Sedar atau tidak masa berlalu begitu pantas sehingga umat Islam tidak sedar bahawa mereka akan berpisah dengan bulan Ramadan menuju tibanya Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal.
Ia adalah hari yang diraikan dengan gembira bersama keluarga dan rakan taulan untuk mempererat hubungan silaturahim. Dalam bahasa arab, Hari Raya di bulan Syawal disebut sebagai Eid Fitri.
Eid ertinya kembali, bermaksud kembalinya rasa gembira kerana ia datang setiap tahun dengan dengan rasa keriangan. Adapun Fitri mempunyai beberapa maksud, antaranya ‘berbuka’ kerana hari itu adalah hari pertama kaum muslimin tidak lagi berpuasa.
Diertikan juga dengan zakat fitrah, kerana zakat fitrah hanya diwajibkan di malam hari raya Syawal maka ia dinamakan Aidilfitri bertepatan istilahnya dalam bahasa Arab. Fitri juga bererti fitrah iaitu kesucian, kerana kaum muslimin dalam keadaan suci dari dosa setelah berpuasa sebulan penuh dan meraih pengampunan.
Sebelum datangnya Islam, terdapat dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab dengan penuh kegembiraan. Kedua-dua hari raya tersebut mengandungi unsur-unsur syirik kerana membesarkan berhala-berhala. Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, hari raya tersebut digantikan dengan dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Dengan demikian, Islam tidak melarang untuk bergembira namun melarang melampau atau menyimpng daripada batasan syariat dalam bergembira. Ia seperti pembaziran, menunjuk-nunjuk, percampuran tanpa batas antara lelaki dan perempuan dan lain-lain.
Iyad al-Asy’ari, salah seorang Tabi’in berkata, ketika meraikan hari raya di Al-Anbar – wilayah di Iraq – “Mengapakah kamu tidak menyambut hari raya ini dengan pukulan kompang?”
Terdapat beberapa adab Nabawi dalam berhari raya, di antaranya:
- Menghidupkan malam hari raya dengan takbir dan ibadah-ibadah yang lain sebagai tanda membesarkan Allah SWT. Takbir ini berterusan sehingga solat hari raya dilaksanakan.
2. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) maka dia akan dihidupkan hatinya (tidak keliru saat nazak) di hari hati-hati manusia mati”.
3. Menunaikan kewajipan zakat fitrah bagi yang belum melaksanakannya. Hikmah zakat fitrah adalah menjadi salah satu sebab penyucian bagi orang yang berpuasa dan rezeki bagi mereka yang menerimanya daripada golongan fakir dan miskin.
4. Membersihkan diri, seperti mandi dan mencukur serta merapikan diri sebelum keluar menuju solat hari raya.
5. Berhias di hari raya untuk menghadiri solat hari raya. Oleh kerana hari raya adalah satu syiar agama, maka disunatkan untuk membesarkannya sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.
Abdullah bin Umar berkata: “Umar membawa pakaian berbentuk jubah yang dibuat dari sutera yang dibeli oleh beliau di pasar. Jubah tersebut kemudiannya diberikan kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, belilah jubah ini sehingga tuan boleh mencantikkan penampilan ketika menghadiri solat hari raya atau ketika menyambut para delegasi.”
Rasulullah SAW lantas berkata kepadanya: “Ini adalah pakaian untuk orang yang tidak akan mendapatkan bahagian (di akhirat).” Kemudian Umar tidak dapat dilihat untuk beberapa waktu dalam tempoh yang telah Allah kehendaki.
Rasulullah SAW kemudian mengirimkan kepada Umar sebuah jubah yang terbuat dari sutera. Maka Umar pun membawanya menemui Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tuan telah memberikan pakaian ini untuk kepadaku, sedangkan tuan telah berkata, “Ini adalah pakaian orang yang tidak akan mendapatkan bahagian (di akhirat)”. Lalu mengapa tuan mengirimnya buat saya?” Maka Rasulullah SAW pun berkata kepadanya: “Juallah, atau Baginda bersabda “Dengannya engkau boleh memenuhi keperluanmu”. (Riwayat Bukhari)
Makan makanan ringan seperti kurma sebelum keluar menuju solat sunat hari raya. Sunnah ini dikhususkan hanya untuk Hari Raya Aidilfitri. Adapun pada Hari Raya Aidiladha digalakkan makan selepas menunaikan solat sunat hari raya. Ini bagi membezakan antara hari raya dan hari puasa.
Berjalan kaki menuju ke tempat solat, agar setiap langkah diberi pahala. Juga digalakkan agar mengambil laluan yang berbeza ketika pergi menuju solat dan ketika kembali ke rumah. Ini bertujuan agar dapat lebih banyak berjumpa dengan rakan taulan di setiap laluan dan mengucap tahniah.
Mengucapkan tahniah dalam bentuk doa, seperti semoga hari raya ini membawa keberkatan atau ucapan semoga Allah menerima amal ibadah kita dan doa yang lainnya.
Berhibur bersama keluarga; dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, beliau berkata: Rasulullah SAW telah masuk (ke rumahku) dan di sisiku dua orang hamba sahaya yang menyanyikan lagu tentang peperangan, lalu Baginda memalingkan wajahnya, lalu Abu Bakar datang dan menegurku, seraya berkata “Seruling syaitan di sisi Rasulullah SAW?”
Maka Rasulullah memandangnya dan bersabda “Biarkan mereka”, maka aku memberi isyarat kepada mereka berdua untuk keluar (dari rumah). Adapun pada hari raya, orang-orang Sudan akan bermain dengan peralatan perang, maka Rasulullah bertanya kepadaku: “Kamu mahu menontonnya?” maka aku pun berkata ya, maka aku didirikan di belakang Baginda dan meletakkan pipiku di pipinya lantas bersabda “Teruskan wahai Bani Arfidah!” sehinggalah aku merasa bosan, Baginda bersabda, “Adakah sudah memadaimu?” Aku berkata ya, maka Baginda bersabda “Maka pergilah kamu”. (Riwayat Bukhari)
Tidak menjadi kesalahan menziarahi kubur pada hari raya jika tidak mendakwa ia sebagai sunnah yang dilakukan di hari raya.

- HABIB ALI ZAINAL ABIDIN AL HAMID, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










