Tokoh al-Quran yang alim dalam bidang qiraat ini mengajar al-Quran hampir 50 tahun. Ramai yang datang bertalaqqi riwayat al-Quran dari seluruh pelosok tanah arab. Ia termasuk beberapa tokoh iaitu Sheikh Dr. Isa al-Ma’sarawi dan Sheikh Ahmad Khalil Syahin yang mempunyai banyak rakaman bacaan al-Quran dengan suaranya yang unik.
Istimewa umat Islam adalah kerana semua tarikhnya dibukukan. Tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan sumbangan kepada Islam dan sejarah dicatat dalam kitab-kitab sejarah. Para ulama dan imam adalah yang lahir setiap zaman adalah hasil dakwah Nabi Muhammad SAW.
Penuntut ilmu perlu tahu sumbangan para ulama terdahulu di saat telah banyak perkara baik dan ilmu yang ada pada mereka telah hilang dan terhapus. Pada zaman ini banyak ujian dan cabaran dihadapi oleh umat Islam dan lebih malang semangat umat Islam semakin luntur dan lemah akibat terlalu sibuk dengan keduniaan.
Mereka seakan-akan lupa bahawa ketinggian dan kemuliaan dunia dan akhirat ialah ilmu yang bermanfaat dan amalan soleh.
Biografi
Muhammad Abdul Hamid Ibn Abdillah Khalil dilahirkan pada 1926 di daerah Buhairah, Mesir. Selepas 40 hari kelahirannya, bondanya meninggal dunia. Beliau dijaga oleh ayahandanya dan bapa saudaranya. Semasa berusia dua tahun beliau diuji lagi dengan kedua matanya cacat penglihatan.
Ayah dan bapa saudaranya memberi didikan terbaik walaupun banyak cabaran dan halangan. Menghantarnya ke kelas mengaji semasa usianya lima tahun. Beliau menghafaz al-Quran dalam usia 10 tahun. Semasa usianya 13 tahun, beliau ke Iskandariah dan menetap di sana bersama kenalannya.
Semasa berusia 18 tahun, Sheikh Muhammad Abdul Hamid ditemuduga untuk bekerja di Awqaf. Panel temuduga ketika itu antaranya ialah Sheikh Qurra Mesir, Sheikh Ali Dabba’ dan Sheikh Muhammad al-Khaliji wakil pejabat Maqari Iskandariah.
Soalannya adalah kalimah dalam ayat 30 surah Fussilat ditulis dengan mausulah (bersambung) atau maqtu’ah (terputus)?
Beliau menjawab maqtu’ah. Jawapannya salah. Lajnah temuduga memberi masa untuknya menambah ilmu dan memperelok bacaan al-Quran dan bertanya berapa lama tempoh yang kamu boleh lakukan? Beliau menjawab: “dua bulan”.
Jawapan dua bulan untuk mahir dalam ilmu al-Quran sebenarnya tidak logik pada akal kerana ilmu tajwid memerlukan tempoh yang lama untuk dikuasai. Perlu kepada latih tubi dan ujian yang banyak untuk dapatkan kemahiran tajwid.
Ketika itu guru al-Quran yang masyhur di Iskandariah ialah seorang wanita OKU penglihatan iaitu Syeikhah Nafisah binti Abi al-‘Ala Ibn Ahmad.
Beliau menghafaz matn tajwid seperti Tuhfat al-Atfal, Muqaddimah Jazariyyah dan juga matn berkaitan Qiraat Asyarah Sughra dan Kubra. Beliau mewakafkan hidupnya dengan mengajar al-Quran kepada sesiapa yang datang bertalaqqi di rumahnya sehingga meninggal dunia pada 1954 dalam usia 80 tahun.
Pengajian
Sheikh Abdul Hamid pergi menemui Syeikhah Nafisah dan menceritakan perihal temuduganya dan ingin mendalami ilmu al-Quran dalam tempoh dua bulan.
Jawapan Syeikhah Nafisah penuh dengan hikmah iaitu: “Tidak pernah yang datang kepada ku menyatakan hendak perbaiki bacaan dalam tempoh dua bulan atau tiga bulan tetapi sedarlah kamu bahawa jika penuntut ilmu itu adalah seorang yang bersungguh, cerdik dan bercirikan hati seorang penuntut maka ilmu akan ditumpah kepadanya dengan syarat bukan pemalas dan tidak bersikap sambil lewa”.
