Kembali kepada sistem ekonomi Islam - Utusan Malaysia

Kembali kepada sistem ekonomi Islam

PEMBUKAAN sektor ekonomi secara berperingkat dengan SOP lebih jelas dapat mengekang penularan kes Covid-19, seterusnya membantu pemulihan secara lebih menyeluruh. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN program RM45 bilion untuk memulihkan ekonomi yang dikemukakan oleh DAP kepada kerajaan adalah menarik dan kesediaan kerajaan menerimanya adalah baik.

Begitu pun, kritikan DAP ke atas kerajaan kerana kecenderungan menurunkan bantuan secara menyeluruh seolah-olah keadaan yang runcing telah berlalu dan ekonomi negara kini dalam proses pemulihan adalah tidak tepat.

Ini kerana graf yang dibuat oleh DAP hanya mengambil kira pemberian wang tunai sebanyak RM80 bilion sedangkan sebenarnya hampir RM630 bilion kaedah rangsangan dikemukakan dalam beberapa bentuk yang semuanya dimanfaatkan oleh isi rumah dan peniaga.

Mengapa kadar pemberian tunai semakin menurun adalah kerana kerajaan semakin tersekat dalam membuat pinjaman disebabkan Parlimen hanya meluluskan had pinjaman sebanyak 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang turut menyusut disebabkan kesan kegawatan ini.

Kini kerajaan menetapkan akan meningkatkan had pinjaman kepada 65 peratus daripada KDNK. Ini tentunya menjanjikan tambahan peruntukan bantuan tunai lebih RM60 bilion lagi yang pasti akan diumumkan selanjutnya.

Jadual perbandingan bantuan tunai antara negara yang dibuat oleh DAP juga mungkin tidak begitu tepat kerana ia hanya membandingkan angka kasar bantuan oleh setiap kerajaan di negara berkenaan.

Jika diambil kira bantuan per kapita, mengambil kira bilangan rakyat dan bantuan khusus yang diterima, pasti Malaysia adalah antara negara terbaik dalam pemberian bantuan.

Apa lagi jika kuasa beli pariti (kesamaan) diambil kira bila membandingkan dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Jerman, Brazil, Itali dan Perancis, pasti Malaysia telah melakukan yang terbaik.

Cadangan menambahkan keupayaan Kementerian Kesihatan amat dialu-alukan. Pelaburan dalam alat ujian pengesanan virus Covid-19 amat diperlukan kerana kita perlu segera mengasingkan kumpulan isi rumah yang terjangkit dengan sihat. Ini merupakan asas fundamental dalam usaha menangani gejala ini.

Saya merasakan jika kita dapat memastikan orang yang mempunyai gejala dikurung di dalam rumah atau dirawat di hospital, kita boleh membuka ekonomi dan kehidupan sosial dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Tidak perlulah kita membezakan sektor perlu atau genting dan sektor lainnya. Semua aktiviti ekonomi perlu boleh dikendalikan serta-merta untuk memulihkan ekonomi kita serta-merta.

Pengwujudan berpuluh hotel yang kosong dan dalam proses penjualan boleh menjadi asas untuk membentuk industri e-housing. Ini boleh diinisiasikan secara swasta dengan sokongan kerajaan bagi memastikan semua isi rumah mempunyai bumbung untuk menginap.

Bantuan kepada peniaga mikro dan peniaga kecil perlu bersasar untuk menyediakan mereka menghadapi era perniagaan baharu selepas kegawatan selesai.

Penambahan nilai bantuan kepada kumpulan miskin tegar dan kumpulan yang hilang sumber pendapatan amat dialu-alukan. RM2,500 adalah angka yang sesuai kerana itulah tahap kos sara hidup minimum di Malaysia.

Pemberian pinjaman moratorium tanpa faedah untuk kumpulan yang benar-benar memerlukan boleh dipertimbangkan. Mungkin bank dan kerajaan boleh berkongsi kos dalam membiayai pinjaman ini.

Penyelesaian akhirnya ialah untuk menggunakan institusi khusus seperti model Dana Harta dahulu untuk menangguhkan pinjaman bagi satu tempoh yang lebih panjang dari enam bulan.

KAWALAN KETAT

Ekonomi perlu dibuka serta-merta dengan kawalan ketat. Hanya membenarkan orang yang sihat untuk keluar rumah dan menjalankan aktiviti biasa dalam ekonomi.

Jika kawalan dan hukuman ingin dikuatkuasakan, kumpulan orang yang mempunyai gejala Covid-19 yang mencuri keluar rumah inilah yang sepatutnya didenda dengan banyak. Namun, perlu ada satu kumpulan sukarela yang akan membantu kumpulan bergejala ini untuk menjalani kehidupan normal dari rumah.

Sebenarnya, kegawatan ekonomi disebabkan pandemik memberikan rahmat penting kepada negara. Ia telah menonjolkan betapa runcingnya pengagihan kekayaan. Isi rumah di Malaysia boleh dibahagi kepada tiga golongan yang sangat jelas iaitu kumpulan elit dan kaya yang kurang daripada 10 peratus, kumpulan miskin tegar kira-kira 20 peratus dan kumpulan menengah meliputi 70 peratus isi rumah.

Kegawatan ekonomi kini lebih jelas mendedahkan sifat dan kewujudan tiga kumpulan isi rumah yang sangat nyata ini. Kini terpulanglah kepada kerajaan untuk mengorak semula sistem ekonomi bagi menangani ketiga-tiga kumpulan isi rumah ini dengan adil.

Saya yakin apa yang diperlukan ialah untuk kita merombak semula struktur ekonomi. Sistem ekonomi bebas berasaskan model ASM (Anglo Saxon Model) sudah berlalu. Hampir semua negara di dunia menyedari kepentingan menjaga kesejahteraan rakyat marhaen sebagai tonggak utama dalam pengurusan ekonomi.

Mungkin kita boleh melihat model ESM (European Social Model) yang lebih sejahtera seperti diamalkan Norway, Sweden, Denmark dan Finland.

Lebih baik daripada itu, mungkin sudah tiba masanya kita kembali memperkenalkan sistem ekonomi Islam sejati. Kebelakangan ini sudah banyak ditonjolkan bagaimana ekonomi Barat yang diasaskan oleh Adam Smith, Ricardo dan John Maynard Keynes dan lain-lain pada 1600-an merupakan ciplakan prinsip ekonomi yang diasaskan oleh pemikir Islam seperti Imam Al-Ghazali, Ibnu Khaldun dan Ibnu Taimiyyah pada awal 1110-an.

Apa yang membezakan mereka ialah ekonomi Islam berteraskan gelagat dan tabiat isi rumah (manusia). Ia berteraskan prinsip adab, akhlak dan aspek etika yang perlu menjadi tonggak.

Misalnya, sedang ekonomi konvensional sibuk mengurus sumber yang terhad untuk cemerlang, ekonomi Islam adalah berasaskan pada prinsip sumber ekonomi yang melimpah luas dijanjikan Allah.

Tempoh kegawatan ini boleh digunakan untuk sama-sama memikir bagaimana kita boleh menstrukturkan ekonomi secara cukup halus dan berkesan bagi menjadi sebuah masyarakat sejahtera dan bahagia keseluruhannya.

PROFESOR Emeritus Dr. Barjoyai Bardai ialah pakar ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN