KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah memburukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang menjalani hukuman penjara, sebaliknya terus menghormati institusi kerajaan dan proses undang-undang negara.
Anaknya, Nooryana Najwa berkata, bapanya itu sebaliknya lebih banyak bercakap mengenai UMNO dan masalah parti serta perkara yang boleh dilakukan untuk memperkukuhkan parti berkenaan.
“Tak pernah. Tak pernah (burukkan kerajaan dan Anwar). Ayahanda hanya bercakap tentang UMNO dan UMNO sahaja. Pada dirinya, apa yang UMNO lakukan dalam kerajaan sekarang ini diakui ada peranan yang sangat penting dalam membentuk dasar-dasar negara.
“Ayahanda jelaskan, ia perlu dikekalkan. Tetapi tiada pula dia ulas tentang PH atau perkara lain termasuk Anwar Ibrahim.
“Beliau seorang party man, statesman, jadi bagi beliau apa yang baik itu perlu diteruskan. Tetapi ada juga dasar-dasar yang beliau rasa boleh ditambah baik, ayahanda akan berkongsi pandangan beliau juga,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Namun Nooryana berkata, jika Najib dibebaskan kelak, dia akan merayu bapanya supaya tidak terus kembali aktif dalam politik sebaliknya berehat terlebih dahulu bersama keluarga.
“Kalau ayahanda bebas, saya sebagai seorang anak, hendak beliau rehat di rumah dulu. Tidak mudah melalui hukuman penjara empat tahun, masuk ke mahkamah selama tujuh hingga lapan tahun.
“Jadi saya sebagai seorang anak, nasihat saya kepada beliau, duduk di rumah diam-diam, rehat. Habiskan masa sebagai seorang datuk,” katanya.
Dalam masa sama, Nooryana mengakui keluarganya kecewa dan sedih apabila keputusan berkaitan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan kelmarin.
“Kita tidak tahu lagi bila mesyuarat akan berlangsung selepas ini, tetapi kami yakin, berita gembira itu akan hadir dan kami berdoa agar mesyuarat akan datang tidak mengambil masa yang terlalu lama,” katanya.
Jelasnya, keluarga hanya mempunyai satu harapan utama iaitu melihat Najib kembali bersama mereka dalam keadaan sihat dan mendapat keadilan dan kebebasan.
“Sebab sekarang ini ayahanda pun sudah 73 tahun. Fokus keluarga kami adalah untuk pastikan beliau kembali dalam keadaan yang sihat,” katanya.-UTUSAN.