Perjanjian dipersetujui bersama antara murid dengan gurunya. Syeikhah Nafisah memuliakan Sheikh Abdul Hamid dengan sebaiknya.
Pada mulanya, Sheikh Abdul Hamid khatam lima kali di hadapan Syeikhah Nafisah. Selain itu, beliau juga talaqqi kitab Tuhfat Atfal, Muqaddimah Jazariyyah dan lain-lain.
Sempurna talaqqi Riwayat Hafs, beliau bertalaqqi pula Matn Syatibiyyah untuk Qiraat Tujuh. Beliau membaca setiap rawi sehingga khatam. Membaca Riwayat Qalun diikuti Riwayat Warsy, Ibn Kathir, al-Duri dan al-Susi. Keseluruhan semua riwayat dan qari untuk qiraat tujuh, Sheikh Abdul Hamid khatam 11 kali dan beliau dianugerahkan sanad Qiraat Tujuh Toriq Syatibiyyah.
Pengajiannya diteruskan dengan bertalaqqi matn Durrah untuk tiga Qiraat dan Matn Toyyibah untuk 10 Qiraat. Keseluruhan khatam di hadapan Syeikhah Nafisah daripada mula dengan Riwayat Hafs sahaja diikuti Qiraat Tujuh dengan Matn Syatibiyyah, Qiraat Tiga dengan Matn Durrah dan terakhir Qiraat 10 Kubra dengan Matn Toyyibah adalah 18 kali khatam.
Pada tahun 1954, Syeikhah Nafisah meninggal dunia. Peristiwa itu amat memberi kesan kepada Sheikh Abdul Hamid yang menghadap gurunya setiap hari selama 10 tahun. Tambahan pula dengan guru inilah beliau khatam al-Quran dengan semua riwayatnya sebanyak 18 kali.
Sifat menambah ilmu dan mendalaminya amat kuat dalam jiwa Sheikh Abdul Hamid. Beliau meneruskan pengajian qiraat dengan Sheikh Qurra Iskandariah ketika itu iaitu Sheikh Muhammad al-Khaliji.
Sheikh Khaliji banyak menghasilkan karya dalam ilmu tajwid dengan kemahiran menyusun matn dalam bentuk syair. Setahun talaqqi dengan beliau, Sheikh Abdul Hamid khatam 10 Qiraat Kubra dan dianugerahkan ijazah sanad.

Pada 1955, radio Iskandariah diwujudkan. Satu pemilihan untuk menjadi qari di radio diadakan. Seramai 48 qari hadir temuduga dan yang layak dipilih untuk pusingan pertama adalah 12 orang.
Dalam pemilihan kedua enam orang dipilih dan Sheikh Abdul Hamid mendapat tempat pertama. Bermulalah kerjayanya sebagai pembaca al-Quran di radio Iskandariah.
Pada 1962, Kementerian Awqaf Mesir mengadakan satu musabaqah peringkat negara Mesir untuk memilih seorang qari bagi tujuan rakaman 30 juzuk Riwayat Warsy dari Imam Nafei.
Hakim bagi musabaqah tersebut ialah tokoh al-Quran iaitu Sheikh Amir Uthman, Sheikh Khalil al-Husari dan Dr. Madhi. Seramai enam peserta berjaya dan johan disandang oleh Sheikh Abdul Hamid.
Sumbangan Sheikh Abdul Hamid dalam perkembangan bacaan al-Quran dan qiraat terbukti dengan beliau diberi banyak anugerah antaranya pada 1432 hijrah mendapat anugerah al-Malik Abdullah Ibn Abdul Aziz, Arab Saudi dalam muktamar antarabangsa sebagai sheikh paling lama berkhidmat untuk al-Quran.
Pada 5 Oktober 2013, sebelum solat Isyak, beliau meninggal dunia. Sejarah hidup Sheikh Muhammad Abdul Hamid dibukukan oleh seorang muridnya iaitu Sheikh Hisyam Abdul Bari Muhammad Rajih dengan tajuk al-Wafa bi al-Jamil Fi Turjumat Syeikh Qurra Iskandariah Muhammad Abdul Hamid Abdullah Khalil.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










