Francisca kekal optimis, tewas bukan bererti gagal - Utusan Malaysia

Francisca kekal optimis, tewas bukan bererti gagal

Francisca sentiasa positif dan tidak mahu berputus asa walaupun gagal menempatkan diri ke peringkat separuh akhir pertandingan berprestige itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Miss Universe Malaysia 2020 (MUM), Francisca Luhong James, tidak akan patah semangat.

Sebaliknya gadis berusia 25 tahun itu menyifatkan kegagalan melangkah ke pusingan separuh akhir pada pertandingan Miss Universe 2021 di Florida, Amerika Syarikat, 17 Mei lalu sebagai suatu dorongan untuk maju di masa depan.

“Walaupun tidak berjaya melangkah ke peringkat seterusnya, pengalaman bertanding di Florida ini akan saya jadikan batu loncatan untuk kejayaan saya pada masa hadapan.

“Tiada istilah putus asa dalam hidup saya sebaliknya kita mesti mencuba yang terbaik dan jangan sekali-kali mengalah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Pertandingan ratu dunia itu menyaksikan peserta dari Mexico, Andrea Meza dinobatkan Miss Universe ke-69 selepas mengatasi 73 peserta lain.

Francisca hanya berjaya melepasi pusingan awal dengan menampilkan kostum Kampungku pada segmen Kostum Kebangsaan pertandingan itu.

Beliau bagaimanapun dilihat tetap memberi persembahan cemerlang pada pusingan penentuan ke separuh akhir dengan memperagakan pakaian renang dan gaun malam dalam dua segmen untuk dinilai juri.
Sungguhpun berdepan persaingan hebat dari pelbagai negara terutama Venezuela, Filipina, Columbia dan Thailand.

Ramai tahu wanita kelahiran, Kuching, Sarawak ini sudah berusaha sehabis baik, biarpun tewas ke peringkat seterusnya.

Lipatan sejarah tetap tertulis. Francisca mencipta sejarah sebagai gadis berketurunan Dayak pertama di mahkota sebagai Miss Universe Malaysia.

Perancangan
Tewas tidak bererti gagal. Mengenai perancangan seterusnya, Francisca yang masih berkhidmat dengan syarikat perhubungan awam dan pemasaran di Kuala Lumpur, memberitahu dia ingin membuka syarikat perhubungan awam sendiri selain memiliki rancangan travelog yang dapat membantu mempromosikan keunikan negara.

“Menerusi gelaran MUM 2020 yang saya terima, saya ingin memberi balik kepada masyarakat dan negara. Saya ingin membantu mempopularkan tradisi-tradisi unik di negara ini.

“Saya juga mungkin akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim atau orang Asli,” ujarnya.

Tidak sekadar mempertaruhkan kecantikan, Francisca turut melibatkan diri dalam aktiviti bersama pasukan Organisasi Ratu Cantik Universe Malaysia bagi menjayakan program sokongan (advocacy) Women Rise atau Kebangkitan Wanita.

Salah satu projek sosial diusahakan Francisca adalah membantu wanita dari pelbagai latar belakang untuk berdaya maju.

Projek dimulakan sekitar awal tahun ini menyasarkan wanita di Sabah dan Sarawak.

“Maklumlah di sana ramai wanita masih bergelut mencari peluang di luar. Kami sudah mengatur satu acara bersama sebuah kementerian untuk tujuan itu. Bagaimanapun, hajat belum kesampaian selepas dunia dilanda pandemik Covid-19,” ulasnya.

Gemar makan ulam raja dan ubi
Mencungkil rahsia kecantikannya, Francisca berkata, selain bersenam secara konsisten, beliau juga memenuhi diet harian dengan banyak makan ulam dan buah-buahan seperti ulam raja dan ubi serta epal, betik dan tembikai.

“Sebelum berlepas Florida, saya cuba menaikkan sedikit berat badan kerana saya kita kalau pakai gaun lebih menawan, tetapi agak sukar. Mungkin kerana memiliki metabolisme badan tinggi,” katanya.

Bersihkan wajah sebelum tidur
Kunci kecantikan kulit ialah tidur dengan wajah yang bersih. Kata Francisca, sesibuk mana sekalipun seseorang wanita itu, perkara paling mustahak ialah membersihkan wajah dan sisa solekan sebelum tidur.

“Saya sangat berhati-hati dengan produk kecantikan. Jika mendapat hadiah produk sekalipun, saya tidak akan terus menggunakan produk tersebut sebaliknya menguji pada tangan dalam masa 24 jam. Kalau produk itu tidak merengsakan kulit, saya akan menggunakannya.

“Saya selalu menggunakan scrub kerana ia bagus untuk merawat kulit wajah. Selain itu, saya tidak lupa menggunakan asas produk penjagaan kulit muka seperti pencuci, penyegar, pelembap dan krim pelindung cahaya matahari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×