
ISU statutory declaration (SD) atau akuan bersumpah muncul lagi.
Terbaharu sehari dua ini membabitkan dakwaan isu sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dibangkitkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Kata Nazri, terdapat SD ditandatangani 25 ahli Parlimen UMNO menyokong Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai jurucakap parti jika selepas ini wakil UMNO dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Ini disebabkan dakwa Nazri, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ‘sudah hilang kepercayaan parti.’
Dalam hal ini, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut mengesahkan kepada wartawan Utusan Malaysia, Aslinda Nasir bahawa beliau antara 25 orang itu yang menyokong SD dikumpulkan Nazri.
Salah satu agenda SD berkenaan, dakwa Zahidi lagi, supaya parti menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diberikan kepada pemimpin UMNO.
Ini sekali gus, katanya, akan memudahkan parti menerusi portfolio itu menyalurkan bajet peruntukan kepada cawangan dan bahagian parti itu di seluruh negara. Semudah itu ‘bacaan’ Zahidi?
SD yang dibangkitkan oleh Shahidan pula didakwa telah ditandatangani oleh 13 ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga terbubar Parlimen.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dipengerusikan Zahid memberi tempoh setakat 1 Ogos ini sahaja – yang merupakan tempoh akhir Proklamasi Darurat – untuk UMNO memberi sokongan kepada PN.
ANWAR PUNCA KEMELUT UMNO?
Difahamkan, kemunculan dua SD tersebut berkait rapat dengan isu sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia pada peringkat awal berpunca daripada isu jawatan TPM yang khabarnya ‘dituntut pelantikan harus mengikut hierarki.’ Tetapi tidak dilayan. Ini menyebabkan sokongan beralih arah menyokong Anwar.
Sokongan kepada Anwar muncul diperbualkan kali pertama Oktober tahun lalu bila tersebar isi kandungan surat Zahid dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan sokongan kepada ketua pembangkang itu.
Surat bertarikh 11 Oktober itu yang dikatakan ditandatangani Zahid bersama Najib dihantar menjelang panggilan menghadap Anwar ke Istana Negara pada 13 Oktober – di mana Presiden PKR itu perlu membuktikan dakwaannya mempunyai SD sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan pada 17 Oktober menafikan Pejabat Presiden parti itu mengeluarkan surat berkenaan.
Isu sokongan Anwar itu lantas dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) tahun ini.
Zahid dalam ucapan dasar PAU 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 28 Mac itu menegaskan… “No Bersatu, no Anwar, no DAP.”
Bagaimanapun, beberapa hari selepas PAU, tersebar satu rakaman audio perbualan antara dua individu yang didakwa mirip suara Anwar dan Zahid. Melalui audio berdurasi 4 minit 17 saat itu, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Zahid dalam PAU menerusi panggilan telefon.
Namun, Zahid dan Anwar pada 7 April menyangkal terlibat dalam audio berkenaan. Kepada Zahid, ia “satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.”
Anwar pula dalam jawapan balasnya: “Terdapat usaha untuk memfitnah saya dengan kaedah yang lebih canggih dan untuk politik (parti) Bersatu menikam pimpinan UMNO”.
PERISTIWA SD BERSEJARAH
SD tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi SD tertakluk kepada penelitian Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pengesahan kerana dibimbangi seorang ahli Parlimen menandatangani lebih daripada satu SD.
Cumanya, dalam perihal menghantar surat kepada Istana atau Agong, andai dilakukan untuk beroleh kuasa, diakui tidak ada undang-undang menghalang. Ia tradisi kerukunan dan budi bahasa.
Jika surat itu diletakkan di bawah Artikel 43, apa yang diperlukan oleh Agong adalah dalam konteks SD. Dan SD adalah sekadar pengakuan sah (yang benar) seseorang individu tentang sesuatu isu. SD diberi kepada Agong bila isu penentuan Perdana Menteri boleh dikemukakan.
Salah satu peristiwa SD yang menarik ramai pemerhati dan merupakan peristiwa bersejarah membabitkan peralihan kepimpinan kerajaan berlaku pada Februari 2020.
Didedahkan Tan Sri Dr. Rais Yatim kepada Mingguan Malaysia 26 Jun lalu, yang kemudian dipetik media serta portal tempatan dan antarabangsa, kata bekas menteri itu:
“Pada 28 Februari lalu (2020), Dr. Mahathir (Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad) memberitahu saya, beliau hanya mendapat 66 perakuan SD daripada ahli-ahli Parlimen.
“…fakta yang dipersembahkan kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Kalau dengan keadaan itu, katanya (Dr. Mahathir), biarlah Tan Sri Muhyiddin terus jadi Perdana Menteri.
“Selesai… saya (Rais) keluar bilik itu dan kemudian menyampaikannya kepada Muhyiddin melalui emissary (wakil) yang terdekat.
“Malang, keesokannya juga Dr. Mahathir dilaporkan hendak semula jawatan Perdana Menteri.”
Cuma jika ada kisah ‘golongan surat lama ini’, bukannya SD, barulah punca kecelaruan timbul. Tidak pernah lagi kita dengar Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng tulis surat kepada Raja-raja Melayu. Kelak ini memberi kesan buruk yang timbul terdayung. Nanti Seri Paduka pula dianggap cenderung kepada blok politik tertentu.
Dan apa lagi ketika waktu pandemik Covid-19 hari ini, bukanlah tugas diraja untuk melihat SD ahli Parlimen masing-masing. Ini bukan masanya.
Sebab itu ada pihak yang memohon kepada ‘sesiapa yang tak sabar ini’ menggunakan modul atau pendekatan demokratik yang ada pada Parlimen. Ia paling sesuai disebabkan nas besar menentukan kepercayaan atau tidak terhadap sesuatu kerajaan khususnya Perdana Menteri adalah di lantai Parlimen.









