Kekal positif dan bersyukurlah. Ramai orang kena buang kerja dan tidak ada pekerjaan sekarang ini.
Kata-kata ini sering diungkapkan majikan kepada pekerja bagi membangkitkan semangat dan produktiviti.
Namun Pakar Psikologi Klinikal, Asst. Prof. Dr. Pamilia Lourdunathan, berkata ia kurang sesuai buat masa sekarang, dalam hampir semua orang mengalami kesukaran akibat pelbagai perintah kawalan ketika ini.
“Kata-kata itu sebagai contoh bentuk positiviti toksik bagi menutup perbincangan mengenai keadaan emosi. Apa yang dikhuatiri, ia mendorong emosi negatif menjadi lebih serius yang jika dibiarkan, mungkin akan mengakibatkan masalah kesihatan mental.
“Memberikan tumpuan pada sudut positif sahaja, boleh mengabaikan emosi individu kerana ia hanya akan mengaburkan punca sebenar masalah kegelisahan, kemurungan, kesedihan dialami pekerja,” katanya.
Pamilia mencadangkan, corak dan nada perbualan majikan perlu diubah daripada kata-kata seperti, ‘semuanya akan baik-baik nanti’ atau ‘anda perlu positif dan terus maju ke hadapan’ kepada ‘tidak mengapa perasaan tidak okay’ dan ‘mari kita cari penyelesaian sama-sama’.
“Amalan begini membolehkan kita fokus kepada perasaan dalaman dan seterusnya dengan kasih sayang dapat membawa perubahan positif antara majikan dan pekerja,” katanya.
Pamilia yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) berkata, ada teknik dalam cara pengurusan dan komunikasi bagi membolehkan seseorang itu lebih berhati-hati dan peka dengan gaya pertuturan mereka.
“Ramai orang beranggapan individu harus sentiasa bermotivasi tinggi dan kekal optimis. Tetapi pendekatan ini tidak sesuai bagi mereka yang sedang mengalami tekanan emosi , mental dan kelesuan dalam tempoh mencabar ini.
“Meminta mereka melihat dari sudut positif mungkin tidak dapat membantu malahan boleh membahayakan lagi individu tersebut dari aspek psikologi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan, adalah lebih baik jika keperitan seseorang itu diperakui dan mereka diberikan ruang untuk mendalami dan mengekspresikan apa yang mereka lalui tanpa halangan.
“Keseimbangan antara memperakui keperitan yang dialami dan memberi ruang untuk bersyukur dapat membentuk respon emosi yang tulen. Kesyukuran yang tulen adalah lebih sihat dan ia mampu mengalihkan ubah corak pemikiran seseorang ke arah positif,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Signature Market, Edwin Wang berpendapat, selalu bersyukur adalah kunci emosi akan menjadi lebih stabil sekaligus dapat membuat keputusan yang lebih tepat.
Jelasnya, corak pemikiran seorang pemimpin atau ketua adalah sangat penting. Berdasarkan pemerhatian beliau, terdapat segelintir pekerja yang kurang keyakinan dan kepercayaan diri dan ia boleh mempengaruhi prestasi dan reputasi mereka.
“Semua pekerja sebenarnya mahu melakukan pekerjaan dengan baik namun tanpa disedari, mereka mempunyai fikiran negatif.
“Sesi pertemuan sebulan sekali bersama pekerja boleh membantu memperkukuhkan hubungan antara majikan dengan pekerja. Apabila pekerja berasa dihargai, mereka akan bangga dengan kemampuan diri sendiri,” katanya.










