“SAYA sebenarnya takut menunggang kuda.” Demikian ‘rahsia’ yang didedahkan penunggang wanita pertama kuda lasak negara, Azizatul Asma Abdullah, 25, semasa temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Di sebalik pencapaian cemerlang dalam sukan tersebut, hakikatnya atlet dari kelab, State Terengganu Endurance Team (STET) itu masih dibelenggu rasa gementar setiap kali menunggang kuda terutama risiko-risiko kecederaan jika berlaku sebarang kemalangan.
Bagaimanapun, Azizatul Asma yang mesra dipanggil Asma tidak menjadikan ketakutan itu sebagai halangan untuknya terus menguasai sukan kuda lasak berkenaan.
Buktinya, seawal usia 17 tahun, gadis ini berada di kedudukan pertama dunia daripada 573 pelumba dalam kategori Young Riders World Endurance dan menjulang namanya sebagai Riders Of The Year 2013 di samping turut dinobatkan antara 20 pelumba terbaik dalam temasya antarabangsa di Tarbes, France, tahun sama.
Malah, dia turut meraih emas bagi acara berpasukan bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam penampilan sulung pada Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Kuala Nerus.
“Saya sendiri tidak menyangka mampu melangkah sejauh ini dalam sukan kuda lasak kerana pada peringkat awal menyertai kejohanan semasa di Tingkatan 1, sasaran saya cuma sekadar mahu menamatkan perlumbaan tetapi selepas meraih kejayaan, saya jadi makin bersemangat untuk mendapat nombor satu.
“Dalam kalangan rakan sepasukan di STET, mereka semua tahu saya satu-satunya yang takut menunggang kuda hingga kini walaupun sudah memenangi banyak perlumbaan termasuk di luar negara,” katanya.

Azizatul Asma cukup dikenali dalam kalangan peminat dan penggiat sukan kuda lasak di peringkat antarabangsa terutama di Amerika Selatan melalui beberapa siri kejohanan yang disertai serta dimenangi di rantau itu dan Eropah.
Anak bongsu kepada pasangan Tan Sri Abdullah Taib dan Puan Sri Nariah Muhamad itu mula mengenali serta mendekati sukan berkuda ketika berusia enam tahun. Kemudian, berkongsi minat ayahnya yang juga seorang pelumba sukan sama di samping pernah mewakili ke negara ke kejohanan dunia.
Katanya, penyertaan dalam Sukan SEA lalu cukup mendebarkan berikutan sudah lama tidak beraksi akibat kecederaan yang dialami pada 2014 hingga patah tulang selangka, retak tumit kaki kiri dan menerima 10 jahitan di telinga.
Azizatul Asma berkata, impiannya kini untuk memburu gelaran penunggang elit senior dan perlu menyertai beberapa acara perlumbaan bagi sesi kelayakan bersaing dalam kategori 160 kilometer.
Menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan itu, dia sepatutnya berangkat ke kejohanan antarabangsa di Pisa, Itali, pada tahun lalu, bagaimanapun hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran pandemik Covid-19.
“Perlumbaan terakhir yang disertai sebelum negara berdepan ancaman Covid-19 ialah edisi Piala Menteri Besar Terengganu pada Mac 2019 dengan merangkul naib juara kategori 80 kilometer dan walaupun tiada sebarang perlumbaan pada tahun ini, rutin latihan bersama rakan sepasukan tetap diteruskan seperti biasa di TIEP.
“Bagi sukan kuda lasak walaupun tiba awal di garisan penamat atau pun mendahului perlumbaan tetapi bukan petanda kemenangan jika pemeriksaan terhadap kuda tidak memenuhi kriteria ditetapkan, malah saya sendiri pernah berdepan situasi hilang kelayakan bertanding kerana masalah pada kuda,” katanya.
Sementara itu, Azizatul Asma gembira kerana sukan kuda lasak semakin mendapat tempat dalam kalangan kaum hawa di negara ini berbanding sedekad lalu di samping ramai bakat baharu yang dikesan dari usia kanak-kanak.
Katanya, bagi mana-mana remaja yang ingin menyertai sukan berkenaan disarankan berhubung dengan Majlis Sukan Negeri masing-masing untuk maklumat lanjut berkenaan latihan dan lain-lain lagi.
“Saya berharap lebih ramai lagi wanita akan menyertai sukan kuda lasak kerana aktiviti berkuda merupakan amalan sunnah Rasulullah.
“Yang paling mustahak, jangan panik apabila kuda berdepan masalah bagi membolehkan kita mengawal semula haiwan berkenaan. Di samping itu, untuk lekas serasi dengan kuda, kita perlu sentiasa bercakap dengannya selain berlatih bersama,” katanya yang pernah menggunakan khidmat tiga kuda iaitu Mora Tishaka, M Traful dan Mora Franka.

Bakal uruskan hotel
Dalam kesibukan dengan latihan kuda lasak, Azizatul Asma Abdullah juga bakal bergelar pengurus di hotel tiga bintang, The Payang Hotel milik keluarganya yang dijangka beroperasi tidak lama lagi.
Katanya, hotel berkonsepkan warisan tempatan yang terletak di Kampung Cina itu dijangka menjadi pilihan pelancong berikutan kedudukannya berdekatan dengan Pasar Payang.
Menurut Azizatul Asma, antara kemudahan yang terdapat di hotel lima tingkat dengan 40 bilik itu termasuk restoran dan ruangan bumbung bagi membolehkan tetamu menyaksikan panorama indah pusat bandar Kuala Terengganu.
“Buat masa ini, kerja-kerja pembinaan masih lagi dijalankan dan berkemungkinan kita dapat menyambut ketibaan pelancong pertama pada tahun depan.
“Ilmu yang dituntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang pengurusan pelancongan akan dimanfaatkan sebaiknya dalam menguruskan The Payang Hotel,” katanya.
Azizatul Asma berkata, harga bilik di hotel berkenaan bermula daripada RM130 ke atas.
Biodata:
Nama: Azizatul Asma Abdullah, 25
Tarik lahir: 29 Oktober 1996
Adik-beradik bongsu daripada tujuh beradik
Asal:Kuala Terengganu, Terengganu
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Pencapaian:
• Pingat emas kategori 80 kilometer (individu) Sukma 2012
• 20 Pelumba Terbaik Kejohanan Remaja Dunia 2013 di Tarbes, France
• Riders Of The Year 2013 di Costa Azul, Uruguay
• Juara kategori 80 kilometer (individu) Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu 2018
• Tempat kedua kategori 80 kilometer (individu) Piala Menteri Besar 2019
• Calon olahragawati Anugerah Sukan Terengganu 2017










