Boleh dikatakan setiap orang pernah merasai minuman yang dibungkus ikat tepi yang dibeli dari kedai, gerai-gerai minuman, dan sebagainya. Begitu juga makanan berkuah, seperti laksa, bihun sup, mee bandung yang dibeli di pasar-pasar malam atau kedai makanan.
Seolah-olah tiada pilihan lain dalam pembungkusan makanan atau minuman panas tersebut, kerana rata-ratanya menggunakan plastik. Tidak kurang hebatnya, malah ada yang sanggup membungkus minuman panas seperti teh tarik, kopi dan sebagainya sebagai jalan mudah untuk dibawa ke sana ke mari.
Sehinggakan, kini terdapat pelbagai jenis plastik pembungkus pelbagai corak berwarna-warni dijadikan sebagai pembungkus makanan dan minuman bagi menarik lebih ramai pelanggan membeli.
Tanpa kita sedari, sebenarnya penggunaan plastik sebagai pembungkus makanan atau minuman panas adalah satu kesilapan besar. Ia boleh mengganggu kesihatan dan merosakkan sistem tubuh badan. Tambahan pula, bahan kimia yang terkandung dalam plastik tersebut mempunyai sifat perencat/perosak sistem endokrin.
Antara bahan utama membuat plastik adalah sejenis bahan kimia yang dipanggil sebagai Bisphenol A.
Fungsi utama bahan kimia ini adalah menambahkan kekerasan pada struktur plastik agar tahan lebih lama, berkilat dan tidak pudar.
Selain itu, terdapat juga bahan kimia lain seperti phthalate dan polybrominated diphenyl ethers (PBDEs). Kedua-dua bahan ini berfungsi sebagai pelembut plastik dan menambahkan fungsi kalis air.
Dalam pada itu, terdapat juga bahan kimia lain yang dikenali sebagai derivatif BPA yang juga merupakan bahan utama dalam pembuatan produk-produk plastik sebagai menggantikan fungsi BPA.
Contohnya terdapat bahan kimia seperti Bisphenol S, Bisphenol F, dan Bisphenol AF dalam produk-produk plastik berstatus BPA Free, sebagai ganti kepada bahan kimia BPA tersebut.
Sesetengah negara seperti Perancis, United Kingdom dan Kanada telah mengambil langkah proaktif dengan tidak membenarkan pemain industri plastik menggunakan BPA dalam proses pembuatan produk-produk plastik seperti bekas makanan, botol susu dan sebagainya.

BPA MEMUDARATKAN
Ekoran itu mereka diminta menggantikan BPA dengan bahan kimia lain yang kononnya lebih selamat. Kebimbangan ini tercetus apabila mereka dapati banyak kajian ke atas BPA dan mendapati bahan kimia BPA ini boleh memudaratkan kesihatan.
Ia meningkatkan masalah kemandulan, mengganggu fungsi hormon pembiakan, mengganggu tumbesaran janin, menyebabkan keguguran, bersifat karsinogen dan boleh menyebabkan kanser.
Selain itu, kajian-kajian juga mendapati BPA boleh menurunkan fungsi libido, masalah disfungsi erektil, menurunkan paras dan fungsi normal sperma, meningkatkan masalah cysts, obesiti dan gangguan metabolisme lain.
Oleh kerana sifatnya yang mengandungi fungsi estrogen, maka BPA berupaya mengawal laluan normal metabolisme tubuh yang utama dan hal ini boleh menyebabkan gangguan pada sistem normal kawalan gula dan insulin dalam badan.
Walaubagaimanapun, kini tercetus kebimbangan lain apabila bahan kimia lain yang digunakan sebagai alternatif BPA memberikan kesan buruk yang sama seperti BPA. Malah lebih teruk daripada BPA.
Contohnya, bahan kimia BPS, BPF dan BPAF didapati mempunyai sifat dan fungsi bahan-bahan alternatif ini berupaya mengganggu proses tumbesaran dan mengganggu fungsi normal sistem badan.
Selain itu, ada laporan yang mendapati bahawa bahan-bahan kimia alternatif ini mampu mengganggu kitaran haid wanita, menyebabkan mati pucuk, mengganggu fungsi saraf dan menyebabkan masalah jantung.
BAHAYA BUNGKUS IKAT TEPI
Sebenarnya, bahaya bungkus ikat tepi ini datangnya daripada keadaan minuman atau makanan yang disediakan. Contohnya teh tarik panas, sup ataupun kuah laksa panas. Kelihatan seolah-olah tiada apa yang bahaya, malahan tampak menyelerakan.
Namun, sebenarnya bahan kimia BPA ini akan bermigrasi ke dalam minuman atau makanan panas tersebut akibat kesan pemanasan haba dari air panas yang digunakan dan akhirnya masuk ke dalam badan apabila diminum.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana pada suhu 70º Celsius sahaja BPA sudah boleh terbebas ke dalam makanan/minuman seterusnya mencemarinya.
Bukan hanya sekadar teh tarik, susu dan gula, mahupun kuah laksa sahaja yang diminum dan dihirup, tetapi terdapat bahan kimia tambahan iaitu BPA di dalamnya.
Secara mekanismenya, BPA apabila terkena haba melebihi 70ºC, molekul-molekulnya akan bergetar dan akan terlucut daripada rantaiannya, seterusnya terbebas atau bermigrasi ke dalam makanan atau minuman tersebut.
Haba ini akan mempercepatkan proses pergerakan tersebut tersebut (dari plastik ke dalam makanan/minuman). Selain itu, BPA ini juga boleh termigrasi ke dalam minuman apabila minuman berkenaan tidak disimpan dengan betul, contohnya botol-botol plastik atau air mineral yang dijemur di bawah terik cahaya matahari, akan mempercepatkan proses tersebut.
Dalam satu kajian di Amerika Syarikat, mereka mendapati sebanyak 93% daripada urin yang diambil daripada penduduk yang berumur dari 6 tahun ke atas, mengandungi bahan kimia BPA.
Dapatan kajian ini juga mendapati kandungan BPA dalam urin ini tinggi di kalangan wanita dan kanak-kanak. Punca utamanya adalah daripada pembungkusan makanan dan minuman.

Selain itu, kajian oleh pasukan penyelidikan kami di Makmal Penyelidikan Natural Product Phytomedicine and Biotechnology (NPPB) di Fakulti Sains Kesihatan, UiTM, dalam eksperimen ke atas tikus makmal dan ikan zebrafish, keputusan kajian mendapati BPA mampu menyebabkan kesan transgenerasi.
Kerosakan genetik pada induk jantan yang didedahkan kepada BPA didapati diwarisi oleh anak-anak generasi pertama menerusi sel pembiakan.
Kajian ini mendapati bahawa anak-anak tikus yang lahir mengalami kecacatan genetik, mempunyai jarak anogenital yang pendek (menyerupai betina), mengalami gangguan tumbesaran, dan kualiti spermanya menurun, walaupun anak-anak tikus ini belum terdedah secara terus kepada BPA.
Contoh kecacatan genetik diperolehi dari kajian kami adalah anak-anak yang lahir kehilangan fungsi genetik gene vomeronasal yang mengawal sensori yang mana kecacatan genetik pada gene ini boleh menyebabkan gangguan pada aktiviti saraf dan tingkah laku, juga gangguan pada sistem hormon pembiakan.
Selain itu, kajian kami juga mendapati BPA berupaya merencat fungsi gene Sulfotransferase 2A (Sult2a2, Sult2al1 dan Sult2a1) yang menjalankan fungsi utama dalam proses biosintesis hormon steroid.
GANGGU GENE
Gangguan pada fungsi gene ini akan menyebabkan proses penghasilan dehydroepiandrosterone (DHEA) terganggu dan akhirnya mengakibatkan proses pertukaran DHEA kepada hormon pembiakan testosterone dan estradiol tidak dapat dilakukan.
Ini akan menyebabkan gangguan utama pada sistem reproduktif dan kemandulan. Ini jelas membuktikan bahawa kesan trangenerasi BPA kepada anak-anak boleh berlaku secara transgenerasi melalui sel pembiakan (sperma), sangat membimbangkan dan boleh merosakkan fungsi hormon dengan jelas.
Kajian kami juga dilakukan ke atas tumbesaran embrio ikan Zebrafish di peringkat awal tumbesaran (lima hari pertama selepas persenyawaan), keputusan awal kajian mendapati BPA menyebabkan gangguan tumbesaran dan kematian embrio pada kepekatan tertentu.
Contoh gangguan lain adalah seperti embrio lambat menetas, tidak menetas, bergumpal atau mati, masalah pigmentasi, kecacatan pada struktur tulang belakang (scoliosis), edema pada jantung, gangguan denyutan jantung dan sebagainya.
Walaupun ia hanya kajian ke atas haiwan tetapi ia cukup membimbangkan kerana pada paras kepekatan rendah sekalipun, BPA ini boleh menyebabkan gangguan atau kerosakan pada janin/embrio.
Masalah pencemaran BPA dalam makanan dan minuman ini sebenarnya adalah isu global. Sekarang ini kadar pencemaran plastik dalam sumber air seolah-olah tidak dapat dibendung dan berleluasa tanpa disedari. Ini menyebabkan pengumpulan bahan kimia BPA dalam sumber air, yang mana akan mengalir, berkitar dan menjadi sumber minuman untuk manusia dan haiwan.
Oleh itu, bagi mengurangkan masalah pencemaran plastik ini daripada bertambah, menjadi tanggungjawab semua bagi mengurangkan penggunaan plastik, terutamanya dalam pembungkusan makanan dan minuman.

Adalah dicadangkan agar menggunakan pembungkus makanan atau bekas yang sesuai seperti kaca, atau bekas lain yang lebih sesuai mengikut kod-kod jenis plastik yang telah digariskan sebagai selamat sebagai panduan untuk mengelakkan pencemaran BPA.
Untuk membungkus minuman yang panas, penggunaan plastik perlu dicegah, dan bertukarlah kepada bekas atau cawan yang lebih selamat. Botol-botol minuman atau botol-botol mineral yang digunakan jangan sesekali ditinggalkan di kawasan yang panas, di dalam kereta dan berjemur bagi mengelakkan bahan kimia BPA mencemari air minuman yang diminum.
Kesedaran masyarakat ke atas bahaya pembungkusan makanan atau minuman panas menggunakan plastik harus disampaikan dan ditingkatkan, agar masyarakat tidak terdedah kepada bahaya dan mudarat lain yang lebih teruk akibat pencemaran bahan kimia BPA tersebut.
Selain itu, kesedaran tentang kod-kod jenis plastik yang boleh atau tidak boleh untuk membungkus makanan atau minuman perlu diterapkan kepada para peniaga dan pengusaha makanan/minuman agar keselamatan para pembeli makanan lebih terjamin.
- Razif Dasiman, Pensyarah Kanan (Fisiologi), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Bandar Puncak Alam.










