“Enam tahun saya terpisah dengan keluarga kandung kerana pendirian mahu terus menjadi orang Islam. Keluarga tidak merestui keputusan saya menyebabkan saya nekad meninggalkan mereka,” kata Nur Syahidah Aisyah Somchit, 43, berkongsi dugaan apabila membuat keputusan menukar agama.
Kisah pilu yang dihadapi tidak pernah padam dalam ingatan guru muzik ini meskipun ia sudah lama berlalu.
Menurut Nur Syahidah, dia menganggap apa yang berlaku itu adalah sebagai ujian dan setiap hari memohon doa kepada Allah SWT supaya dia terus istiqamah untuk mendalami Islam.
Katanya, hidupnya sentiasa dikelilingi rakan Melayu dan sering melihat bagaimana kehidupan orang Islam sejak kecil lagi.
“Saya membesar di kampung suasana Melayu yang terletak di Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah. Keluarga saya berketurunan Siam memang sudah biasa dengan kehidupan masyarakat Islam. Saya melihat mereka menunaikan solat, membaca al-Quran dan berpuasa,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia di Bangi, Selangor.
Berkongsi kenangan di sekolah menengah, dia sering melihat rakannya menunaikan solat dan ada rasa ketenangan ketika itu membuatkan dia mahu mengenali Islam.
“Saya perhatikan dia solat, tanpa banyak pertanyaan, saya minta dia doakan saya. Saya masih ingat lagi, semasa bersekolah rendah, saya tidak hadir kelas Pendidikan Moral sebaliknya saya ikut rakan-rakan belajar Pendidikan Islam. Namun, waktu itu saya masih tiada apa-apa perasaan lagi tentang Islam,” katanya.
Bercerita lanjut, Nur Syahidah mula tertarik dengan Islam ketika menjadi guru pengiring program perkhemahan , dia melihat cahaya mengelilingi rakannya yang sedang solat.
“Apabila pulang daripada perkhemahan, saya berasa tidak tenang seperti ada sesuatu yang kurang. Pada ketika itu saya benar-benar yakin untuk memeluk Islam walaupun tanpa pengetahuan keluarga.
“Rakan saya yang juga seorang ustaz sekolah memberi pendapat bahawa mungkin Islam yang dicari oleh saya. Saya dibawa ke sebuah pusat tahfiz berhadapan Maktab Perguruan Islam untuk melafazkan dua kalimah syahadah pada usia saya 27 tahun.
“Jiwa saya berasa tenang selepas memeluk Islam yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Islam penuh dengan kasih sayang dan mengajar cara untuk orang ramai hidup sebagai manusia sebenar,” katanya.
Menyingkap kembali detik mula dia tertarik dengan Islam, Nur Syahidah berkata, ia sudah lama ada dalam dirinya tetapi bimbang dimarahi dan dibuang keluarga. Selain itu, dia tidak mahu melukakan hati keluarganya selepas dia melihat sendiri abangnya dimarahi keluarga kerana memeluk Islam.
Ibu kepada lima anak itu mengakui kehidupannya berubah lebih baik selepas memeluk Islam. Rutinnya berubah ke arah positif dengan menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan pakaian juga lebih sopan dan mengikut ajaran Islam.
Diuji dengan penceraian
Selepas itu, saya melayari bahtera perkahwinan pada 2005 tetapi jodoh tidak panjang dan berakhir pada 2011.
“Pada awal perkahwinan, saya bahagia walaupun keluarga kandung saya sangat marah. Saya tidak berjumpa mereka selama tujuh tahun. Walaupun abang kandung saya telah memeluk Islam, ibu bapa saya tetap tidak boleh menerima keputusan saya.
“Selama itu juga saya terpaksa menjauhkan diri daripada mereka sehinggalah pada 2011 saya bercerai dan ibu menghubungi saya. Sebagai ibu, sudah tentu dia bersimpati dengan saya tetapi pada waktu itu, saya diuji sekali lagi.
“Ibu saya menawarkan rumah yang dia beli untuk saya kerana dia tahu saya tiada tempat tinggal dan anak-anak pada masa itu tinggal bersama bekas suami. Tetapi ibu memberi syarat supaya saya meninggalkan Islam.
“Luluh hati saya waktu itu dan saya hampir berputus asa dengan segala ujian yang berlaku. Namun, saya amat berterima kasih kepada dua individu ini, Asnaniar Alias dan Abd. Shukor Ujang (bekas guru besar) yang banyak membantu dan membimbing saya agar saya tidak tersasar daripada jalan Allah,” katanya.
Tambah Nur Syahidah, dia bersyukur ketika dia yang hampir berputus asa dalam kehidupan mempunyai rakan-rakan yang membantu.
Selepas beberapa tahun, kehidupannya bertambah baik. Lebih manis, keluarga kandung
menerima dirinya. Kini, dia hidup bersama pasangan yang 13 tahun lebih muda daripadanya.
“Walaupun berbeza usia, dia banyak membimbing saya. Dia juga yang banyak menenangkan saya ketika emosi saya tidak stabil. Anak-anak pun kini tinggal dengan saya. Saya bersyukur, saya dapat hidup sederhana tetapi bahagia di samping keluarga saya.
“Keluarga kandung saya pun sudah menerima kami. Setiap kali Tahun Baru Cina saya akan meraikan bersama mereka. Walau berlainan agama, jangan buang keluarga. Cepat atau lambat sahaja tetapi semua akan baik-baik sahaja,” ujarnya.
Nasihat Nur Syahidah kepada wanita yang mungkin senasib seperti dirinya supaya tidak berputus asa. Jika berada dalam kesedihan, carilah keluarga dan rakan-rakan yang boleh mendengar masalah dan membantu ke arah kebaikan.










