BEKAS Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Henry Kissinger pernah mengakui, kuasa adalah sejenis aphrodisiac yang paling unik dan mempengaruhi.
Tiada siapa yang harus dipersalahkan apabila trend hempas-pulas berebut kuasa berlaku dan berterusan.
Trend itu lahir daripada sistem itu sendiri dalam keadaan di mana sistem itu tidak mempunyai mekanisme kawalan yang boleh dikuatkuasakan. Sepatutnya dari awal lagi sistem itu mempunyai jentera perimbangan semak dan imbang (check and balance) supaya politik menjatuhkan seseorang, parti atau kerajaan di luar demokrasi dapat dibanteras di peringkat putik.
Apabila fenomena kawan jadi lawan ini diperhalusi, akan terserlah beberapa realiti yang layak dijadikan bahan falsafah hidup, justeru, dalam politik apa pun boleh berlaku dan dilakukan. Ini sehinggakan banyak pihak berpendapat jika seseorang itu mahu memahami semua hal dan semua kejadian dalam politik, dia mungkin akan gila.
Agaknya sebab itu ramai merumuskan bahawa mereka tidak akan survive dalam dunia politik akibat terlalu banyak benda yang kusut dan tidak boleh dimengertikan. Logik yang diterima secara am, kadang kala dalam politik tiba-tiba tidak logik lagi.
Tekanan keadaan yang tidak menentu ini cukup berat atas jiwa yang tidak terasuh dengan ‘huyung-hayang’ politik hari ini. Dan risikonya kepada hidup seseorang itu juga tidak kurang dugaannya.
Bolehlah dirumuskan secara am bahawa kesusahan dalam politik bukanlah atas apa yang nyata tetapi atas apa yang tidak nyata.
Ahli politik berjiwa besar tidak mudah menzahirkan perasaan dalam hatinya terhadap orang lain. Bak kata pepatah, lebih elok jika sesuatu pecah di perut daripada pecah di mulut. Dalam kilat ada kilau. Terserah kepada orang untuk diduganya.
Daya persepsi dan daya pengamatan seseorang pemimpin itu perlu ditajamkan sentiasa. Ibarat pisau, akan hanya berguna jika tajam. Apabila pisau sudah tumpul dan berkarat, penggunanya tidak memandangnya lagi.
Lantaran itu jugalah ada berpendapat, jika terus berguna dan berkesan dalam politik, seseorang itu perlu terus tajam dan terus berkilat. Jika tidak, tamsil pisau berkarat tadi akan menusuk badan sendiri ke dalam arena gelap.
Malangnya untuk terus berkilat dan berguna bukan mudah. Proses itu memerlukan beberapa pembaharuan serta asuhan diri, rela dikritik, tahan kena seksa dan tidak mudah mengaku kalah. Sifat-sifat itu mudah disebut, tetapi sukar dilaksanakan.
Bagi seseorang ahli politik, untuk berangan-angan tinggi bukanlah perkara ganjil atau satu kesalahan. Malah ahli politik yang tidak ada angan-angan tinggi, bukan ahli politik namanya.
Pepatah mengatakan bila dapat betis hendakkan paha dan bila dapat paha, hendakkan badan pula. Ini naluri manusia biasa, apatah lagi dunia politik. Tidak salah memasang angan-angan. Terutama angan-angan untuk sampai ke kemuncak karier.
Cuma daya dorong ini harus dikawal dengan kukuh melalui personaliti atau sahsiah berserta dengan sistem nilai yang berimbang.
Di sebalik semua ini ialah nafsu dan keinginan yang amat sangat mengatasi orang lain dalam rancangan mencapai kedudukan sebagai pemimpin.
Bila undang-undang tahap ‘lebih kurang’…

KISAH ‘kompaun dua darjat’ menimpa seorang peniaga burger, yang kemudian diperbandingkan dengan kompaun Covid-19 dihadapi selebriti popular, Neelofa menggamit perhatian ramai.
Waima apa pun yang dihujahkan, pokok pangkalnya adalah undang-undang hanya bermakna bila kehendak dan arahannya dipatuhi. Tinggal lagi jika sesuatu undang-undang itu tidak dipersetujui, rakyat boleh membuat bantahan melalui proses demokrasi yang dihalalkan yang biasanya diterjemahkan melalui pilihan raya.
Walau apa pun yang diteorikan oleh pihak-pihak yang terbabit dengan membelakangkan undang-undang negara, isu undang-undang dan penguatkuasaannya terus dipersoalkan.
Negara yang ditadbir mengikut lunas undang-undang yang mengimbangi kuasa serta fungsi kehakiman, legislatif dan eksekutif dikatakan tergolong kepada negara rule of law atau negara yang tertakluk kepada kedaulatan undang-undang.
Bahasalah yang menjadi penyampai maksud dan penentu kepada kuat kuasa sesuatu undang-undang itu. Jika kabur bahasanya maka kaburlah maksud dan erti peruntukan sesuatu undang-undang itu.
Justeru, para juri dan penggubal undang-undang sentiasa berhati-hati tentang bahasa yang digunakan dalam sesuatu undang-undang. Peguam pula sentiasa berkebolehan mempertikai sesuatu perkataan yang terkandung di dalam sesuatu peruntukan undang-undang itu.
Sifat tepat atau persis memang satu-satunya ciri undang-undang. Para hakim akan cuba memberi tafsiran atau definisi yang paling dekat dengan konsep keadilan dan yang diduga paling sesuai dengan maksud yang diperbuat Parlimen.
Dalam keadaan beginilah undang-undang negara termasuk Perlembagaan Persekutuan beroleh proses interpretasi dan penguatkuasaannya.
Pada masa sama, mereka yang tidak pedulikan keluhuran undang-undang lantas mencabar melalui gerombolan politik jalanan atau politik sorak-sorai. Ada pula yang berpendapat bahawa tindakan seperti itu membawa keseronokan kerana kononnya ‘kuasa rakyat’ sudah ada bersama mereka.
Bila ini berlaku bererti undang-undang negara sudah diketepikan. Mulalah didakwa bahawa undang-undang tertentu bersifat zalim sedangkan ia diperbuat oleh rakyat sendiri untuk ketenteraman awam.
Bila undang-undang sudah berada di tahap ‘lebih kurang’ dari segi penguatkuasaan, sesebuah negara itu boleh dikatakan sudah berada dalam keadaan hubaya-hubaya sekalipun belum dalam keadaan bahaya.
Malaysia jika hendak selamat di musim mencabar ini mesti meneladani mereka yang tegas dan menghormati undang-undang. Jangan kita sampai seperti ke tahap yang dikatakan perbilangan silam: “Berundang-undang mahir, bila bicara kalah.”










