Terapi bantu pesakit kanser payudara lanjutan - Utusan Malaysia

Terapi bantu pesakit kanser payudara lanjutan

Buat masa ini, kanser payudara kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rawatan berasaskan biopenanda berupaya menyekat perkembangan kanser payudara tahap lanjutan jenis HR+/HER2- yang dikenalpasti mempunyai mutasi pada gen PIK3CA.

Rawatan melibatkan kombinasi ubat terbaharu iaitu perencat molekul PIK3CA dan penyekat reseptor estrogen lazim (standard) itu didapati hampir menggandakan tempoh kelangsungan hidup tanpa perkembangan kanser, bagi pesakit yang mengalami kanser payudara peringkat lanjutan jenis HR+/HER2- ini, berbanding penggunaan rawatan penyekat reseptor estrogen sahaja.

Pengarah Perubatan Onkologi Novartis Malaysia, Dr. Balraj Sethi berkata, usaha menangani kesan gen PIK3CA dan laluannya adalah kunci untuk menyekat perkembangan kanser, sekali gus dapat meningkatkan kelangsungan hidup pesakit kanser payudara HR+/HER2- peringkat lanjutan.

“Kanser payudara peringkat ini bersifat progresif dan berulang. Malah pakar klinikal sudah lama mencari penyelesaian terbaik dalam pemilihan kaedah rawatan yang paling sesuai,” katanya.

Baru-baru ini syarikat Novartis memperkenalkan rawatan berasas biopenanda yang dikatakan berupaya menyekat perkembangan kanser payudara tahap lanjutan jenis HR+/HER2- yang dikenalpasti mempunyai mutasi pada gen PIK3CA.

Dalam tempoh sedekad lalu, Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam kes kanser payudara.

Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCRR) 2012-2016, menganggarkan 34 daripada 100,000 wanita menghidap kanser payudara antara 2012-2016, berbanding 31 wanita antara 2007-2011.

Buat masa ini, kanser payudara kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita tempatan. Ia juga adalah punca kematian berkaitan kanser yang kedua tertinggi di negara ini.

Kebanyakan kematian akibat kanser payudara adalah berkait dengan kanser peringkat lanjutan yang turut dikenali sebagai kanser payudara sekunder. Ia bermaksud sel-sel kanser payudara telah merebak ke anggota tubuh yang lain seperti nodus limfa, tulang, paru-paru, hati atau otak.

Wanita muda

Walaupun dulu penyakit ini dianggap hanya menyerang wanita yang lebih berusia, statistik dan kajian terkini menunjukkan semakin ramai wanita muda atau pra-menopaus juga menghidapi penyakit ini.

Malah, kanser payudara peringkat lanjutan dalam kalangan wanita pra-menopaus juga didapati lebih agresif, berisiko berulang dengan lebih tinggi lalu menimbulkan peningkatan risiko kematian.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Mastura Md. Yusof berkata, kanser memberi tekanan dan stres tambahan kepada wanita muda yang turut menggalas pelbagai tanggungjawab sebagai pekerja, ibu dan anak.

DR. MASTURA MD. YUSOF

“Kanser payudara peringkat lanjutan lazimnya dikelaskan berdasarkan kehadiran atau ketiadaan reseptor-reseptor pada sel kanser iaitu reseptor hormon (HR+ atau HR-) dan reseptor faktor pertumbuhan epidermal manusia-2 (HER2+ atau HER2-).

“Subklasifikasi ini penting bagi pakar perubatan memilih kaedah rawatan sesuai yang boleh menangani penyakit secara berkesan.

Namun, penyelidikan genetik lanjutan ke atas sel kanser payudara menemui lebih kurang 40% wanita dengan kanser payudara peringkat lanjutan HR+/HER2- (jenis yang paling lazim) juga mengalami mutasi PIK3CA, yang dikaitkan dengan pertumbuhan kanser, kurang responsif terhadap rawatan endokrin dan mempunyai prognosis yang lebih teruk secara keseluruhan.

“Bagi pesakit kanser payudara peringkat lanjutan HR+/HER2-, jika mutasi PIK3CA ditemui di dalam tumornya, ini boleh memberi kami gambaran sejauh mana mutasi gen ini menjadi punca perkembangan menimbulkan persoalan, bolehkah kita menyasarkannya dengan ubat-ubatan dalam mengawalnya,” katanya.

Terapi Sasaran Berasas Biopenanda

Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 mengatakan 34 daripada 100,000 wanita mengalami kanser payudara di Malaysia dan hampir separuh (47.9%) daripada kes baharu yang dilaporkan dikesan pada peringkat lanjutan iaitu peringkat tiga dan empat.

Hampir 50% pesakit alami kanser payudara peringkat lanjutan semasa mula-mula didiagnos walaupun menerima rawatan yang optimum. Ramai yang mengalami penyakit yang berulang atau merebak semasa atau selepas menjalani rawatan hormon.

Kini, dengan sokongan data klinikal terbaharu dan ketersediaan ujian mutasi gen PIK3CA di Malaysia, para pesakit disyorkan menjalani ujian saringan bagi mengenalpasti gen PIK3CA untuk menentukan sama ada rawatan berasaskan biopenanda boleh memberikan manfaat kepada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×