UPM dulu-dulu, gamit nostalgia 50 tahun penubuhannya - Utusan Malaysia

UPM dulu-dulu, gamit nostalgia 50 tahun penubuhannya

Gambar minggu orientasi dalam lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu dan pengalaman. Sebut alam kampus, pelbagai nostalgia berlegar di minda. Kenangan manis, pahit semuanya datang menerjah.

Sempena sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Universiti Putra Malaysia (UPM) (1971-2021), alumni yang turut merangkap admin fanpage UPM DULU-DULU, berganding bahu meraikan sambutan itu dalam norma baharu menerusi platform media sosial itu.

Penolong Pendaftar, Pusat Perhubungan Alumni UPM, Nik Hafzaini Nik Hassan berkata, Pusat Perhubungan Alumni dan UPM menyokong penuh hasrat murni yang dilakukan ini dalam usaha membawa alumni kembali kepada alma mater.

“Mereka ini datangnya daripada pelbagai zaman dan latar. Pelbagai kisah dan nostalgia berjaya dikisahkan semula dan seterusnya mendatangkan rasa kecintaan yang mendalam kepada universiti.

“Apa yang lebih penting, melalui fanpage ini juga data-data alumni dapat dikemaskini dan segala tatacara posting dan sebagainya dikawal selia oleh Pusat Perhubungan Alumni demi menjaga sensitiviti UPM dan warganya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Admin fanpage UPM DULU-DULU, diselenggara alumni institusi berkenaan iaitu Shahrudin Mahadi, Zulkifli Ahmad dan Mohd Razman Faizal Sulaiman. Hingga kini ia berjaya mengumpul lebih 7,000 alumni sejak mula diselenggara 1 Jun lalu. Laman itu bertujuan menyemarakkan rasa kebersamaan alumni dan alma mater.

Dunia tanpa sempadan disatukan menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekaligus membuka ruang untuk terus berhubung.

Salah seorang alumni, Ghazali Salamat (Alumni Kelas 1970) dari Kolej Pertanian Malaya, menggamit kenangan berendam dalam lumpur sewaktu minggu orientasi.

“Para junior dipaksa masuk ke dalam lumpur dengan berseluar pendek. Kisah itu kini menjadi memori sangat berharga buat mereka. Selepas orientasi hubungan senior dan junior menjadi semakin rapat dan saling membantu, baik dalam pelajaran mahupun kehidupan kolej zaman itu.

“Apa yang cuba disampaikan betapa berbezanya idealogi zaman itu dengan zaman sekarang yang lebih mementingkan konten untuk diviralkan berbanding mengumpul memori untuk dikenang zaman akan datang,” memetik laluan memori dalam fanpage berkenaan.

Pengalaman melalui Pemberontakan 13 Mei 1969 turut dikongsi alumni. Waktu itu sesi pembelajaran terpaksa dihentikan seketika akibat pemberontakan itu dan bersambung setahun kemudiannya.

Setiap paparan menyaksikan pelbagai getir dilalui demi segulung sijil. Ia memberi sinonim kepada pelajar tergendala pengajiannya akibat Covid-19. Sudah pasti ia akan terakam sebagai lipatan sejarah pada masa akan datang sebagai tatapan generasi akan datang.

Kawah Suria

Facebook UPM DULU-DULU turut menyebut setiap pelajar UPM pasti mengetahui kisah Kawah Suria yang boleh dikatakan urban legend.

Setiap pelajar UPM pasti mengetahui kisah ‘kawah suria’ yang boleh dikatakan urban legend.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud berkata, pelbagai dogengan dibawakan oleh senior kepada junior mengenai jawapan sebuah kawah yang terletak dalam kampus UPM ini. Hanya pada 2021 inilah baharu ramai yang tahu, apa yang dimaksudkan dengan kawah suria.

“Jika ada bekas mahasiswa daripada UPM namun tidak pernah sampai ke sini, anda belum habis teroka kampus Serdang yang berkeluasan hampir 8.8 hektar ini.

DR. ARBA’IE SUJUD

“Ada kalangan alumni berkongsi pernah mencatatkan nama di atas tower kawah ini sebagai tanda mereka pernah sampai disitu.

“Jika dikenang kembali sungguh nostalgik. Itulah zaman kampus dan tiada mungkin pengalaman itu dapat ditempat lain.

“Pasti ramai bekas mahasiswa yang mahu mengetahui apa sebenarnya kawah suria ini, untuk mengetahuinya anda dijemput untuk daftarkan diri di Facebook UPM DULU-DULU,” katanya memetik status di fanpage berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN