Suzana cekal bangunkan semula Ziq Bakery - Utusan Malaysia

Suzana cekal bangunkan semula Ziq Bakery

Suzana Salleh bersama roti dan kek yang dihasilkan di kedainya, Bakery & Cafe, Kuala Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH berdepan ujian berat dalam perniagaan apabila lima cawangan kedai roti dan keknya ‘bungkus’ sekelip mata di samping hutang lebih RM1 juta. Namun ia bukan halangan untuk Suzana Salleh, 47, bangkit dan mengukuhkan kembali jenama Ziq Bakery.

Situasi getir yang dilalui pada 2018 ketika perniagaannya kukuh di kemuncak itu membuatkan Suzana tidak menoleh ke belakang. Sebaliknya terus fokus dalam misi membangunkan semula empayarnya.

Kini ibu kepada enam anak itu boleh menarik nafas lega. Dua cawangan iaitu di Gong Badak, Kuala Nerus dan Gong Kapas di Kuala Terengganu bukan sahaja beroperasi dengan baik malah turut dinaik taraf sebagai kafe premium menerusi Ziq Deli & Cafe.

Strategi Suzana berbaloi apabila kedua-dua kafe premium pertama di Terengganu itu mendapat sambutan menggalakkan hingga menjadi tumpuan ramai termasuk dalam kalangan kenamaan.

Suzana berkata, penglibatannya dalam perniagaan bakeri bermula pada 2000 menerusi jualan biskut secara kecil-kecilan di rumah sebelum mengembangkan bakatnya dengan membuat kek dan roti.

Katanya, minat mendalam mendorongnya mengikuti program Diploma Sains Pembuatan Kek di samping berguru dengan pakar di Jakarta, Indonesia dan Australia.

“Sebelum pembukaan kafe pada 2019, saya berhabis hampir RM100,000 semata-mata untuk mempelajari kursus pembuatan kek roti dan pastri daripada cef terkenal di United Kingdom (UK), Ukraine, Jerman, Rusia, Itali, Jepun dan Korea Selatan selama setahun.

“Kelahiran Ziq Deli & Cafe membolehkan jenama perniagaan saya lebih eksklusif, namun masih mengekalkan harga mampu milik kepada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Suzana Salleh (baju hitam) melayan pelanggan di kedainya, Ziq Bakery & Cafe, Kuala Terengganu.

Menurut Suzana, kafe premiumnya itu menawarkan pelbagai makanan tempatan dan barat di samping minuman dengan cita rasa bertaraf hotel.

Anak jati Batu Pahat, Johor itu berkata, selain dua kafe, dia juga mempunyai sebuah kilang di Chendering.

Katanya, ketika ini Ziq Bakery & Cake Sdn. Bhd. mempunyai 65 kakitangan tetap di samping 14 pelajar universiti yang menjalani latihan industri.

Dalam pada itu, menurut Suzana, kesibukan tugas tidak menghalangnya menjadi pengajar dalam program anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) setiap minggu.

Covid-19: Jualan merosot 80 peratus

Sebagaimana kebanyakan peniaga lain, Suzana turut terkena tempias Covid-19 hingga jualannya merosot lebih 80 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan mempelbagaikan produk jualan termasuk memperbanyakkan kek, roti dan pastri pada harga mampu milik di samping menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah bagi memudahkan urusan pelanggan.

Suzana berkata, walaupun pada awalnya merancang menutup operasi perniagaan sepanjang PKP 3.0 namun hasrat itu diubah demi memastikan 79 anak buahnya tidak kehilangan sumber pendapatan secara tiba-tiba.

“Bukan tugas mudah untuk menjaga kebajikan pekerja dan saya tidak mahu mensia-siakan kemahiran mereka yang setia jatuh bangun bersama Ziq Bakery & Cake.

“Kita mengamalkan sistem penggiliran pekerja dan setiap kek serta roti dihasilkan di outlet masing-masing dengan kesemuanya laris setiap hari,” katanya.

Suzana Salleh sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pekerjanya.

Suzana berkata, sepanjang tempoh PKP ini, tumpuan lebih kepada roti kerana sambutan tinggi berbanding kek yang hanya menjadi pilihan ketika acara atau majlis.

“Identiti kami adalah menggunakan tepung dan mentega import premium, jadi roti yang dihasilkan bukan sahaja enak dan beraroma tetapi boleh membuatkan pelanggan ketagih.

“Kesegaran kek dan roti sentiasa menjadi keutamaan kerana kami amat mementingkan kualiti serta kepuasan pelanggan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN