Bomba 'frontliner' sanitasi awam - Utusan Malaysia

Bomba ‘frontliner’ sanitasi awam

ANGGOTA bomba Seremban melakukan sanitasi sekurang-kurangnya tiga premis setiap hari bagi membendung wabak Covid-19. UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mencegah penularan jangkitan Covid-19, anggota bomba merupakan barisan hadapan atau ‘frontliner’ yang sanggup mengambil risiko melakukan proses sanitasi dan nyah kuman di premis dan bangunan awam bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan turut sama turun padang melakukan proses sanitasi di seluruh negeri melibatkan bangunan kerajaan dan tempat awam termasuk Penjara Seremban.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban yang juga Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Negeri Sembilan, Mohammad Idris berkata, proses sanitasi ini dilakukan secara berterusan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 3.0 berdasarkan permohonan dan arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Bagi proses sanitasi sepanjang PKP 3.0, sanitasi dibuat berdasarkan permohonan daripada premis yang mana jika ada kes positif Covid-19 tindakan dilakukan berdasarkan keperluan.

“Setiap hari ada sahaja bangunan yang mahu membuat sanitasi berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara khususnya di Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

MOHAMMAD IDRIS

Menurut Mohammad, dari segi keselamatan, pihak bomba akan memastikan setiap anggota memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) lengkap termasuk sarung tangan, sarung kaki dan penutup muka bagi kawasan berisiko tinggi.

“Pemakaian PPE ketika operasi disinfeksi juga berbeza dengan pakaian PPE sanitasi awam. Pihak bomba akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum turun padang melakukan sanitasi.

“Disinfeksi, tahap pakaian PPE perlu tinggi, kandungan bahan kimia digunakan juga lebih tinggi malah peralatan PPE juga lebih lengkap dan berbeza dengan pakaian PPE sanitasi awam yang nipis serta penggunaan bahan kimia dengan kekuatan sederhana,” katanya.

Dari segi bahan kimia yang digunakan, beliau berkata, bagi proses sanitasi di bahagian luar bangunan bahan kimia yang biasa digunakan adalah jenis Sodium Hipoklorit.

“Bahan kimia Sodium Hipoklorit ini menggunakan bancuhan nisbah satu liter bahan nisbah dengan 10 liter air.

“Nisbah campuran ini juga berpandukan daripada maklumat dan nasihat daripada Jabatan Kimia,” katanya.

Sanitasi tiga premis sehari

Mohammad memberitahu sepanjang PKP 3.0 sekurang-kurangnya tiga buah premis akan disanitasi setiap hari dengan kekuatan anggota bergantung kepada keluasan bangunan.

Difahamkan, bagi kerja-kerja nyah cemar dan disinfeksi di Penjara Seremban misalnya ia melibatkan kekuatan 30 pegawai dan anggota termasuk dari Hazmat.

Ia mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk proses sanitasi keseluruhan di tiga blok sel penjara, dua blok bengkel sebuah surau dan pusat pentadbiran dengan keluasan sanitasi 10,200 meter persegi.

Walaupun berdepan dengan risiko tinggi dijangkiti Covid-19 ketika bertugas, Mohammad berkara, perkara itu tidak mematahkan semangat beliau dan anggota bomba lain memandangkan aspek keselamatan sangat dititikberatkan.

“Kami sebagai antara barisan hadapan yang turun padang melakukan sanitasi dan bekerja seperti biasa tetap positif kerana ini merupakan tanggungjawab kami dan pengorbanan demi memastikan rangkaian Covid-19 dapat diputuskan.

“Menjadi hasrat seluruh warga bomba untuk melihat pandemik Covid-19 ini terhapus dan seluruh masyarakat dapat menjalankan aktiviti seharian seperti biasa (sebelum Covid-19),” katanya.

Jelas beliau, dalam keadaan sekarang pihak bomba banyak melakukan kerja-kerja sanitasi di premis dan bangunan, namun kerja hakiki anggota bomba iaitu melakukan pemadaman kebakaran dan terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa kemalangan tetap diteruskan.

“Setiap kali turun melakukan operasi penyelamatan termasuk kemalangan, kebakaran dan lain-lain, anggota bomba akan memakai pakaian PPE lengkap memandangkan kita tidak tahu sama ada mangsa mempunyai Covid-19 atau tidak,” katanya.

 

ANGGOTA bomba dan penyelamat memohon doa agar dipermudahkan tugas-tugas sanitasi di Penjara Seremban, baru-baru ini.

Lancar sanitasi besar-besaran

Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali berkata, pihaknya akan menggerakkan program sanitasi besar-besaran di setiap lokasi tumpuan awam di seluruh negeri sebagai langkah membendung penularan wabak pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, terbaharu program kali ini dibuat tanpa memerlukan permohonan daripada mana-mana pihak dengan membabitkan kerjasama 18 Balai Bomba dan Penyelamat dari seluruh negeri.

“Jika sebelum ini kita berpandukan kepada permohonan yang diterima daripada pelbagai agensi, tetapi kali ini sanitasi dibuat di tempat tumpuan awam tanpa perlu mengemukakan permohonan.

“Usaha ini dilakukan sebagai inisiatif dalam membendung penularan Covid-19 yang menunjukkan peningkatan jangkitan sejak kebelakangan ini.

Menurut Hamdan, bermula awal PKP pada 18 Mac sehingga 28 Mei lalu, JBPM Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 2,027 premis awam di Negeri Sembilan telah disanitasi oleh pihak bomba melibatkan kawasan berisiko Covid-19.

“Operasi sanitasi itu melibatkan 675 bangunan kerajaan, premis perniagaan (616), tempat ibadat (228), kawasan perumahan (224), pasar awam (50) dan stesen pengangkutan awam (46),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 200 anggota akan terbabit dalam menjayakan program berkenaan membabitkan 36 buah kenderaan.

“JBPM Negeri Sembilan akan bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengadakan sanitasi di beberapa pusat kuarantin di negeri ini.

“Operasi sanitasi ini akan membabitkan tiga zon iaitu Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN