasuk dengan menjemput mereka menyertai jawatankuasa terlibat.

Adalah diharapkan keputusan kerajaan ini tidak akan disalahgunakan oleh parti-parti pembangkang untuk merancakkan usaha mengambil alih kuasa, sama ada melalui pengemukaan akuan-akuan berkanun atau melalui pengemukaan undi tidak percaya.

Sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan yang memungkinkan berlakunya pilihan raya umum perlulah dielakkan dan pelakunya wajarlah dicela kerana ia akan mengganggu fokus kerajaan menangani Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat. Wabak ini pastilah akan menjadi lebih teruk jika ia berlaku.

Selaras itu, pembatalan ordinan-ordinan darurat perlulah disusuli dengan pembentangan rang undang-undang baharu di Parlimen bagi membolehkan kandungannya dapat terus dilaksanakan manakala proklamasi darurat baharu perlu diisytiharkan bagi menghalang pilihan raya daripada terpaksa dilangsungkan di kawasan tertentu, khususnya di Sarawak.

Apa pun, keputusan ini adalah gambaran jelas ia adalah sebuah kerajaan yang menepati janji, bila ia memberikan jaminan proklamasi darurat berakhir pada 1 Ogos ini maka ia benar-benar tidak akan disambung, yang akur dan hormat kepada titah Raja-raja Melayu serta responsif dan prihatin kepada maklum balas diberi oleh rakyat.

Pada masa sama, pastilah akan lebih mendatangkan kestabilan kepada politik negara memandangkan ia dengan sendirinya menutup ruang dan alasan untuk ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan dan menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pengerusi-pengerusi GLC daripada UMNO meletakkan jawatan.

Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×