Jagung bukan setakat sedap dimakan. Kalau rajin, anda boleh cuba buat menu cucur jagung. Senang sahaja membuatnya. Setelah siap bolehlah menikmatinya bersama keluarga tersayang.
Resipi yang dikongsikan oleh Faizah Abdul Hamid ini adalah olahannya sendiri. Katanya petua untuk memastikan cucur jagung ini rangup di luar dan lembut di dalam adalah dengan membancuh adunan dengan menggunakan air panas.
Air panas itu perlu ditambah dalam bancuhan tepung sehingga mendapat adunan yang sedang-sedang kepekatannya. Kalau adunan ini tidak cukup air, hasilnya nanti cucur akan menjadi keras.
Sedap sekali kalau cucur jagung ini dicicah dengan sos cili, sos lada hitam dan mayones.
Cucur jagung:
Bahan-bahan:
½ kg tepung gandum
Sebiji telur
Secekak kucai – potong 1cm
2 tongkol jagung segar
Segenggam ikan bilis
Segenggam udang kertas- cincang kasar
2 labu bawang besar – belah empat dan hiris nipis
4 sudu makan cili kisar
1 sudu makan serbuk kunyit
Maggi cukup rasa
Garam halus secukupnya
Air panas secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Cara memasak:
1-Hiris isi jagung dari tongkolnya. Satukan semua bahan dalam bekas. Bancuh adunan dengan air panas.
2-Masukkan air panas. Kacau sebati guna senduk. Tambah air panas hingga dapat adunan yang sedang-sedang kepekatannya.
3-Jemput dan goreng dalam minyak panas hingga garing. Angkat dan toskan minyak.
4-Sedia untuk dihidangkan.
Tips:
1-Ikan bilis lebih sedap jika ditumbuk kasar-kasar.
2-Bancuh mesti guna air panas untuk mendapatkan cucur yang rangup di luar lembut di dalam. Panas mana? Boleh guna terus air panas daripada mesin penapis air (jika ada).
Terima kasih : Faizah Binti Abdul Hamid
Facebook: Faizah Binti Abdul Hamid/ https://www.facebook.com/groups/1399614277028551/user/100011289512605










