Saringan awal boleh menggandakan kadar kelangsungan hidup penghidap kanser paru-paru selama lima tahun.
Dalam usaha pengesanan awal kanser paru-paru jalinan kerjasama dibangunkan antara syarikat biofarmaseutikal AstraZeneca dengan Jaringan Kanser Paru-paru Malaysia (LCNM) serta Qure.AI dalam menyediakan penyelesaian X-Ray kecerdasan buatan (AI) di klinik rawatan asas di seluruh negara.
Kerjasama yang turut membabitkan Qualitas Medical Group,itu dimeterai baru-baru ini. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim turut diundang sebagai penyampai ucaptama secara maya.
Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal, berkata pembangunan teknologi AI itu meningkatkan peluang sekaligus diharap dapat menyembuhkan kanser.
“Inovasi ini penting dalam meningkatkan keupayaan sistem penjagaan kesihatan. Kami berharap ia berupaya menambah bilangan rujukan dan mempercepatkan diagnosis pesakit yang berkemungkinan menghidapi kanser paru-paru. Pada akhirnya mengurangkan kadar kematian akibat kanser paru-paru di negara ini,” katanya. Usaha sama ini bakal menyaksikan setiap rakan kerjasama memainkan peranan dalam saringan, diagnosis, rujukan dan rawatan.
Dalam kerjasama itu, AstraZeneca membekalkan dan membiayai pemasangan perisian AI Qure.AI di 10 klinik rawatan asas di bawah Qualitas Medical Group.
LCNM pula memilih klinik yang sesuai yang akan bertindak sebagai titik hubungan bagi pesakit yang berkemungkinan menghidap kanser paru-paru.
Pesakit seterusnya akan dinilai dan disyorkan untuk menjalankan analisis atas cadangan doktor penjagaan utama dari Qualitas Medical Group.
Pesakit akan disaring dengan x-ray dada biasa. X-ray ini kemudiannya akan dinilai dan ditafsirkan menggunakan perisian AI Qure.ai yang akan menyediakan laporan komprehensif.
Pesakit berisiko tinggi atau yang disyaki menghidapi kanser paru-paru akan dirujuk kepada pakar paru-paru di hospital untuk menjalani ujian diagnostik yang lebih tepat menggunakan tomografi berkomputer dos rendah (LDCT) atau menjalani rawatan lanjut.
Antara hospital terbabit dalam menyokong program berkenaan ialah Hospital Serdang, Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Perubatan Subang Jaya.
Sementara itu, Presiden LCNM, Dr Anand Sachithanandan, menjelaskan rawatan dan prognosis kanser paru-paru amat bergantung kepada tahap diagnosis pesakit.
“Sebab itu pengesanan awal dan tepat itu amat mustahak. Menerusi penggunaan teknologi ini, kami berharap dapat mempercepatkan diagnosis sekali gus pesakit akan dirujuk segera kepada doktor pakar,” katanya.
Menyasarkan saringan sebanyak 25,000 orang, hingga kini program itu sudah menyaring lebih daripada 200 orang pesakit.










