Apa yang akan anda lakukan apabila melihat kucing jalanan. Memberinya makan dan kemudian biarkan kucing itu berkeliaran di merata tempat? Atau adakah anda membawanya pulang untuk dibela sebagai haiwan peliharaan?
Berlainan bagi pencinta kucing, Ahmad Abdul Quddus Abdul Rahman, 37. Dia akan membawa kucing dijumpai ke rumahnya seterusnya dibela.
Hingga kini kediaman lelaki berjiwa murni itu sudah menjadi tempat berteduh lebih 21 ekor kucing terbiar.
“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk membela kucing. Namun hati saya berubah apabila terjumpa seekor anak kucing di dalam bonet sebuah kereta.
“Kasihan pula tengok kucing itu mengiau. Tidak sampai hati nak buang begitu saja, saya ambil keputusan membawa pulang anak kucing itu untuk dijaga,” katanya kepada Utusan Malaysia berkongsi rasa kasih terhadap mamalia comel itu.

Siapa sangka keputusan yang dibuat secara tidak sengaja pada tahun 2015 itu menyingkap rasa sayang Ahmad untuk terus kasih pada kucing.
Malah katanya, hari ini dia pantang nampak kucing terbiar sama ada di kedai makan atau di tengah jalan.
“Saya mesti ambil dan bawa balik ke rumah,” katanya.
Berkongsi keterujaan itu, Ahmad berkata, pada peringkat awal beliau hanya membela Cookie Monster, Jane Eyre dan Sherlock Holmes.
“Sherlock meninggal dunia disebabkan virus parvo. Cookie dan Jane berumur enam tahun. Orang kata satu tahun umur kucing sama dengan tujuh tahun umur manusia. Jadi ini bermakna Cookie dan Jane sudah berumur 42 tahun,” katanya.
Antara spesies kucing dibela ialah baka kampung (domestic short hair) dan ada seekor domestic long hair. Kucing belaan terkininya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diberi nama London.
Bebas bergerak dalam rumah
Baru bergelar suami setahun lalu, Ahmad bertuah kerana mendapat sokongan isteri, Nadhyrah Rosenita Noordin, 35, yang turut sayang kucing.
Penginapan di kondominium bukan halangan membela kucing, asalkan aspek kebersihan dan keselamatan diutamakan.
“Saya mengupah tukang cuci untuk pastikan ruang kediaman kami bersih.
“Tetapi disebabkan sekarang ini masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami buat sendiri kerja-kerja mencuci itu sebab orang luar tidak boleh masuk ke kawasan kondominium ini,” katanya.

Kesemua kucing itu bebas bergerak dalam rumah. Namun beliau tetap menyediakan bilik khas untuk menempatkan si manja.
“Bilik kucing perlu sebab kalau ada orang datang ke rumah, semua saya letak dalam bilik. Bukan semua orang suka kucing,” katanya berterus terang.
Berkongsi pengalaman membela kucing terbiar, Eksekutif Teknikal di sebuah syarikat swasta ini berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah menyelamatkan kucing tua yang menghidap sakit buah pinggang.
“Setiap hari kucing itu perlu melakukan dialisis. Walaupun hayatnya tidak lama, tetapi saya puas hati sebab dapat membantu hingga ke nafasnya yang terakhir,” katanya.
Dalam insiden lain, beliau pernah menyelamatkan kucing patah rahang sebab kemalangan. Dua tahun masa diambil untuk kucing bernama Adik itu untuk sembuh.
Bagi makan sampai gemuk
Membela haiwan peliharaan tidak boleh kedekut. Ahmad memperuntukan kira-kira RM1,000 setiap bulan untuk anak bulusnya itu daripada pelbagai aspek termasuk kesihatan.
“Kalau nak bela kucing pastikan mempunyai sumber kewangan yang agak kukuh. Kena ada juga simpanan kecemasan untuk kegunaan kucing.
“Ada rawatan kucing saya ini hingga mencecah RM3,000. Jadi pastikan anda ada komitmen tinggi dalam membela kucing,” katanya serius.
Ahmad Abdul berkata, situasi paling menyeronokkan dirinya ialah menyaksikan transformasi si manja.
“Saya memang rasa puas kalau kucing jalanan saya juga itu akhirnya sihat dan ceria. Saya akan pastikan ia makan banyak sampailah badannya montel,” katanya.
Disebabkan terlalu banyak kucing juga telah menyebabkan Ahmad terpaksa memberi beberapa ekor kucing kepada orang lain untuk dibela.
Walaupun sedih terpaksa berpisah namun itu adalah jalan terbaik demi kebaikan kucing-kucing tersebut.
Mengenai sampai bila dia akan terus mengutip kucing terbiar, katanya, dia akan berhenti hanya apabila tidak ada lagi kucing mengemis meminta makan sewaktu dirinya menjamu selera di gerai makan.
“Kalau kucing datang kepada saya, mesti saya akan bawa balik ke rumah,” ujarnya mengakhiri perbualan.











