Nasihat Luqman al Hakim: Jangan sombong - Utusan Malaysia

Nasihat Luqman al Hakim: Jangan sombong

SETIAP anak yang lahir itu adalah ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya dan mendidik mereka antaranya menjauhi sifat sombong. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sombong adalah sifat hati yang keji lagi tercela. Oleh kerana itu islam melarang umatnya bersifat sombong. Sombong itu ialah perasaan bangga diri dalam hati dan tandanya ialah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.

Dosa pertama kepada Allah dilakukan oleh iblis ialah dosa sombong, oleh sebab itu ia di usir dari rahmat Allah dan mendapat murka. Ia menjadi pengajaran kepada mereka yang sombong.

Nasihat Luqman Al Hakim kepada anaknya: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.

Kesombongan tidak dilihat daripada apa yang diucapkan sahaja, namun juga dengan perbuatan, seperti memalingkan wajah saat berbicara dengan orang lain dengan maksud tidak memperdulikannya atau berjalan dengan menampakkan gaya sombong di khalayak ramai.

Apa yang perlu menjadi pengajaran dalam ayat ini ialah orang tua hendaklah mengajarkan anak adab-adab pergaulan agar tidak sombong baik terhadap keluarga atau teman taulan.

Sentiasa menjaga etika dan akhlak, tidak menyakiti orang lain dengan perkataan atau perbuatan atau pun dengan penampilan, dan hendaklah lebih bersifat tawaduk (rendah diri), berhemah, lemah lembut dalam perkataan dan perbuatan, kerana yang demikian itu akan lebih mengharmonikan perhubungan (relationship).

Dalam pergaulan biasanya ada saja yang mengundang emosi atau mengusik ego seseorang, mungkin kerana bergurau yang berlebih-lebihan, berselisih pandangan atau berbeza pendapat baik dalam berorganisasi atau berpolitik bahkan dalam situasi rumah tangga, dan lain sebagainya. Namun begitu bukanlah menjadi sebab untuk merendahkan orang lain bila tidak sehaluan dalam pandangan.

Oleh kerana itu tetap menjaga diri dari sifat takbur dan merendahkan orang lain. Terdapat beberapa contoh perselisihan yang terjadi di zaman Rasulullah SAW, ada yang memandang kecil orang lain dengan mencela keturunan nya atau kabilahnya, ada yang melihat dengan orang lain dengan sinis kerana size tubuh badannya, ada yang merendahkan orang lain kerana warna kulitnya.

Seperti yang dikatakan oleh Abu Dzar Al Ghifaary kepada Bilal bin Rabah saat berselisih: Engkau adalah anak kepada seorang ibu yang berkulit hitam (yakni merendahkan dengan mengaibkan ibunya) lalu baginda Rasulullah SAW saat mendengar kata-kata tersebut, menegurnya dengan nada marah: sesungguhnya engkau ( Abu Dzar) seorang yang memiliki perangai orang jahiliah kerana kaum jahiliah yang berjiwa perkauman dengan berbangga akan kabilahnya.

Sementara sikap tersebut adalah bahagian dari kesombongan Abu Dzar berjiwa besar untuk memohon maaf kepada Bilal dan selesailah masalah mereka dengan berdamai.

Di saat semua ini terjadi maka Allah SWT menegur dalam firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat: 11)

Terdapat beberapa arahan penting pada ayat ini, antaranya:

1. Larangan merendahkan orang lain tanpa mengira jantina.

2. Larangan mendedahkan aib orang lain dengan kaedah yang bertentangan dengan syariat.

3. Larangan merendahkan orang lain dengan memberi gelaran yang buruk.

4. Mereka yang melanggar larangan di atas termasuk orang yang sombong dan fasik.

Oleh kerana itu sifat sombong ini sangat berbahaya bagi diri seseorang, maka baginda Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya: Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di hatinya walaupun sebesar biji sawi daripada sifat sombong. (Riwayat Muslim).

Dalam hadis qudsi Allah berfirman: Kegagahan itu pakaianKu, kemegahan itu kainKu, barang siapa yang merampasnya dari-Ku maka Aku akan azab ia. (Riwayat Muslim)

Akhir-akhir ini kita melihat kesombongan tentera-tentera Israel dan angkuh terhadap rakyat Palestin. Di setiap zaman pasti ada yang golongan-golongan yang angkuh dan sombong lalu di binasakan oleh Allah SWT. Kaum ‘Aad (umat Nabi Hud a.s) sombong dengan kekuatannya, maka Allah hantarkan tentera angin yang dahsyat membinasakan mereka semua.

Kaum Tsamud (umat Nabi Soleh a.s) angkuh dan memandang hina kepada orang yang beriman, maka Allah binasakan mereka dengan gempa bumi yang mengerikan.

Kesombongan Raja Namrud yang mendakwa sebagai tuhan diazab dengan seekor nyamuk yang masuk kedalam hidungnya sehingga ia menghentakkan kepalanya ke dinding untuk menahan kesakitan sehingga ia binasa.

Demikian halnya dengan Fir’aun kerana kesombongannya maka ia ditenggelamkan di laut dan diselamatkan jasadnya untuk menjadi pengajaran bagi orang-orang yang sombong.

Demikianlah nasib orang yang sombong. Oleh itu, ikutilah nasihat Luqman Al Hakim untuk kita mendidik anak-anak kita menghindari sifat sombong.

 

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL HAMID, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×